KETURUNAN PENDATANG DENGAN RAJA MELAYU
Oleh: Mokhtar Petah
Semenjak Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, orang-orang keturunan pendatang – Cina, India dan lain, mula menyentuh kedudukan dan mempertikai kedaulatan Raja-Raja Melayu semenjak zaman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada zaman Persekutuan Tanah Melayu belum merdeka, hanya sebilangan orang Melayu mempertikai dan menyanggah Raja-Raja Melayu, kerana Raja-Raja Melayu telah menandatangani gagasan Malayan Union.
Patut diingatkan, kedaulatan Raja-Raja Melayu di Filipina dan Indonesia terhapus. Mereka terpaksa meninggalkan takhta dan menjadi rakyat biasa, setelah negara-negara itu mencapai kemerdekaan dan menjadi negara republik.
Sekitar tahun 1950-an Raja Melayu Deli dan keluarganya telah berhijrah dari Deli dan tinggal bernaung di bawah Sutan Perak, Sultan Yussuff Izuddin Shah, di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Dato’ Onn Jaafar pada masa memimpin UMNO, telah bertelagah dengan Sultan Johor dan Raja-Raja Melayu, setelah dia mengemukakan kepada Kerajaan Inggeris dan Majlis Raja-Raja agar dilantik seorang anak Melayu menjadi Timbalan Pesuruh Jaya Tinggi di Tanah Melayu dalam usaha untuk mempercepatkan kemerdekaan.
Sultan Johor dan Raja-Raja Melayu tidak setuju, kerana mereka tidak mahu anak Melayu yang memegang jawatan Timbalan Pesuruh Jaya Tinggi itu berkedudukan lebih tinggi daripada mereka.
Sultan Johor telah murka Dato’ Onn dan pemimpin Melayu itu telah meninggalkan jawatannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.
Kongres Alim Ulama Tanah Melayu anjuran Jawatankuasa Khas Agama Islam dalam UMNO, yang diketuai oleh Haji Ahmad Fuad bin Hassan (kemudian mengetuai PAS), di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur, telah mencapai keputusan mengenai hak Raja-Raja Melayu.
Hak Raja-Raja Melayu itu, ialah mereka menjadi Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu di negeri masing-masing.
Keputusan itu dibawa kepada UMNO Malaya dan dengan persetujuan Kerajaan Inggeris, di jadikan ‘kuasa’ di bawah ‘Hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan Hak kedaulatan’ dalam Bahagian 8 – 181. Perkecualian Bagi Kedaulatan Raja-Raja’, dalam Perlembagaan Persekutuan.
Apabila UMNO ditubuhkan pada Mei 1946, Dato’ Onn sebagai Ketua parti politik Melayu itu telah berbaik dengan Sultan Johor dan Raja-Raja Melayu. Pada 11 Mei, Sultan Johor telah merasmikan kongres Melayu yang kedua dan penubuhan UMNO di Istana Besar, Johor Bharu.
Tunku Abdul Rahman yang telah mengambil alih jawatan Ketua UMNO Malaya dari Onn Jaafar pada tahun 1951, telah dimurka dan dihalau dari Istana Alor Setar oleh abangnya, Sultan Kedah, tetapi Tunku tidak melawan.
Tunku Abdul Rahman dan isterinya, Sharifah Radziah ‘pindah malam’ dari Istana abangnya, dan tinggal di sebuah rumah usang, di Telaga Air, dekat Kepala Batas, Seberang Perai.
Kerana memimpin UMNO dan meneruskan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman yang tidak mempunyai wang (semua sumber kewangan sebagai waris Sultan di tahan oleh abangnya), Tunku terpaksa menggadaikan banyak barang kemas isterinya.
Semenjak negara mencapai kemerdekaan hingga pada zaman Tun Hussein Onn memegang jawatan Perdana Menteri (Januari 1976- Jun 1981) dan Timbalannya Dr. Mahthir Mohamad, telah berlaku pertelagahan antara pucuk pimpinan UMNO dan Menteri Besar Perak, Tan Sri Ghazali Jawi dengan Sultan Perak, Sultan Idris Shah ibni Sultan Iskandar Shah, kerana Baginda tidak berkenan Ghazali Jawi memegang jawatan Menteri Besar.
Pada masa itu Negeri Perak berada dalam krisis antara pihak UMNO dengan Istana. Sultan Idris telah bernazar dengan menyimpan janggut dan jambangnya.
Pada masa itu, tidak ada orang pendatang atau keturunan mereka telah menyanggah atau mempertikaikan kuasa Sultan. Presiden Parti Progresif Rakyat, S.P. Seenivasagam dan Setiausaha Agungnya, D.R. Seenivasaga telah tidak melakukan sebarang pertikaian terhadap Sultan Perak dan mana-mana Sultan di negara ini.
Pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai Kerajaan Malaysia (Jun 1981- Oktober 2003), telah berlaku perbuatan mengecam, menyanggah dan menghapus kekebalan Raja Melayu oleh orang Melayu dan bukan Melayu.
Mereka yang bertanggungjawab memulakan perbuatan itu, ialah Dr. Mahathir Mohamad, Tun Ghafar Baba dan Anwar Ibrahimm serta beberapa orang ahli-ahli politik dalam UMNO.
Tun Hussein Onn
Pada masa itu, Anwar Ibrahim (yang dalam dirinya ada Islamisme dan sedikit sosialisme) telah melaungkan suaranya ke langit zaman ‘mengecam dan menyalahkan’ Sultan Kelantan, yang telah memnbawa balik kereta mewah milik Baginda dari Pelabuhan Klang ke Kelantan, menurut Anwar ‘Baginda mesti bayar cukai’.
Sultan Kelantan
Dua rakan karib - Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim telah ‘mengecam dan menyanggah’ Sultan Johor, kerana telah berlaku insiden - Baginda telah memukul rakyat Baginda yang tersasar melanggar adat istiadat Melayu.
Dr. Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim yang pada masa itu telah menjadi juara orang Melayu dalam UMNO memansuhkan kekebalan Raja Melayu. Pemansuhan itu telah menjadikan Raja-Raja Melayu kurang bisa dan tidak lagi digeruni oleh mereka dari keturunan pendatang di negara ini.
Pemansuhan pada Perlembagaan yang dibuat dalam Parlimen itu, ialah pada Bahagian 14, 181 (2) Tiada apa-apa perbicaraan boleh dibawa dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja-Raja bagi sesuatu Negeri atas sifat peribadinya.
Dr. Mahathir Mohamad
Pindaan pada masa Dr.Mahathir Mohamad: Tiada apa-apa perbicaraan boleh di bawa dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja-Raja bagi sesuatu Negeri atas sifat peribadinya kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan dibawah bahagian 5.
(Lihat buku: Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu, oleh: Mokhtar Petah).
Semenjak kekebalan Raja-Raja dimansuhkan, ternampak di sana sini orang-orang Melayu dari UMNO mempertikai atau menentang keputusan Raja-Raja Melayu.
Satu kejadian, Menteri Besar Selangor, Tan Muhammad bin Mohd. Taib dimurka oleh Sultan Selangor kerana beliau berkahwin dengan puteri Banginda, Tengku Zanariah di luar pengetahuan Baginda dan di luar negara. Tetapi Muhammad tidak durhaka kepada Sultan. Kemudiannya Baginda mengakui beliau, “Menantu beta”.
Muhammad Taib
Dua kejadian telah berlaku, Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassin dan pengikut-pengikutnya mempertikai dan membantah keputusan Raja Perlis kerana melanti Datuk Dr. Md Isa Sabu untguk memegang jawatan Menteri Besar Perlis yang baru.
Kemudian ahli-ahli UMNO yang berpihak kepada bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Idris Jusoh mengadakan tujuk perasaan dan menghantar memorandam kepada Sultan negeri itu, kerana pihak Sultan telah melantik Datuk Ahmad Said (Kijal) menjadi Menteri Besar.
Secara ikhlas kita mengakui, bahawa orang-orang Melayu dalam UMNOlah yang telah memulakan segala kecaman dan tentangan terhadap Raja-Raja Melayu, kemudian, kerana jalan telah dibuka, maka orang-orang keturunan pendatang di negara ini mula mengikuti jalan itu.
Penasihat DAP, Encik Lim Kit Siang mempertikaikan Sultan Perak, Sultan Azlan berhubungan dengan perlantikan Menteri Besar Perak selepas pilihan Raya Umum ke - 12.
Kemudian diikuti oleh Pengerusi Kebangsaan DAP, Encik Karpal Singh telah mempertikaikan bidang kuasa Sultan berhubungan dengan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, Datuk Jamry Sury.
Mungkin, kalau semua orang Melayu dan orang Islam faham akan dasar DAP yang serupa dengan PAP Singapura, iaitu berkonsepkan sosio-demokratik (Sains politik: Negara sosialis menolak pemerintahan beraja), tentulah, tindak tanduk dua tokoh DAP itu dapat dimengerti sebagai merintis jalan; mungkin pada satu masa nanti, kalau DAP berkuasa, negara ini berubah kepada negara republik, maka Raja-Raja Melayu terhapus dan keistimewaan Melayu tiada lagi.
No comments:
Post a Comment