Wednesday, May 14, 2008

GOLONGAN MUDA MELAYU

MENYOKONG UMNO?

Oleh: Mokhtar Petah

‘Inilah cabaran besar kepada Pemuda dan Puteri UMNO bagi memastikan orang muda Melayu mengetahui, memahami dan menghayati sejarah perjuangan UMNO.

UMNO mesti pergi kepada mereka, tidak boleh membiarkan atau menunggu mereka datang. Pemuda UMNO mesti mencari ahli-ahli baru, menyebar risalah, memilik ‘kader’ dan meltik mereka. Golongan muda mesti didekati dan diajak bersama. Secara tegas,Pemuda dan Puteri UMNO mesti menjadi contoh sebagai pejuang yang bersemangat patriotik, berintegriti dan berjaya dalam hidup mereka serta tidak angkuh.’

Demikian pendapat Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia (jawaban dengan bertulis), disiarkan pada 11 Mei lalu.

Penulis bersama Abdullah Badawi

Pendapat beliau itu baik untuk dikaji dan dilaksanakan oleh Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO, supaya UMNO tidak sahaja terkenal, bahkan dicintai oleh pemuda pemudi Melayu dari kampng-kampung di pendalaman hingga ke bandar - bandar besar.

Selama ini saya mendapati, kebanyakan ahli Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO berkeadaan ‘suara naga berjalan semut’, bekerja tidak ada sikap atau jiwa jihad seperti pemuda-pemuda PAS.

Pada ketika saya menulis ini, saya ketawa kecil, kerana teringat kejadian pada masa kempen Pilihan Raya Umum ke – 11. Pada satu malam, di jalan ke rumah saya banyak gambar Abdullah Badawi ditampal di merata-rata oleh pemuda-pemuda UMNO.

Saya turun dari kereta untuk mengambil gambar yang tertampal pada sebatang pokok. Apabila saya mencapai gambar besar itu, saya mendapati ada 20 keping gambar di bawahnya yang dipaku pada batang pokok itu.

Itulah satu dari beberapa kelemahan dan tidak ada sikap jihad di kalangan Pemuda UMNO. Mereka dengan berupah oleh pihak UMNO. Saya mendapati pemuda-pemuda PAS telah menjalankan kerja seperti itu dengan sukarela.

Pemuda dan Putri UMNO hendaklah mendisiplinkan diri mereka dengan perjuangan atau jihad kerana negara,bangsa (semua rakyat Malaysia) dan agama Islam.

Sikap atau tabiat buruk hendaklah dihindarkan, iaitu masuk UMNO kerana ada tujuan tertentu, seperti menempah kedudukan dan mencari habuan dan kekayaan.

Demikian juga untuk mengajak pemuda dan puteri Melayu ke dalam UMNO, hendaklah ada penerapan nilai jati disi dan modal insan pada mereka, iaitu masuk UMNO kerana berjuang atau jihad, tidak bertujuan untuk kepentingan diri dan sebagainya.

Sesungguhnya, sesiapa yang menyertai sesebuah parti politik mepunyai tujuan untuk kepentingan diri, iaitu tidak kerana perjuangan atau jihad kepada negara,bangsa dan agama, maka dia adalah lebih merbahaya dari musuh parti itu.

Orang yang demikian sama dengan telur lalat dalam daging manusia; akan menjadi anak atau ulat yang akan memakandaging itu.

Saya teringat kembali; setelah buku biografi yang saya tulis, Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat terbit pada tahun 1997, beberapa orang pemuda UMNO di Kuala Lumpur, Ipoh, Alor Setar, Kuantan, Johor Bharu dan Kota Kinabalu telah bertanya kepada saya tentang Datuk Haji Ahmad Badawi.

buku yg ditulis penulis

Setelah mereka membaca buku tersebut, barulah mereka mengetahui yang bapa Abdullah Badawi, iaitu Datuk Haji Ahmad Badawi telah memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya pada zaman negara belum merdeka.

Sheikh Abdullah Fahim Haji Ahmad Badawi

Begitu juga mereka tidak mengetahui yang Sheikh Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada Abdullah Ahmad Badawi yang telah memegang jawatan Pengerusi Jawatan Kuasa Khas Agama Islam dalam UMNO, pada masa parti politik Melayu itu, di bawah pimpinan Dato Onn Jaafar.

Saranan atau nasihat Abdullah Badawi kepada Pemuda dan Puteri UMNO agar mendekati pemuda dan pemudi Melayu agar mereka menyertai UMNO, elok diambil berat oleh semua.

Untuk memberi penerangan mengenai UMNO kepada pemuda dan puteri di luar UMNO supaya menyertai parti itu hendaklah ada bahan-bahan penerangan, seperti risalah dan buku mengenai parti tersebut.

Amat penting UMNO dan Pemuda UMNO menerbitkan sebuah buku sejarah perjuangan UMNO, iaitu semenjak parti itu ditubuhkan hingga pada masa kini.

Saya ada sebuah buku sejarah UMNO yang telah dihadiahkan oleh pengarangnya, Allahyarham Ibrahim Mahmud. Buku itu penting dibaca oleh para pemuda dan pemudi di luar UMNO.

Usaha menerbitkan buku sejarah UMNO yang baru amat penting sekiranya mahu melanjurkan usia UMNO dalam genarasi pada masa ini dan akan datang.

Sehubungan dengan sejarah UMNO, saya mendapat tahu, bahawa semua catatan dan dokumen-dokumen mengenai UMNO sejak berpahat di Johor Baharu dan pindah ke Jalan Tuanku Abdul Rahman telah tidak ada lagi. Kalau tidak dibakar dijual kepada peniaga surat khabar lama.

Saya kira baik, UMNO mengumpulkan beberapa orang penulis yang telah berkarya atau menulis pada tahun 1950-an, 1960-an dan 1970-an dan hingga kini untuk menjadi penulis menulis buku sejarah UMNO.

UMNO tidak ada masalah kewangan untuk menerbitkan buku sejarahnya, tetapi yang menjadi berat, UMNO tidak ada penulis yang tahu perjalanan UMNO, tekun berwibawa.

Walaupun UMNO telah mengalami cabaran dalam pilihan Raya Umum ke-12, tetapi sesungguhnya UMNO tidak terhakis, tidak menuju ke ke kubur, sekadar sakit yang perlu diubati.

No comments: