Tuesday, May 20, 2008

ANWAR IBRAHIM

PENGANUT SOSIALISMEKAH DIA?

Oleh: Mokhtar Petah

Kenangan manis tujuh tahun di Kuala Kangsar;

Pendedahan ilmu berguna;

Guru berketerampilan dan dedikasi,

Sahabat karib lagi setia;

Solat di masjid Ubudiah;

Nasi lemak di restoran tepi sungai (malangnya diroboh kini);

Berceramah di Sayong;

Berkenalan di kota Lama kiri;

Ziarah makam almarhum Ustaz Zulkifli Mohamad;

Berkenalan dengan Mokhtar Petah;

Selain MCKK ada kalanya bersua rakan di GEGS;

Wah, tempat jatuh lagi dikenang;

Inikan pula tempat bermain dan mula berjuang.

5 November 2006 Anwar Ibrahim


Kira-kira 19 bulan yang lalu, mantan Menteri Pendidikan, Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melontarkan ke maya, sebuah sajak karyanya yang mengenangkan kepada zaman dia menuntut di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) selama tujuh tahun, iaitu sekitar tahun 1960-an.

Sajaknya itu ditulis Anwar Ibrahim kerana memenuhi hajat peminat atau pengikutnya, Nizam, melalui laman blognya.

Dalam sajak Anwar Ibrahim itu, pada baris yang ke sepuluh, iaitu di bawah barisan ‘Ziarah makam almarhum ustaz Zukifli Mohamad’. Maka harini, iaitu setelah 19 bulan sajak itu terlontar ke maya, maka, saya rasa terpanggil untuk menulis seperti berikut; sama ada tentang Anwar Ibrahim selama menuntut di MCKK dan sebagai pejuang terbilang.

‘Guru berketerampilan dan dedikasi;

Sahabat karib lagi setia’

Semua guru yang mengajar di MCKK adalah terdiri daripada mereka yang berkelayakan (lepasan universiti bidang pendidikan), dedikasi dan bertanggungjawab kepada tugas masing-masing. Di antara mereka, Muzaffar Desmon Tat, berasal dari Australia. Telah memeluk agama Islam dan berkahwin dengan seorang gadis, di Bukit Mertajam. Ustaz Abdul Rahman, guru agama. Dari Bukit Gantang, Perak. Dia seorang guru yang aktif dalam aktiviti pelajar, di antaranya majlis dan peraduan syarahan, majlis agama dan kebudayaan.

Sebuah jawatankuasa khas di MCKK telah meminta mengendalikan kursus ‘kewartawanan dan hal ehwal antarabangsa’ untuk kira-kira 180 orang pelajar kolej itu yang akan melanjutkan pelajaran ke beberapa insititusi pengajian tinggi di seberang laut.

Kursus itu diadakan pada tiap-tiap petang Sabtu dan Ahad, selama empat bulan. Anwar Ibrahim tidak menyertai kursus itu,kerana dia bakal penuntut Universiti Malaya.

Jawatankuasa Penganjur Peraduan Syarahan antara penuntut-penuntuk MCKK telah mengundang saya dan dua penulis, Haji Fadzil Khalid (wartawan surat khabar Semenanjung) dan Abdul Latif Hussein (Utusan Malayu) untuk menjadi pengadil syarahan tersebut.

Pada malam peraduan syarahan di Dewan Razak, kolej tersebut, antara penuntut-penuntut yang mengambil bahagian, ialah Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim telah berucap dengan baik, tetapi gaya tangan dan memek mukanya pada ketika berucap perlu diperbaiki. Dia telah berjaya menjadi johan syarahan pada malam itu.

Setelah keputusan diumumkan, saya telah diminta mewakili para pengadil untuk memberi ucapan kepada pelajar-pelajar dalam dewan itu.

Dalam ucapan saya itu, saya telah memuji kebolehan Anwar Ibrahim dan saya telah berkata, ‘ …saya yakin, johan syarahan ini, akan menjaadi pemimpin negara kita pada satu hari nanti”. Sebaik-baik mendengar percakapan saya itu, semua pelajar bertepuk dan bersorak dan Anwar Ibrahim melompat dari kerusi di hadapan saya.

Sebaik-baik majlis peraduan itu bersurai, Anwar Ibrahim telah bertanya kepada saya akan bagaimana hendak bersyarah dengan baik. Saya telah memberitahu dia, supaya berlatih di hadapan cermin besar untuk melihat gerak gerinya pada waktu berucap. Di samping itu dia kena hafal ketungan ucapan atau tulisan Presiden Soekarno, Muhammmad Abduh, Syed Qutb dan pemimpin-pemimpin dunia yang pandai berucap.

Kebetulan pada masa itu, saya gemar membaca buku tentang ‘pengintipan’ dan tugas-tuga polis cawangan khas. Saya kira percakapan saya dengan Anwar Ibrahim, saya telah berjaya memasukkan serba sedikit fahaman dan idea saya (boleh dikatakan brains wash) kepadanya (mungkin tidak).

Selain dari itu saya menasihatinya, supaya menggunakan kata-kata yang menarik pada waktu berucap, misalnya ‘iltizam’ dan ‘jihad’ dan kata-kata lain.

Anwar terus berlatih berucap di bilik asramanya.

Di antara rakan-rakan Anwar Ibrahim, ialah Mahsun (pelukis) dan Abdul Rahman, peminat bidang penulisan (kemudian bekerja dalam Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Abdul Rahman Yusof).

Mahson dan Abdul Rahman telah mengikuti bengkel penulisan dan kewartawanan yang saya telah anjurkan, di Kuala Kangsar selama enam bulan.

Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir Mohamad

Pada masa itu, saya adalah penulis pertama di Negara ini yang telah mengadakan kursus dan bengkel ilmu penulisan dan kewartawanan. Lebih seratus orang calon penulis, di antara mereka itu, Baharuddin Kahar (kemudian penulis dan novelis), Mohd. Nur Samsuddin, Nasaruddin Abu Bakar, Shabuddin Hassan, Hashim Panjang Mamat (kemudian bekerja dengan Utusan Malaysia), Abdul Rahman Yusof (bekerja dalam DBP) dan Mahsun (bekerja dengan kerajaan).

Anwar Ibrahim seorang penuntut yang tidak pernah tinggal sembahyang. Bila hari kelepasan, dia sembahyang di masjid Ubudiah, Bukit Chandan dan makan di restoran Pak Kasim, dekat Bazaar dan tepi sungai dekat jambatan ke Bukit chandan. Sekarang restoran dan bazaar itu telah tidak ada lagi.

‘Berceramah di Sayong;

Berkenalan di Kota Lama Kiri,

Ziarah makam almarhum ustaz Zukifli Mohamad;

Berkenalan dengan Mokhtar Petah;

Pada masa itu, pemimpin Parti Rakyat Malaya, Ahmad Boestamam sering datang ke majlis-majlis yang diadakan oleh Parti Rakyat di kampung-kampung sekitar Kuala Kangsar. Setiap kali dia datang ke Kuala Kangsar, dia telah menemui saya. Dia dan saya dua rakan karib, tetapi saya tidak menjadi ahli partinya.

Beberapa orang anggota Parti Rakyat Kuala Kangsar, di antara mereka itu, Haji Fadzil Khalid, Abdul Latif Hussein, Abu Bakar Qasimi, Rashid Ali dan Meor Hashim rapat dengan saya.

Pihak Parti Rakyat yang mengadakan majlis menyambut Maulidur Rasul di Kampng Geliong (kampung pendalaman), Kampung Sayong (seberang sungai Perak) dan Kampung Talang Dusun (dekat Padang Polo dalam Bandar Kuala Kangsar).Melalui saya mereka mengundang Anwar Ibrahim memberi ucapan di majlis-majlis tersebut.

Anwar Ibrahim telah berucap dalam ketiga-tiga majlis itu seperti seorang pejuang politik. Dalam ucapannya, dia telah mengkritik Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Menteri Besar Perak, Datuk Shaari Shafie dan ahli Dewan Rakyat (Kuala Kangsar) Toh Muda Abdullah Abdul Rauf.

Rakan-rakan Anwar Ibrahim sering melawat ke Kampong Kota Lama Kiri. Ramai orang bijak pandai Melayu lahir di kampug itu,di antara mereka itu, Profesor Sulkili Mohamad (Timbalan Yang Dipertua PAS), Dato’ Dr. Arifin Marzuki, Ir. Ishak Marzuki, Yang Amri Kamaruddin, Dr. Haji Megat Khas dan Senator Mohd. Said Abu Bakar.

Pada masa Anwar Ibrahim menuntut di MCKK , seorang pelajar di kolej itu telah berkahwin dengan seorang janda, di Kampung Kota Lama. Khabarnya penuntut itu tidak dapat meneruskan pelajarannya di kolej tersebut.

“Selain MCKK ada kalanya bersua rakan di GEGS’

Anwar Ibrahim ada seorang rakan – girl friend -, di Government Girls School (GEGS) Kuala Kangsar, iaitu, Rohaya, anak kepada seorang tokoh syarikat kerjasama, Baheran.

Setelah tamah universiti, Rohaya bekerja di sebuah bank di Ipoh. Pada masa Anwar Ibrahim Timbalan Perdana Menteri, Rohaya seorang tokoh Pergerakan Wanita UMNO Kuala Kangsar dan dia telah dilantik sebagai anggota Dewan Senat – Senator Rohaya Baheran.

Pada masa Anwar Ibrahim meninggalkan MCKK, saya telah tinggal di Ipoh. Pada masa dia menuntut di Universiti Malaysia, ada juga sekali sekala saya melihat dia berdemonstrasi termasuk demonstrasi kemiskinan Baling.

Apabila Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Pendidikan, pada satu pagi saya tertembung dengannya di lobi Kementerian Pendidikan, Pusat Damansara, tetapi kami sekadar bersalaman di hujung jari sahaja.

Pada tahun 1990-an, saya telah menulis sebuah buku mengenai Anwar Ibrahim. Dalam buku itu saya telah mengesakan, bahawa Anwar Ibrahim tidak akan berjaya menjadi Perdana Menteri.

Buku itu telah diproses oleh Karang Kraf untuk diterbitkan. Pada satu hari, saya dijemput oleh salah seorang pengarah syarikat itu, Fahim (rakan anwar Ibrahim masa di Universiti Malaya). Dia memberitahu saya, bahawa dia tidak yakin dengan tulisan saya dalam buku itu mengenai Anwar Ibrahim dan dia mahu saya padamkan.

Saya telah menolak kehendaknya dan saya meminta dia memulangkan manuskrip buku itu kepada saya. Dia telah meminta tempoh sekadar seminggu. Tetapi kira-kira sebulan kemudian saya pergi menemuinya, dan rakan-rakannya memberitahu saya yang manuskrip saya itu telah hilang. Fahim hanya meminta maaf. Maklum dia ada pemilik syarikat dan saya hanya penulis.

Saya telah meneliti Anwar Ibrahim dan susur galur perjuangannya. Dia seorang kuat berpegang kepada Islam dan yakin kepada politik Islam dan dia bukan seorang penganut sosialisme, tetapi entah mengapa, kini, berada dalam perjuangan sosio-demokratik.

Dalam buku saya Abdullah Badawi Penjana Modal Insan (2006), saya telah menulis:

‘Kata-kata ulul albab (cendekiawan) Melayu, “dua orang politikus bersahabat tidak sampai ke hujung dan bermusuh tidak ada hujungnya jua”. Demikian agaknya antara Anwar Ibrahim dan Abdullah Badawi.’

‘Walau bagaimanapun, saya yakin sebagai orang Islam dan tegas iman; dalam hati Anwar Ibrahim ada Abdullah Badawi dan dalam hati Abdullah Badawi ada Anwar Ibrahim. Mereka sama bangsa, menganut sama agama, sama kuat iman kepada Allah yang mengajar mereka ‘ar rahman ar rahim’

Tarik tarik akar bayam,

Maman juga pahit daunnya;

Carik carik bulu ayam,

Lambat laun bercantum jua’.

Mengakhiri tulisan ini, saya bertanya kepada Pak Sheikh; kemana hendak membawa orang Melayu dan rakyat Malaysia, kepada negara nasionalis - kapitalis, negara Islam atau negara sosialis-demokratik?

No comments: