TAJOL ROSLI DIDESAK LETAK JAWATAN
Oleh:
Kalangan ketua semua bahagian UMNO seluruh Negeri Perak telah mendesak bekas Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali supaya meletakkan jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan UMNO negeri itu, supaya muka baru mengganti tempatnya.
Tajol Rosli adalah ahli Dewan Undangan Negeri Perak (Pengkalan Hulu), anak kepada Menteri Besar Perak pertama setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Tan Sri Moihd. Ghazali bin Haji Jawi.
Beliau adalah di antara beberapa orang pengamal politik di negara ini yang menjadi pewaris bapa mereka atau mengikut keturunan dalam UMNO. Di antara mereka, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn, Menteri Pelajaran, Datuk Mohd Nazri Aziz, Menteri Di jabatan Perdana Menteri dan Nur Izzah binti Anwar Ibrahim, ahli Dewan Rakyat kawasan Lembah Pantai.
Bagi mereka yang meminati sejarah, elok saya jelaskan, walaupun orang Melayu di Negeri Perak, keturunan dari berbagai suku kamu Melayu Nusantara, seperti orang Perak jati, Jawa, Banjar, Minangkabau, Acheh, Medahiling, Rawa, Telu, tetapi semenjak negara kita mencapai kemerdekaan hingga kini, Negeri Perak diperintah oleh lima Menteri Besar Perak terdiri dari keturunan Melayu Pattani dan tiga orang keturunan lain.
Menteri Besar Pertama, Tan Sri Mohd.Ghazali bin Haji Jawi, Pattani - Lenggong (1957 – 60), Menteri Besar yang kedua, Datuk Shaari Shafie – Melayu Perak – Sungai Siput (1960 – 64).
Menteri Besar yang ketiga, Datuk Seri Ahmad bin Said, Pattani – Lenggong (1964 -1970, Datuk Haji Kamaruddin bin Haji Mat Isa, Menteri Besar keempat, Pattani – Batu Kurau ( 1970- 74).
Mohd. Ghazali Jawi setelah menjadi Duta di Republik Arab Bersatu, setelah memegang jawatan Menteri Besar Perak kelima (1974-77). Allahyarham memegang jawatan tersebut bagi kali yang kedua.
Setelah berlaku krisis antara UMNO dengan Sultan Perak, Almarhum Sultan Idris Shah ibni Sultan Alang Iskandar Shah, Menteri Besar keenam menggantikan tempat Mohd Ghazali, iaitu Datuk Seri Wan Mohamed bin Haji Wan Teh (1977-83), Pattani – Grik, Menteri Besar Perak yang keenam.
Tan Sri Ramli bin Ngah Talib, Menteri Besar Perak menjadi Menteri Besar Perak yang ketujuh, keturunan Aceh – Kampung Gajah (1983-99) dan Mohd. Tajol Rosli Menteri Besar Perak kelapan, Pattani –Lenggong (1999 – 20008) dan Datuk Seri Mohamad Nizar bin Jamaluddin, Menteri Besar Perak kesembilan, Perak + Melayu Kampar/ Telu – Air Hitam Labu, Kampar – PAS (2008)
Sebilangan dari ketua-ketua UMNO bahagian yang melihat UMNO Perak telah lemah di bawah Tajol Rosli sehingga dirampas oleh parti-parti pembangkang telah mendesak beliau meletak jawatan sebagai Ketua Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Perak
Mereka telah memberitahu saya, bahawa Tajol Rosli mestilah sedarkan kelemahan dirinya yang beberapa tahun UMNO negeri lemah dan kerajaan negeri turut lemah.
“UMNO bukan milik peribadi seseorang, jangan nanti UMNO bertambah teruk baru hendak letak jawatan,” kata orang penting UMNO Perak yang meminta dirahsiakan namanya.
“Kami harap pucuk pimpinan parti melihat ke bawah, jangan sampai UMNO Perak hancur dan ramai ahlinya melompat ke parti lain, terutama PAS,” katanya.
“Pada masa lalu bolehlah pimpin sambil lewa kerana kuasa memerintah negeri dalam tangan UMNO, tapi sekarang dah berubah, kalau ketua UMNO negeri tak berwibawa sampai bila pun UMNO tak dapat rebut negeri Perak dari parti pembangkang,” katanya.
Kalangan UMNO Negeri Perak memberitahu, bahawa beberapa orang yang lebih berwibawa dan berpotensi sebagai pemimpin boleh menggantikan tempat Tajol Rosli dan akan dapat mengubah kelemahan parti itu pada masa depan.
Nama-nama yang mereka sebut, ialah Dato’ Zahid Hamidi, ahli Dewan Rakyat (Bagan Datoh) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz, ahli Dewan Rakyat (Padang Rengas) merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Seorang tokoh lagi, Datuk Dr. Zambry bin Abdul Kadir, bekas ahi Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) dan ahli Dewan Negeri Perak (Pangkor).
Beberapa hari lalu,Tajol Rosli yang telah terasa ada desakan daripada beberapa bahagian UMNO agar beliau meletakkan jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Negeri Perak, telah mengugut akan meletakkan jawatannya sebagai ahli Dewan Undangan Negeri Perak (Pengkalan Hulu).
Beliau akan bertanding semula dalam Pilihan Raya kecil yang akan diadakan nanti. Tetapi beliau mungkin tidak mengetahui, bahawa ada undang yang dibuat pada Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, bahawa setiap orang meletakkan jawatan dari ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negeri, tidak boleh bertanding semula dalam tempoh lima tahun.
Pada masa ini nampaknya tokoh UMNO Perak yang kuat melaung seperti mengatasi Tajol Rosli, ialah, Dr. Zambry Abdul Kadir, ahli Dewan negeri Perak (Pangkor).
Ramai pula kalangan UMNO Perak menolak Dr. Zambry untuk menggantikan Tajol Rosli, kerana beliau bukan anak Perak jati, beliau orang Pulau Pinang.
Mereka juga mahukan Ketua Jawatankuasa UMNO Perak menggantikan Tajol Rosli dari anak Perak atau lain dari keturunan orang Pattani.
Kalau penolakan itu berjaya, maka Datuk Seri Mohd. Nazri bin Abdul Aziz tidak diterima memegang jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Negeri Perak, kerana beliau juga dari keturunan orang Pattani.
Tokoh yang ada harapan besar mengganti Tajol Rosli ialah, Datuk Mohd. Zahid Hamidi. Beliau adalah keturunan orang Jawa dan bekas penuntut Sekolah Menengah Agama Islam, Izzuddin Shah, Ipoh.
1 comment:
Satu analisa yang baik dan berkesan.
Sekiranya penulis menyokong pandangan tersebut, seharusnya penulis juga membuat analisa politik UMNO di Pulau Pinang, siapakah yang menjadi Ketua Perhubungan UMNO Pulau Pinang dan wajarkah beliau melepaskan jawatan tersebut.
Terima kasih.
Post a Comment