Tuesday, May 20, 2008

Dr. M

20 Mei 2008

IKUT DENAI TUNKU ABDUL RAHMAN

DR. MAHATHIR TINGGALKAN UMNO

Oleh: Mokhtar Petah

Berita Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO, tidak mengejutkan saya, kerana saya telah lama menduga yang bekas negarawan itu akan melakukan demikian kerana menurut perasaannya sendiri.

Saya lantas mencari buku karangan saya, Dr. Mahathir dan Masa Depan Negara (1982). Saya telah mendapat buku itu dalam timbunan buku-buku lama dalam simpanan saya. Dalam ‘kata pengantar, halaman 2, saya telah menulis:

‘Buku ini saya tulis secara bebas dengan pandangan dan keyakinan saya masa depan negara ini dalam tangan Datuk Sri Dr. Mahathir yang secara umum saya kira berbeza dari ‘trend’ tiga orang Perdana Menteri yang lalu dan kita sedang dibawa ke suatu zaman yang belum pernah kita tempoh sebelumnya.

Walau bagaimanapun beliau akan menghadapi banyak kesulitan, samada dari orang-orang melayu yang tidak tebal dengan semangat nasionalis dan tebal dengan apa yang disebut ‘sekular’ dan memandang Islam hanya sebuah agama untuk beribadat sahaja, mahupun orang-orang bukan Melayu yang bersikap ‘sudah dapat betis hendakkan peha pula’.

Saya membuat kesimpulan sebelum menulis buku ini, beliau akan disokong oleh orang-orang melayu seluruhnya sekiranya beliau tidak melekangkan konsepnya disamping sanggup secara paksa ‘force’ kewujudkan ‘Islam sebagai dasar negara’ ertinya ‘bukan Islam agama rasmi negara’.

Pada bahagian penutup (halaman: 181):

Sejak sebelum mencapai kemerdekaan hingga hari ini kita dapat para pemimpin Melayu dan pengikut mereka berselisih dan bergeser sesama sendiri – ada yang keutara ada yang ke selatan. Lalu pengeseran itu bersifat seperti peribahasa Melayu ‘Antan sama antan belaga, ayam yang kenyang’. Pengeseran itu disebabkan berlainan pandangan politik, berlainan idea untuk menegakkan negara dan membaiki keadaan dan nasib rakyat.’

Pada zaman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Dr. Mahathir Mohamad telah dipecat dari UMNO, kerana surat layangnya kepada Perdana Menteri itu dianggap menentang pemimpin dan ahli parti politik yang tidak berdisiplin.

Sama ada dalam ucapan mahupun dalam tulisan, Dr.Mahathir Mohamad telah mengkritik Tunku Abdul Rahman dan dalam bukunya Malay Dilema, telah diharamkan oleh kerajaan, kerana terdapat banyak tulisannya menyentuh kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak.

Apabila Dr. Mahathir telah berkuasa sebagai Perdana Menteri dari tahun 1981 hingga 2003, banyak amalannya, sama ada dalam bidang politik mahupun memimpin Kerajaan Malaysia seperti telah terlupa akan kritiknya kepada Tunku Abdul Rahman; beliau telah melakukan seperti yang diamalkan oleh Tunku Abdul Rahman.

Banyak perkara yang diamalkan dalam kerajaan dan dalam UMNO tidak menyenangkan hati sebahagian besar orang ramai, umat Islam dan ahli UMNO.

Dr. Mahathir Mohamad

Tetapi sepanjang masa pemerintahan beliau, orang tidak berani menentang atau mengkritik, kerana mereka takut berpindah ke Kemunting melalui kuasa kuasa Akta Keselamatan Dalam Negeri atau dituduh di bawah mana rang undang-undang ( seperti yang dialami oleh Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atau disingkirkan dari UMNO dan telah meringkuk dalam penjara di Sungai Buluh.

Saya melihat, pada masa Dr. Mahathir Mohamad mengetuai Kerajaan Malaysia, beliau telah memegang segala kuasa, termasuk bertindak sehingga kekebalan Raja-Raja Melayu terhapus (lihat, Kerajaan Mansuh Kekebalan Raja Melayu, oleh: Mokhtar Petah; 1993.

Pendeknya Dr. Mahathir Mohamad telah menjalankan pemerintahan dan memimpin UMNO seperti ada sedikit kediktatoran atau kuasa mutlak yang tidak boleh dibantah oleh orang bawahannya.

Pada masa beliau memerintahlah, wujud perasaan gundah gulana di kalangan para wartawan peringkat tinggi di syarikat-syarikat akhbar. Salah melangkah akan menerima akibat.

Walaupun Dr. Mahathir Mohamad seorang yang gigih membangun negara ini, tetapi pembangunan yang dilaksanakan banyak wang dibelanjakan dan banyak pula beban hutang.

Dalam buku saya ‘Terima Kasih Dr. Mahathir’, saya telah mengambil percakapan pemikir Melayu yang berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka, Jaafar Rahim, iaitu Dr. Mahathir seorang pemimpin yang gila-gila (bukan gila - mp).

Di antara pemimpin – pemimpin di dunia ini yang gila-gila, ialah: Adolf Hitler – German (1933-45), idi Amin –Uganda (1971- 79) Presiden G.W. Bush –Amerika Syarikat (1989-kini) dan Perdana Menteri British dan Anthony Blair (1997 -2007)

Dr. Mahathir Mohamad telah gagal menyatupadukan orang Melayu dan umat Islam. Kerana kegagalan, beliau telah meninggalkan kata-kata kesat yang tercatat dalam sejarah Malaysia, iaitu “Melayu malas”. Pemimpin yang baik tidak menghina bangsanya sendiri.

Saya tidak pasti, tetapi yang nyata; apabila Anwar Ibrahim disingkir oleh Dr. Mahathir Mohamad dari Kerajaan dan UMNO, maka untuk mengganti tempatnya sebagai Timbalan Perdana Menteri, telah menjadi pertanyaan umum. Ada yang menjangkakan orang Pahang, orang Johor dan orang Kedah. Ada juga yang menjangkakan Dato Seri Rafidah Aziz.

Saya telah menghantar buku karangan saya, Datuk Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat, kepada Dr. Mahathir Mohamad di kediaman beliau, Sri Perdana, Kuala Lumpur.

Bersama buku itu saya lampirkan surat saya. Dalam surat itu saya telah mengemukakan pandangan saya kepada Dr. Mahathir Mohamad, iaitu orang yang paling layak adalah orang yang buku biografinya bersama surat itu. Alasan saya, ialah, Abdullah Badawi akan dapat membantu beliau dan mengatasi masalah demonstrasi jalanan oleh para pengikut Anwar Ibrahim.

Sekali lagi saya nyatakan tidak pasti, adakah pendapat saya itu diterima oleh Dr. Mahahtir Mohamad atau tidak, tetapi yang nyata tokoh yang saya kemukakan itu telah dilantik menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri.

Setelah Dr. Mahathir Mohamad lama berhenti , maka timbul isu kerajaan membatalkan projek jambatan bengkok yang menghubungkan Johor dengan pulau Singapura, beliau telah menyerang dan menggodam Abdullah Badawi, di mana-mana sahaja beliau telah berucap.

Semua ucapan beliau telah menyalahkan Abdullah Badawi. Tetapi bagi yang arif dan kenal mana penyu dan mana lelabi, maka tahulah, dari semua ucapannya itu telah membuka ‘pekung’ atau ke kelemahan dan kesalahannya sendiri selama bertahun-tahun memerintah negara ini.

Amat mengejutkan kita, apa bila nama Dr. Mahathir Mohamad tersenarai bersama mereka yang berperanan seperti dalam laporan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat klip video mengenai perbualan seorang peguam dengan hakim kanan bagi mengatur pelantikan hakim.

Setelah melakukan serang dan godam, Dr. Mahathir Mohamad telah memaklumkan kepada khalayak umum, bahawa beliau telah ‘silap pilih’ Abdullah Badawi untuk mengambil alih tempatnya sebagai Perdana Menteri.

Macam cerita Tun Hussein dan Tan Sri Ghazali Shafie kepada saya. Sebenarnya Hussein Onn telah memaklumkan kepada Ghazali Shafi, yang beliau akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, tetapi kerana ada tekanan oleh pihak pemuda yang dikepalai oleh Allahyarham Tan Seri Megat Junid, maka Hussein Onn telah mengenepikan Ghazali Shafie dan melantik Dr. Mahathir Mohamad.

Penulis dengan Ghazali Shafie

Dr. Mahathir Mohamad pada waktu mengistiharkan dirinya keluar dari UMNO, dan akan masuk semula ke dalam parti itu, sekiranya Abdullah Badawi mengundurkan diri dari kerusi Perdana Menteri. Cara itu adalah satu ugutan yang merugikan orang Melayu dan akan memecah belahkan UMNO.

Sekiranya ahli-ahli UMNO terpengaruh dengan ugutan Dr. Mahathir Mohamad itu, samalah dengan orang yang mengikut ‘Si luncai Terjun dengan labu-labunya’, ertinya sama-sama lemah dalam air.

Yang paling baik, ialah sama-sama melihat si loncai terjun dengan labu-labunya, dan masing-masing berkata, “biarkan, biarkan”, kerana kepentingan perpaduan dan parti politik Melayu lebih penting dari seorang rakan yang merajuk.

Sebaik-baiknya semua ahli UMNO tidak mengikut ragam atau tindakan Dato Seri Dr. Rais Yatim yang telah ‘bakar titi’ setelah menyeberang. Tetapi akhirnya beliau kembali menyeberang tanpa titi.

Langkah Dr. Mahathir Mohamad menggodam dan menyerang Abdullah Badawi dan akhirnya keluar dari UMNO, sama dengan langkah Tunku Abdul Rahman yang menggodam Perdana Menteri selepasnya termasuk Dr. Mahathir Mohamad dan kemudian meninggalkan UMNO.

Cara Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan UMNO, seperti saja di berikut ini:

Hendakku rajuk ke tasik lara,

Entah dipujuk entah tiada,

Badan lara bawa menghilir,

Sedih hati terpisah teman,

Hendakku bawa perahuku sempit,

Hendakku tinggalkan tak sampai hati.

No comments: