Oleh: Hidayat Jahara
Jika kita menggunakan akal yang singkat, segala masalah yang telah menimpa UMNO, terutama kekalahan calon-calonnya dan semua parti sekutunya dalam Pilihan Raya Umum ke-12, pemimpin, maka Abdullah Ahmad Badawi yang mesti memikul beban kesalahan.
Kerana berfikiran singkat dan tidak berlandaskan agama Islam atau seperti orang mencampak batu sembunyi tangan dan orang tak mengaku berak tepi jalan, maka mereka melonggokkan kesalahan ke atas Abdullah Ahmad Badawi dan melaung ke seluruh maya supaya beliau meletakkan jawatan atau berundur dari memimpin UMNO dan Kerajaan Malaysia.
Apabila kita menggunakan fikiran yang waras akal yang telus akan iradat dan kudrat Tuhan, maka segala masalah yang telah melanda UMNO, tidak boleh menyalahkan Abdullah Badawi, kerana beliau tidak sampai sesuku dari masa Dr. Mahathir Mohamad mengetuai UMNO dan negara ini.
Akibat kesalahan atau dosa orang yang memikul tanggungjawab dalam sesuatu organisasi atau negara, maka apabila Allah menurunkan pembalasan atau bala, maka semua ahli organisasi atau rakyat negara itu turut menerima akibat tersebut.
Sesuatu bala – mala petaka, banjir, ribu dan taufan dan sebagainya adalah pembalasan dari Allah ke atas individu atau mereka yang bertanggungjawab atas kerajaan atau pemerintah yang melakukan kesalahan atau dosa.
Dalam sejarah dunia, tercatat banyak kisah bala dari Allah. Di antara kisah-kisah itu, ialah banjir Besar pada zaman Nabi Nuh, Maha Firaun dan angkatan tenteranya tenggelam dalam Laut Merah, bumi terbalik dan terbakar di Sodom pada zaman Nabi Luth, adalah kerana kesalahan atau dosa manusia yang melanggar hukum dan kuasa Allah.
Sebelum melanjutkan tulisan ini, elok kita mengingati sejarah UMNO. Sesungguhnya, UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 telah berkubur. Yang ada sekarang adalah UMNO yang ditubuhkan dengan kehendak Dr. Mahathir Mohamad. Beliau adalah ahli pertama parti politik Melayu yang baru itu.
Selama lebih 20 tahun Dr. Mahahtir Mohamad memerintah negara ini, semua ahli UMNO (terpaksa menjaga kedudukan, pangkat dan periuk nasi) mengikut telunjuk beliau tanpa bantahan sebagai rakyat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi (mungkin bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam lebih arif) atau seperti orang suruh Raja pada zaman silam.
Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Hussein Onn
Pada zaman Dr. Mahathir Mohamad berkuasa, banyak tindak tanduk yang dilakukannya ke atas hamba-hamba Allah, bersifat aniaya atau dizalimi. Ada di antara mereka terkorban, meringkuk dalam penjara atau tahanan dan mendapat malu yang menghinakan diri.
Di antara tindak tanduk dengan kuasa di tangan Dr. Mahathir Mohamad, ialah:
1) Tragedi di kampung Memali, Baling Kedah, pada November 1985, yang mengakibatkan Ustaz Ibrahim Libya terkorban.
2) Tuduhan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim meliwat lelaki yang rapat dengan beliau.
3) Berlaku perbuatan rasuah di dikalangan individu di peringkat menteri, pegawai dan kaki tangan kerajaan.
4) Rasuah politik di kalangan mereka yang merebut Jawatan,kedudukan dan pengaruh dalam UMNO.
Mungkin setiap orang Islam lagi mukmin bersetuju dengan pendapat saya, bahawa UMNO telah ditimpa masalah dan derita, adalah akibat dari kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh pemimpinnya sebelum Abdullah Ahmad Badawi dan individu dalam kerajaan dan dalam UMNO yang telah mengamalkan rasuah politik.
Jenazah Ibrahim Libya
(Gambar Penerbitan Al Jihadi)
Kerana kesalahan pemimpin – Allah membalas dosa yang dilakukannya -, maka makan akibatnya, parti politik buah tangannya telah menjadi laksana bahtera dalam ribut besar dan ahli-ahlinya menjadi kelam kabut dan tidak tentu arah.
Pada hari ini terdapat dari ahli-ahli UMNO menyalahkan sesama sendiri, tidak mengakui kesalahan sendiri, dukacita memikirkan masa depan mencari arah; meninggalkan parti atau terus kekal di dalamnya. Beberapa orang penting dalam UMNO yang saya telah temui di Dewan Rakyat, berkeadaan orang tidak percayakan diri sendiri.
Saya menulis di sini tidak sekadar menggunakan logik akal, tetapi menggunakan hukum naqli atau sesuatu yang berlaku di luar pagar akal manusia; kuasa dan kehendak Tuhan mengatasi segala-galanya.
Perhatikan wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad pada hari-hari orang Islam dan orang munafik, di Madinah membawa cerita buruk mengenai isteri Junjungan, iaitu Sayiditina Aishah binti Abu Bakar As Siddiq.
Sesungguhnya mereka yang membawa berita dusta itu, ialah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu menyangka (berita dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang daripada mereka akan menerima balasan dari dosa yang dilakukannya. Dan siapa daripada mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyebaran berita dusta itu baginya azab yang besar.
Mengapa pada waktu kamu mendengar berita dusta orang-orang mukmin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: “Ini adalah satu berita yang dusta.”
Mengapa mereka (yang menuduh itu) itu tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita dusta itu? Oleh kerana mereka tidak mendatangkan saksi-saksi, maka mereka itulah pada sisi Allah orang yang dusta.
Sekiranya tidak ada kurniaan Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua di akhirat, nescaya kamu ditimpa azab yang besar, kerana pembicaraan kamu tentang berita dusta itu.
(Ingatlah) pada waktu kamu menerima berita dusta itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulut kamu apa yang kamu tidak mengetahui sedikit jua pun, dan kamu menganggapkan suatu yang ringan sahaja. Pada hal ia (tuduhan dusta itu) pada sisi Allah, adalah (dosa) besar.
(An Nur:11 -15)
Allah telah menentukan hukuman ke atas mereka yang menuduh seseorang Islam melakukan kejahatan zina dan menyebar berita dusta itu kepada orang ramai. Walaupun wahyu Tuhan itu berhubungan dengan tuduhan berzina (tetapi kalangan ulama tafsir Quran berpendapat, hukum itu termasuk menuduh seseorang lelaki meliwat). Erti wahyu-wahyu itu, ialah:
Orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh itu) lapan puluh kali dera, dan janganlah kamu menerima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik.
(An Nur: 4).
Berhubungan dengan buruk sangka seseorang terhadap orang lain, Allah telah berfirman yang ertinya:
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah dari kebanyakan sangkaan. Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian dari kamu menggunjing (mengumpat dan mencerca) sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang dari kamu semua memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.
(Al Hujurat: 12).
Jika kita menggunakan lojik akal dan berdasarkan firman Allah, ada dua kesalahan dari banyak kesalahan yang telah dilakukan oleh Dr. Mahathir Mohamad pada masa beliau berjawatan Perdana Menteri, iaitu:
1) Tragedi di kampung tidak dibawa ke pengadilan untuk menentukan kesahihan, salah atau tidak dipihak yang terlibat di kampung Memali.
2) Tuduhan ke atas Anwar Ibrahim meliwat didapati tidak benar dan sama dengan yang tersebut firman Allah (An Nur: 11-15).
Anwar Ibrahim bersama Musa Hitam
(Gambar Arena Buku Sdn.Bhd.)
Pada masa itu semua pemimpin UMNO peringkat bawah Dr. Mahathir Mohamad tidak membantah tindakan beliau (kecuali seorang berdua dari mereka mendiamkan diri dengan selemah-lemah iman). Ada yang mengambil peluang menokok tambah dalam ucapan masing-masing
di khalayak ramai.
Terdapat semua media mengambil peluang yang senada dengan Perdana Menteri dan kadang-kadang kelihatan mereka telah mendahului para hakim menjatuhkan hukuman.
Dalam zaman Dr. Mahathir Mohamad berkuasa, telah berlaku amalan rasuah oleh sebilangan orang di kalangan yang berkuasa dalam kerajaan dan rasuah politik oleh mereka yang merebut jawatan dalam UMNO.
Walaupun Dr. Mahathir Mohamad sering kali berucap telah melarang perbuatan itu, tetapi amalan itu tidak dapat dibendung atau dihapuskan. Itulah yang dilihat oleh orang ramai sebagai salah satu dari banyak kegagalan Dr. Mahathir Mohamad.
Pada masa itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) kelihatan berkeadaan seperti ada orang yang menarik tali atau seperti orang tua sedang berjalan pulang ke rumah setelah menunaikan sembahyang fardu Subuh di masjid sahaja.
Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda, bahawa Allah melaksana orang yang memberi, menerima dan orang tengah antara dua pihak yang mengamalkan rasuah. Tetapi kebanyakan orang Islam memandang ringan akan Hadis Nabi Muhammad itu. Dan kemudiannya, laknat dari Allah itu benar-benar berlaku sedikit demi sedikit ke atas UMNO.
Mulai tahun akhir Dr. Mahathir Mohamad memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO, ternampak dalam parti itu ada yang tidak kena. Di antaranya:
A. Kawan seperjuangan menikam kawan dari belakang.
B. Ramai dalam UMNO tidak berjuang dengan ikhlas; Mereka menyertai UMNO dengan tujuan mencari nama dan habuan dari kerajaan untuk menjadi kaya raya.
C. Mereka dari UMNO yang diberi tanggungjawab sebagai wakil rakyat, menteri dan sebagainya tidak menjalankan tanggungjawab dengan jujur. Perbuatan mereka itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat jelata.
Setelah Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan Kerajaan dan UMNO, maka parti politik orang Melayu itu di bawah pimpinan Abdullah Ahmad Badawi telah menerima balasan dari Tuhan akibat daripada pemimpin dan orang-orang yang lalu. Oleh kerana beliau mengambil alih memimpin parti tersebut, dicaci, dipersalahkan dan didesak supaya meletakkan jawatan sebagai pemimpin kerajaan dan UMNO.
Kalau kita merenung kepada masa lebih 20 tahun Dr. Mahathir Mohamad berkuasa dan banyak perkara, termasuk seperti yang telah saya paparkan di atas, maka tentulah tidak adil kalau ada orang dari UMNO menyalahkan Abdullah Ahmad Badawi.
Walau bagaimanapun kesalahan, Allah sedia menerima taubat dari hamba-hambanya yang berdosa sekiranya mereka bertaubat. Maka semua individu dalam UMNO yang telah melakukan amalan yang salah – dosa, hendaklah bertaubat, mudah-mudahan Allah menerima taubat mereka.
Saya amat yakin, dengan semua individu dalam UMNO bertaubat dan Allah telah menerima taubat mereka; mengampunkan mereka, insya Allah UMNO akan terus pulih dan bangun dengan mendapat keredaan dari Allah.
UMNO akan dapat meneruskan perjuangan sucinya untuk membela negara, bangsa dan rakyat Malaysia, kerajaan dan agama Islam.
Maka, siapa yang bertaubat setelah melakukan kejahatan itu (mencuri) dan memperbaiki diri, maka, sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang .
(Al Maidah:39).
Dan mohonlah keampunan kepada Tuhan kamu kemudian bertaubatlah kepada-nya. Sesungguhnya Tuhan Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.
(Hud:90).
Saya melihat ke hadapan; di luar UMNO terlalu banyak musuh politik yang sedang berusaha membenamkan UMNO. Mereka sedang mendukung berbagai rancangan dan menganut berbagai fahaman atau ideologi. Ada berideologikan Islam, Sosio- nasionalis, sosio- demokrasi dan ideologi-ideologi lain. Jika semua ahli UMNO tidak berwaspada, tidak menyusun diri dan parti itu berkeadaan tubuh manusia yang bersarang kuman, nescaya parti-parti tersebut dapat mengatasi UMNO.
Sekiranya Abdullah Badawi disingkirkan atau beliau sendiri meninggalkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO dengan rela hatinya, maka dalam tempoh yang tidak lama, UMNO akan menerima nasib seperti parti-parti orang Melayu yang dahulu telah berkubur tanpa batu tanda.
Mengakhiri tulisan ini, saya mengingat seluruh ahli UMNO, berhati-hati, jangan sampai terjadi seperti syair Melayu:
Dengar cakap enggang,
Makan buah belolok,
Dengar cakap orang,
Terjun ke dalam lubuk.
No comments:
Post a Comment