Thursday, May 1, 2008

artikel

KERJASAMA ANTARA KERAJAAN

Oleh: Mokhtar Petah

Pengumuman Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar, di Ipoh, pada 26 April lau, bahawa kementeriannya tidak akan menyalurkan secara terus dana projek untuk semua Perbadanan Kemajuan Ekonomi di lima negeri yang diperintah oleh parti-parti pembangkang - Pakatan Rakyat, adalah menarik.

Kementerian tersebut menyalurkan wang kira-kira RM100 juta setahun kepada Perbadanan Ekonomi di tiap negeri.

Menurut Noh Omar, tindakan itu untuk ‘mengajar’ pemimpin-pemimpin lima negeri – Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan - yang tidak bekerjasama dengan agensi di bawah kementeriannya.

Suara Noh Omar itu berkeadaan sama dengan ‘baik budi’ Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo menghadiahkan penyapu kepada Pengerusi Majlis Daerah Hulu Selangor, Tukiman Nail, pada 13 November 2007.

Lima perkara yang dipandang ‘sial’ dalam masyarakat orang Melayu, iaitu , 1 - Hadiah penyapu, 2 - Menghadiahkan cincin hilang permata (kelompang) kepada kekasih, 3 - Memberi makanan dalam tempurung berbulu kepada seseorang, 4, Kencing atas kubur, 5 – Bertengkar dengan ibu bapa.

Menarik ! Yang mengajar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, yang diajar para Menteri Besar dan Ketua Menteri, yang terasa para Sultan dan Gabenor dan yang perit macam ditindas rakyat di negeri-negeri tersebut.

Pengumuman Noh Omar itu adakah selaras dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, timbalan beliau, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kabinet.

Difahamkan, semua negeri berkenaan, termasuk Kelantan, memang sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat, tetapi kelewatan bekerjasama dengan agensi-agensi di bawah kementerian itu, sekadarkan mereka mahu menilai tiap-tiap agensi-agensi tersebut telus atau tidak.

Elok dijadikan perhatian, bahawa Abdullah Badawi menerima tanggung jawab memerintah negara dan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri menerima negeri – negeri seumpama membeli kereta terpakai; banyak yang perlu dibaik pulih.

Begitu juga agensi - agensi kementerian di lima negeri dikuasai pembangkang yang telah lama di bawah kerajaan yang dulu, tentulah kerajaan negeri-negeri tersebut perlu melihat lebih dahulu sebelum memberi kerjasama, kerana keadaan semua perbadanan itu seperti Negara yang diterima oleh Abdullah Badawi, iaitu berkeadaan kereta terpakai.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam pertemuan dengan Abdullah Badawi dengan ikhlas mengemukakan kesediaan beliau dan Kerajaan Kelantan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat demi kepentingan rakyat.

Kerajaan PAS di Kelantan, telah memberi kerjasama dengan kerajaan Puasa dalam bidang membangunkan negeri itu, di antaranya meluluskan tanah di bawah kuasa kerajaan negeri itu di sepanjang lebuh raya yang akan dibina dari Machang ke Kota Bharu.

Tidak lama dulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam pertemuan mesra dengan Abdullah Badawi telah memaklumkan kesediaan mereka bekerjasama dengan Kerajaan Pusat.

Amalan saling kerjasama antara kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai oleh parti-parti pembangkang dengan Kerajaan Pusat adalah penting. Misalnya, akibat tidak bekerjasama, kerajaan negeri-negeri itu akan kekeringan kantung kewangan kerana tidak mendapat bantuan dari kerajaan Pusat.

Kerajaan Pusat tidak akan dapat membina projek-projek untuk rakyat di negeri- negeri tersebut kerana semua tanah termasuk tanah milik orang ramai di bawah kuasa Kerajaan-kerajaan negeri tersebut, kecuali tanah milik agensi-agensi Kerajaan Pusat.

Langkah Noh Omar itu memanglah baik di segi politik nasional, kuasa dan menolak perasaan ‘kemanusiaan senegara’ dan ‘kemanusiaan sejagat’, tetapi perasaan rakyat yang dianaktirikan, susah dan duka yang mereka tanggung mesti diambil kira juga.

Yang mana lebih selamat, kuasa politik dan kuasa kerajaan di tangan kita, tetapi kuasa memilih dan mengundi di tangan rakyat. Mungkin tokoh yang sama dalam parti politik Noh Omarsentiasa manis muka dengannya, tetapi tidak mengundi calon dari partinya. Orang tua tempang dan bergigi sebilah di kampung pendalaman mengundi calon tersebut.

Mana-mana kementerian yang menarik, menahan atau mengalih bantuan seperti yang dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu, selain dari ‘mendera’ rakyat, di lima negeri tersebut, akan menempah masa depan yang gelap bagi UMNO dan Barisan Nasional, terutama pada Pilihan Raya Umum ke -13 nanti.

Kalau kerjasama tidak wujud antara lima negeri di bawah parti-parti pembangkang dengan Kerajaan Pusat, pada Pilihan Raya ke-13 nanti, rakyat akan lebih ‘bijak’ memilih parti politik dan calon dari parti-parti yang bertanding.

Para pengundi pada Pilihan Raya ke - 13 akan bertanya, mengapa Kerajaan Pusat tidak membantu kewangan, membina projek-projek berfaedah di negeri mereka, sedangkan mereka adalah antara berjuta-juta penyumbang kepada Jabatan Hasil Dalam Negeri dan agensi-agensi lain di bawah Kerajaan Pusat, maka pertanyaan itu akan mendorong mereka mengundi calon pembangkang.

Sesuai dengan nasihat Sultan Perak, Sultan Azlan Shah baru-baru ini dan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada waktu merasmikan sidang Dewan Rakyat pada Selasa lalu, maka eloklah fikiran sempit dan sikap ‘menunjuk taring’ antara para pemimpin parti politik diberhentikan; masing-masing berfikiran terbuka, sesuai dengan falsafah ‘modal insan’ dan kemanusiaan sejagat.

Yang penting pada masa ini, pertengkaran antara pemimpin - pemimpin dalam parti politik yang sama dan antara pemimpin-pemimpin dalam parti politik yang mengusai Kerajaan Pusat dengan para pemimpin dalam semua parti pembangkang eloklah di hebahkan. Yang penting, wujudkan sikap saling bekerjasama dan ukhuwah. Tunaikan janji dan bekerja keras untuk rakyat.

No comments: