Friday, May 23, 2008

Musuh Umat Islam Ada Jadual Tertentu

JIHAD ABDULLAH BADAWI

Oleh: Mokhtar Petah

Siapa sahaja yang bertindak memaksa Abdullah Badawi meletak jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Malaysia, sama dengan pembunuhan ke atas para pemimpin umat Islam seluruh dunia yang bertujuan memusnahkan umat Islam.

Abdullah Badawi adalah pemimpin parti politik orang Islam (Melayu), maka sesiapa yang bertindak menjatuhkan pemimpin Islam, dia boleh dihukum kerana melakukan ‘khianat’ kepada negara umat Islam.

Adakah Dr. Mahathir Mohamad telah dipergunakan oleh orang-orang atau golongan yang berjadual demikian, atau kerana tujuan lain yang boleh ditafsirkan berbeza-beza oleh orang ramai.

Saya melihat, sebaik-baik sahaja Abdullah Badawi memegang jawatan Perdana Menteri negara ini, beliau telah mengangkat Islam - sebagai panduannya memimpin dan perlu diikut oleh negara dan rakyat.

Dalam sajak beliau, mencari damai abadi yang bersifat doktrin penting perjuangan dan pentadbiran beliau, dikemukakan ‘cari rahsia Kitab Suci (Quran) dan Sunnah. Semenjak itulah mereka yang berada dalam UMNO dan diluar parti politik nasional Melayu itu dan tidak berminat kepada doktrin yang bersandarkan ‘Quran’ dan ‘Sunnah’ itu telah memulakan rancangan dan agenda menentang beliau.

Mereka itu menganggap sajak Abdullah Badawi dan pendekatan beliau dengan perundangan Islam, seperti hendak menjadikan PAS rakan UMNO.

Dikhuatiri mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad seperti ‘kayu hulu beliung’ yang digunakan orang untuk memudahkan kapak menebang pohon kayu yang besar.

Pada zaman silam, walau setajam dan sebesar mana kapak dan beliung akan tidak dapat menebang pokok kayu yang besar sekira hulunya dari besi juga. Tetapi dengan sebatang kayu yang kecil yang digunakan sebagai hulu kapak dan beliung, maka pokok yang besar mampu di tumbangkan.

Abdullah Badawi dan penulis

Mungkin juga Dr. Mahathir Mohamad seperti pendapat alim ulama tauhid dan tasawuf, bahawa orang-orang yang telah melakukan berbagai kesalahan kepada manusia dan melanggar hukum Allah, sebelum menerima balasan di hari akhirat, akan menerima balasan tunai dari Allah di dunia ini.

Di antara seksaan dari dosa itu, ialah berpenyakit payah atau penyakit berat. Berperasaan hasad atau cemburu kepada orang lain, runsing dan tidak sedar atau tidak kenal diri sendiri.

Abdullah Badawi memimpin negara dan rakyat Malaysia mulai tahun 2004, sedangkan Dr. Mahathir Mohamad telah memerintah sejak tahun 1981 - 22 tahun. Kalau beliau melakukan kesalahan dan kesilapan, maka kesalahan dan kesilapan itu laksana telah setinggi gunung dan kalau kebaikan dilakukan, maka kebaikan itu ibarat sebanyak air di laut.

Abdullah Badawi pula, kalau beliau melakukan kesilapan atau kesalahan, hanya sekadar sebesar busut (Pongsu) dan kebaikan sekadar sebanyak air di kubang kerbau di tengah sawah cuma.

Maka, adakah adil, kerana kesalahan dan kesilapan yang sedikit yang dilakukan oleh Abdullah Badawi itu, membakar nafsu para ahli UMNO dan mereka di luar UMNO mendesak beliau turun dari kedudukannya, sedangkan Dr. Mahathir Mohamad dipuja setinggi langit.

Apakah kerana Dr. Mahathir Mohamad keluar dari UMNO, semua ahli UMNO gelisah dan menjadi golongan yang tidak bersemangat, mati cita-cita atau putus asa?

Jika difikirkan secara lojik, jika seorang lelaki meninggal dunia, isteri dan anak-anaknya mahu turut ke lubang kubur atau hidup merana sepanjang hidup?

Saya melihat, apa jua cara dilakukan supaya Abdullah Badawi berundur, bukanlah dengan tujuan kepentingan orang Melayu, tetapi ada dua agenda atau tujuan, iaitu:

* Pihak golongan musuh Islam dan umat

Islam.

* Hubung kait dengan kebendaan (mungkin

kerana pembatalan jambatan bengkok).

Berhubungan dengan kejadian yang sedang berlaku, nampaknya kalangan ahli PAS terikut-ikut menjadi ‘hulu beliung’ atau menjadi alat pihak tertentu untuk melumpuhkankan ‘Malay power’.

Untuk memahami keadaan sekarang eloklah membaca sejarah Islam mengenai pembunuhan yang dilakukan ke atas dua cucu Nabi Muhammad di Iraq, iaitu Hassan dan Hussein.

Yang paling baru ialah perbuatan sebilangan orang Iraq menjadi alat Amerika Syarikat untuk menjatuhkan Presiden Saddam Hussein dengan menaburkan berbagai-bagai tuduhan ke atas Saddam Hussein, akhirnya bukan sahaja Saddam Hussein dibunuh, bahkan negara Iraq musnah dan beribu-ribu rakyat Iraq menjadi korban musuh Islam.

Mereka yang memusuhi Saddam Hussein juga menjadi menjadi mangsa tentera Amerika Syarikat; dimamah peluru dan bom.

Saddam Hussein

Saya berpendapat, sesungguhnya orang-orang yang tidak membaca sejarah Islam, tamak dan menjadi alat musuh-musuh umat Islam sahajalah yang bertindak memaksa Abdullah Badawi turun dari kedudukannya.

Ada kemungkinan besar, kalau Abdullah Badawi meninggalkan tanggungjawabnya dan orang lain menggantikan tempat beliau, hasrat dan tujuan orang yang ada tujuan kebendaan itu akan tercapai.

Kita patut perhatikan, Perdana Menteri, Abdullah Badawi dengan persetujuan kabinet, beberapa projek mega yang tidak memberi faedah kepada rakyat yang terpaksa ‘mengikat perut’ telah dibatal atau ditangguhkan.

Pembatalan dan penangguhan itu telah menjadikan kalangan kapitalis dan mereka yang ‘tumpang semangkuk’ di negara ini menghadapi masalah atau hampa. Ketiadaan Abdullah Badawi akan membuka jalan baru kepada mereka yang berjuang untuk kepentingan kebendaan dan diri sendiri.

Sekarang Abdullah Badawi teruji jihad atau perjuangannya. Beliau perlu mahasabah diri dan membaca dan sefaham mungkin akan semua ayat Quran dalam surah At Taubah atau Al Baqarah. Dalam surah itu terdapat petunjuk, falsafah perjuangan suci.

Kalau beliau patah semangat, mengundurkan diri dari perjuangannya, maka tindakan beliau itu akan menghapuskan tujuan perjuangan atau jihadnya, akan menghampakan ahli-ahli UMNO dan sebilangan besar orang Melayu. Tetapi kalau beliau tetap kukuh dan terus berjuang demi Allah kerana bangsa Malaysia, Negara Malaysia dan agam Islam, maka beliau adalah seorang pejuang yang memikul amanah, datuk, bapa,ibu dan bangsa Melayu dan ummah.

Keputusan Majlis Tertinggi UMNO dalam mesyuaratnya malam kelmarin yang memberi sokongan padu kepada Abdullah Badawi adalah satu langkah bijak dan bertanggungjawab.

Mungkin ada manfaatnya bagi semua ahli UMNO yang nyaris-nyaris menjadi alat musuh bangsa Melayu dan umat Islam, jika mereka membaca buku Setia Kawan Abdullah Badawi Dengan Najib Tun Razak yang akan terbit.

Sesiapa juga yang mengikut rentak dan tari mereka yang menentang Abdullah Badawi akan menghadapi masa depan seperti yang telah berlaku atas rakyat dan bumi Iraq. Yang binasanya kita dan yang untung orang lain.

Saya kira tidak menjadi salah, kalau saya rakamkan, bahawa sesiapa dan golongan mana yang menentang Abdullah Badawi, berhasrat meruntuhkan UMNO dan PAS, maka, mereka itu samalah dengan musuh-musuh umat Islam di dunia pada masa ini.

No comments: