Monday, May 26, 2008

SABAH DALAM DILEMA

USNO PERLU GANTI UMNO
Oleh: Anis Rafida

KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diminta melantik Ketua Menteri baru untuk menggantikan Datuk Seri Hj. Musa bin Hj. Aman dan hidupkan semula USNO, jika mahu negeri itu kekal dalam Barisan Nasional.

Datuk Seri Musa Aman

Kalangan wakil rakyat dan ahli UMNO di sini memberitahu, jika Kerajaan Pusat mahu melihat pembangunan di negeri itu dinikmati oleh sebilangan besar rakyat Sabah yang miskin, Ketua Menteri perlu digantikan dengan muka baru.
“Mungkin pucuk pimpinan parti melihat Ketua Menteri Sabah pada masa ini berlainan daripada yang kami lihat, kerana kami telah mengalami masalah kemunduran Sabah disebabkan Ketua Menteri,” kata seorang tokoh UMNO yang tidak mahu didedahkan namanya.
“Ketua Menteri sekarang, selain dari lemah, beliau menjalankan pemerintahan seolah-olah memilih kelompoknya sahaja, pandangan ahli-ahli Dewan Rakyat tidak diambil perhatian,” katanya.
“Mungkin Presiden UMNO setiap kali melawat Sabah berasa puas hati dengan pembangunan negeri ini, kerana mendapat penerangan dari Ketua Menteri, tetapi pada hakikatnya beliau tidak nampak sampah di bawah permaidani,” tambahya.
Menurutnya, memanglah semua wakil-wakil rakyat – ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negeri – setia kepada UMNO dan pucuk pimpinan parti, tetapi kalau segala sungutan dan tidak puas hati mereka terhadap Ketua Menteri dan sebagainya, ada kemungkinan mereka menyeberang kepada parti pembangkang.

Datuk Abdul Ghapur Salleh

Seorang bekas tokoh USNO memberitahu, bahawa semua wakil rakyat yang mahukan Ketua Menteri baru sedang berdiri teguh di belakang Datuk Hj. Abdul Ghapur bin Haji Salleh, ahli Parlimen (Kalabakan) dan Datuk Hanifah Haji Aman, ahli Parlimen (Kimanis).

Datuk Hanifah Aman

Menurutnya, Musa Aman telah memainkan peranan politik di Sabah dengan merugikan negeri, kerana mana-mana tokoh politik yang sepatutnya menduduki kerusi-kerusi Dewan Negeri telah ditolak ke kerusi-kerusi Parlimen.
“Pucuk pimpinan parti seperti mengikut telunjuk Musa Aman, maka akibatnya Sabah ketinggalan seperti dianak tirikan oleh Kerajaan Pusat,” katanya.
Sementara itu mereka mendakwa selagi mereka berada dalam UMNO, keadaan mereka seperti adik angkat atau adik tiri kepada UMNO Malaysia, maka mereka mahu USNO dipulihkan semula bagi menggantikan tempat UMNO.
Katanya, bahawa USNO parti poilitik yang tertua di Sabah, ia ditubuh pada masa Tun Mustafa, tetapi UMNO baru dan dipandang oleh UMNO Malaya sebagai budak mentah.
Beliau mengakui, bahawa memang ada pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) menawarkan berbagai perkara, termasuk untuk melantik orang Sabah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri sekiranya parti itu berkuasa, tetapi tidak mudah dipujuk selagi pucuk pimpinan mahu mendengar hasrat kami.
Menjawab pertanyaan, bahawa hasrat mereka, adalah seperti yang telah dikekemukan oleh Hj. Abdul Ghapur kepada Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini.


No comments: