Friday, May 2, 2008

Berita

Profesor Diraja Ungku Aziz sedang berucap di Majlis

Pelancaran Buku ‘Mencari Jalan Pulang’.


Kuala Lumpur: Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz telah melancarkan buku ‘Mencari Jalan Pulang – Dari Sosialis Kepada Islam’ karya Dr. Kassim Ahmad, di Dewan Bahasa Dan Pustaka, pagi ini.

Lebih 50 orang sasterawan, penulis, cendekiawan dan pengamal politik Melayu telah hadir dalam majlis tersebut, di antara mereka, tokoh politik kiri, bekas Presiden Parti Rakyat Malaysia, Syed Hussein Ali, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah dan bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Datuk Abdullah Ahmad Kok Lanas.

Dalam ucapannya, Ungku Aziz telah memuji Dr. Kassim Ahmad – murid beliau -yang telah menulis buku yang telah menjelaskan perbezaan antara Islam dan Sosialisme.

“Saya harap penulis – penulis dapat menulis buku dan artikel untuk menerangkan lebih jelas lagi apa sebenarnya sosialisme dan mengapa pula ada politik kanan dan politik kiri,” katanya.

“Ramai dari bekas murid saya di Universiti telah menulis buku, tetapi saya sendiri sejak 40 tahun hingga kini hanya menulis sebuah buku kecil,” katanya lagi.

Dr.Kassim Ahmad anak kepada seorang mualim di Kedah. Dia seorang cendekiawan dan sasterawan Melayu dan telah menghasilkan banyak buku, dia antara buku-buku karyanya, ‘Characterization in Hikayat Hang Tuah, Kemarau Di Lembah, dan Suara Tujuh (antologi bersama).

Beliau adalah bekas mahasiswa Universiti Malaya (Singapura) dan Universiti Malaya (Kuala Lumpur). Pada 1 Jun 1960 hingga 31 Ogos 1962 beliau telah bertugas sebagai Pegawai Penyelidik di Dewan bahasa dan Pustaka. Kemudian menjadi pensyarah sambilan di sebuah universiti di London.

Beliau terkenal sebagai seorang penganut fahaman Sosialisme iklim (mengikut dasar sosialis tetapi beragama Islam) apabila dia menegang jawatan Pengerusi Kebangsaan, Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PRSM).

Dalam usaha mengkaji Hadis, Dr.Kassim Ahmad telah mempertikaikan beribu Hadis Nabi Muhammad s.a.w. terdapat yang tidak sahih dan daif.

Berikutan dengan itu dia telah difitnah oleh musuh-musuh politiknya sebagai seorang anti Hadis.

Kini Kassim Ahmad berusia 75 tahun dan masih giat menulis.


BASMI RASUAH

Putrajaya: Sebilangan dari pemilik syarikat-syarikat pembekal bahan bacaan, percetakan, alat tulis dan sebagainya meminta Badan Pencegah Rasuah secara telus melakukan penyiasatan terhadap agensi-agensi kerajaan yang telah melakukan perbuatan rasuah sehingga mereka tidak dapat menjalankan perniagaan dengan baik.

Akibatnya mereka mengalami masalah membekal kepada kerajaan, terutama disebabkan mereka yang sedia bekerjasama dengan pegawai berkenaan membolot semua tender-tender kerajaan.

Di antara agensi itu, Bahagian Bekalan Buku Kementerian Pelajaran, Dewan Bahasa dan Pustaka, Perpustakaan Negara dan Bahagian Hiburan khususnya drama , Radio dan Televisyen Malaysia.

Punca peniagaan yang enggan disiarkan namanya, berkata, amalan ini telah berjalan sejak lama dulu lagi, tetapi tidak ada sebarang langkah dibuat untuk membasminya.

“Kami mengalami masalah menyertai tender, iaitu kami yang masuk tender tak dapat, tapi yang tak masuk tender dapat,”katanya.

“Barang-barang yang kami masuk tender itu terpaksa dinaikkan harga dua tiga kali ganda, kerana dari harga ganda itu untuk pegawai-pegawai,” katanya.

“Misalnya sebuah buku yang dibekalkan kepada Kementerian Pelajaran terpaksa dinaikkan dari harga biasa; sebuah buku berharga RM20 di naikkan kepada RM40, pendeknya terpaksa dinaikkan untuk menampung kehendak yang meluluskan tender, ”katanya lagi

Menurutnya kalau pegawai-pegawai Badan Pencegah Rasuah melakukan siasatan di tiap-tiap agensi dan dapat membandingkan bil dan resit barang-barang yang dibekalkan oleh agensi-agensi dengan harga barang-barang tersebut di syarikat pembahagi, maka mereka akan didapati mengetahui harga barang-barang tersebut jauh bezanya.

Di Ipoh, beberapa orang Melayu yang memegang lesen kontraktor kelas F, telah menyatakan kesal dengan sikap pegawai MARA sejak beberapa tahun yang lalu yang mencari untung mudah daripada mereka.

Menurut mereka, apabila mereka mendapat sesebuah projek kerajaan, mereka memohon pinjaman dari MAR dan pinjaman mereka itu diluluskan, tetapi wang pinjaman itu lambat dikeluarkan.

“Pegawai berkenaan meminta kami meminjam wangnya sementara wang pinjaman itu dikeluarkan, kerana kami hendak menjalankan kerja segera, maka kami terpaksa meminjam wang pegawai itu,” kata salah seorang dari mereka..

“Kami kena membayar 10 hingga 20 peratus bunga dari jumlah wang yang kami pinjam itu,” katanya lagi.

“Sehari dua setelah kami meminjam wang dari pegawai itu, maka wang pinjaman kami dikeluarkan kepada kami,” tambahnya.

No comments: