Sunday, May 25, 2008

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

KAPITALIS DALAM ISLAM HADHARI

Oleh: Noor Iskandar

Pada zaman UMNO di bawah pimpinan Tun Abdul Razak memimpin UMNO, selain dari memegang jawatan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah adalah satu-satunya tokoh kapitalis Melayu yang paling terkenal dalam parti tersebut.

Pada masa itu sebilangan besar orang Melayu yang ada nama dalam UMNO adalah terdiri dari golongan kapitalis lama dan baru, dan Tengku Razaleigh Hamzah adalah menjadi seperti pemimpin dalam golongan mereka.

Apabila kepimpinan UMNO telah berubah, para ahlinya yang kapitalis telah luruh dari UMNO dengan kekayaan dan kemewahan, maka Tengku Razali Hamzah menerima giliran seperti pelepah pinang; menunggu gugur selepas pelepah-pelepah lain gugur.

Pada zaman Dr. Mahathir memimpin UMNO, Tengku Razali Hamzah masih seorang tokoh kapitalis Melayu – memiliki istana kecil di kawasan elit, dalam Bandaraya Kuala Lumpur, kedudukan dan pengaruhnya berjerebu.

Tengku Razaleigh Hamzah di kerumun oleh para wartawan di tangga Parlimen.

Dr. Mahathir Mohamad masih membiarkan Tengku Razaleigh Hamzah berperanan sebagai ahli Dewan Rakyat, kerana beliau berharap ‘sang anak raja, itu akan dapat menghalang pengaruh PAS.

Tetapi Dr. Mahahtir Mohamad memandang Tengku Razaleigh Hamzah hanyalah sebagai pendayung perahu untuk membawa ‘kambing dengan sirih ke seberang’. Ternyata pendayung perahu tidak terdaya menghalang kambing memakan sirih. Hingga kini negeri Kelantan masih dalam genggaman PAS.

Pada masa Abdullah Badawi memimpin UMNO, Tengku Razaleigh tetap berperanan sebagai ahli Dewan Rakyat (Gua Musang), tetapi beliau tidak berpeluang bersama barisan kabinet yang menyanjung Islam Hadhari.

Mungkin disebabkan trend dalam UMNO telah berubah; orang-orang kapitalis tegar seperti pada zaman Tun Abdul Razak telah tidak ada lagi, maka beliau dihormati sebagai pawang orang patah tulang atau terseliuh urat sahaja.

Dalam UMNO tidak ada orang yang patah tulang dan terseliuh urat, maka Tengku Razali dibiarkan berperanan mengikut kesukaannya sendiri.

Walaupun berbuih mulut Tengku Razaleigh Hamzah mengata dan mengadun yang Abdullah Badawi lemah dan bermacam-macam lagi, tetapi Kabinet dan Majlis Tertinggi UMNO tidak sependapat dengan beliau, maka, tinggallah beliau dalam keadaan seperti penyanyi roda yang telah tua sahaja.

Tengku Razaleigh perlu melihat ke dalam UMNO, rata-rata ahli UMNO pada masa ini berjiwa Islam dan tidak berapa minat menyanjung kapitalisme atau menjadi kapitalis.

Sebenarnya, Tengku Razali seorang yang kukuh dalam ekonomi, tetapi tidak kukuh dalam politik. Oleh yang demikian beliau bersama beberapa tokoh UMNO di Kelantan telah gagal menarik keluar negeri itu dari parti politik yang berjuang bersama Islam.

Kalau hendak menulis biografi Tengku Razaleigh Hamzah, akan tidak lengkap, kalau tidak memasukkan; mungkin dosa Tengku Razaleigh Hamzah pada masa menjadi Ketua UMNO Kelantan (1977) telah berusaha menjatuhkan kerajaan PAS di negeri itu.

Allah melarang sesiapa sahaja memusnahkan apa jua rancangan dan usaha manusia pada jalan Allah. Sesiapa yang melakukannya, akan menerima akibat seperti tentera bergajah, pimpinan Abrahah, dari umat Kristian hendak menyerang Kaabah, atau akan mendapat kehinaan di hujung usia mereka.

Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia.

dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong.

Yang melempari mereka dengan batu-batu (berasal) dari tanah yang terbakar.

Lalu Dia menjadikan mereka itu seperti daun-daun yang dimakan (ulat).

Surah Alfil:2,5.

Pada masa ini, tidak ada ruang bagi Tengku Razaleigh Hamzah mengembangkan sayapnya dalam UMNO, kerana pandangan dan fikiran beliau sukar diterima oleh mereka yang kuat berpegang kepada Islam dan kesamarataan dalam masyarakat majmuk.

Pada masa akan datang tidak siapa yang dapat menduga, tetapi pada masa ini, Tengku Razaleigh dengan rancangan politiknya seperti penjaja air batu pada hari hujan; laungnya kuat, tetapi lakunya tidak.

No comments: