Thursday, May 29, 2008

Untuk Menungan

DUA BERANAK DENGAN SEEKOR KELDAI

Oleh: Mokhtar Petah

Mursyidul ‘Am PAS dan Menteri Besar Negeri Kelantan,Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam bukunya, Tazkirah Jiwa Dan Nafsu, pada halaman 45, menegaskan:

‘Lazimnya jika Allah sayang kepada seseorang, maka dalam waktu yang sama ramai pula manusia yang membencinya. Demikianlah pula sebaliknya apabila manusia menyanjung seseorang, namun belum pasti Allah Taala meredainya.

Seseorang yang ingin popular di kalangan manusia, kadang kala mereka lebih banyak tunduk kepada kemahuan dan desakan orang ramai, sedangkan pandangan dan desakan orang ramai tidak semestinya berasas kebenaran.

Dalam masyarakat yang masih diselimuti kejahilan, kebenaran yang diperjuangkan oleh seseorang atau sesuatu kelompok tidak semestinya dipandang benar oleh orang lain’

Saya telah meneliti pendapat ahli politik Islam ini, maka saya mendapati pada zaman jahiliah moden ini, manusia dan orang kita ada penyakit yang diwarisi dari mereka yang hidup pada zaman silam, iaitu tidak senang melihat orang lain pandai, bijak, senang dan sebagainya. Lalu saya teringat pada masa saya mempelajari bahasa Arab pada tahun 1950-an, saya membaca satu kisah orang dua beranak dengan seekor keldai.

Orang dua beranak itu menjadi dua manusia yang tidak habis-habis dipecacai(dicaci) oleh orang ramai. Akhirnya si bapa dan si anak mengambil jalan yang ditunjukkan oleh Allah, iaitu ikut fikiran sendiri dan tidak usah peduli apa orang lain kata.

Dalam satu kawasan di negara Arab (orang Arab pun macam perangai orang Asia juga suka menyalahkan orang lain), seorang lelaki duda (katakan, namanya, Sheikh Jamal), kerana isterinya telah meninggal dunia. Dia tinggal dengan anak lelakinya (katakan, Qais) yang berusia telah ada keinginan untuk beristeri.

Pada satu hari, Sheikh Jamal bersama Qais telah menunggang seekor keldai untuk pergi ke suatu tempat yang jauh. Mereka telah melalui satu pekan kecil yang ramai orang. Pada ketika mereka melalui di hadapan orang yang ramai itu, mereka telah mendengar beberapa orang berkata:

“Orang tua tak berakal, adakah patut, dia dengan anaknya menunggang keldai yang daif itu.”

Setelah mendengar perkataan itu, Sheikh Jamal telah turun dari keldainya. Dia berjalan kaki dan anaknya menunggang keldai tersebut. Pada ketika mereka melalui sebuah kampung, mereka terdengar orang-orang di kampung itu yang berdiri di tepi jalan, berkata,“ Apalah orang tua ini, tak pandai didik anak ..., dia berjalan kaki, anak tunggang keldai.”

Setelah jauh dari mereka yang berkata kepada mereka, Sheikh Jamal telah meminta anaknya berjalan kaki. Dia menunggang keldai itu.

Mereka meneruskan perjalanan. Tatkala mereka tiba berhampiran dengan satu pasar, terdengar orang - orang di situ berkata, “ Orang tua tak berakal, tak ada hati perut, adakah patut, dia tunggang keldai, anak berjalan kaki.”

Setelah mendengar kata-kata orang ramai itu, Sheikh Jamal telah berkata kepada anaknya, “Beginilah Qais, kita berjalan, tak usah tunggang keldai, nampaknya apa yang kita buat, semuanya tak kena,”kata Sheikh Jamal.

Dua beranak itu berjalan kaki. Si anak berjalan sambil menarik tali keldai itu. Mereka telah tiba di sebuah kampung pada waktu Asar. Orang dua beranak itu singgah sembahyang fardu Asar di masjid kampung tersebut. Pada ketika mereka memulakan perjalanan, mereka terdengar orang-orang di halaman masjid itu berkata, “Orang tua tu tak ada akal, ada keldai dibiarkan berjalan, dia dengan anaknya berjalan kaki.”

Sheikh Jamal dan anaknya berhenti di suatu tempat. Keldai mereka dibiarkan meragut rerumput kering di situ.

“Qais, sepanjang jalan orang-orang telah berkata kepada kita, semua yang kita buat tak kena ...,” kata Sheikh Jamal.

“Ia, bapa, bapa pun tahu, dalam perut manusia ada benda busuk (najis), dalam kepala ada otak, selagi manusia ikut perut, jadi macam orang-orang yang kata kepada kita itulah.”

“Habis, apa kita nak buat, Qais?” Tanya Sheikh Jamal.

“Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar, kita tak usah dengar cakap orang ...,” jawab Qaid.

“Kita buat ikut cara kita,”sahut Sheikh Jamal.

Mereka ketawa.

No comments: