DOSA SEORANG PEREMPUAN
[Kisah ini mungkin dapat menjadi hiburan dan pengajaran kepada kita yang hidup dalam zaman jahiliah moden ini. Kisah yang seperti menayangkan di layar perak akan pembalasan kepada hamba-Nya berdoa, dicabut dari novel Air Mata Kering Di Pipi karya Mokhtar Petah. Novel ini akan terbit tidak lama lagi.
- Editor, Petah Sharir Aidid.]
“Prof., Intan ni ...”
“Intan, Intan mana ...?”
Intaaan, isteri Dr. Imran ..., tak kan dah lupa kut?”
“Ha, ia ..., Cik Intan, apa khabar?”
“Khabar tu baik, tapi dah macam nak terjun gaung ni ha ...”
“Eh, mengapa pula ni..., tak baik cakap begitu ...”
“Intan minta maaf, my husband, Prof., dah lama tak balik, Intan risaulah, Prof., kalau apa-apa berlaku atas dia ...”
“Dr. Imran dah lama tak balik, ada dia beritahu, ke mana dia pergi?”
“Tak, ni yang Intan geram ni ...”
“Sabarlah, cik Intan.”
Intan diam. Sedu sedannya kedengaran dalam telefon Profesor Hamidi.
“Cik Intan!”
“Ia, saya, saya menangis Prof., sedih sangat ...”
“Sabarlah, tak ke mana dia tu, ...baliklah dia tu ...”
“Intan harap macam tu.”
“Ngapa, sebelum dia pergi ..., kalian ada clashkah?”
“Ada ..., Intan cemburu.”
“Cemburu ...?”
“Ia, saya cemburu ...”
“Dr.Imran nak kahwin lagikah?”
“Tak, dia mana berani kahwin ..., prof. Tahu, saya ni kan lawyer ‘ kan ..., saya akan cabar dia di mahkamah...’
“Dah tu, fasal apa?”
“ ... kerja dia tu..., Intan cemburu ..., tak ada kerja lain ke ..., doktor pakar nak periksa ..., belek perempuan ..., siang rawat perempuan ..., malam periksa perempuan, muda-muda pula tu ...”
“Nak buat macam mana, cik Intan, profession ..., tugas dia macam tu ..., dia ikhlas ..., ada etika ..., tak usah cemburulah ..., cik Intan seorang peguam ....”
Intan diam. Telefonnya ditutup.
Profesor Hamidi ketawa. Bunyi tawanya memenuhi biliknya.
‘Eloklah ..., perempuan macam tu, kena ajar begitu ...”
Julia Hani tercengang. Hairan. Sejak tadi dia mendengar perbualan kekasihnya dengan seseorang. Mungkin dengan rakannya atau isteri rakannya. Bila dia mendengar perkataan kekasihnya, “ ...perempuan macam tu elok diajar begitu pun ...”, dia percaya kekasihnya marahkan perempuan yang bercakap dengannya tadi.
Profesor Hamidi meletakkan telefon atas meja di hadapannya. Malam tadi dia telah makan bersama Dr. Imran dalam coffee house di sebuah hotel di Pekan Kuah. Doktor pakar sakit puan itu bersama kekasihnya, jururawat, Syida.
Julia Hani meletakkan tangan kanannya atas lengan kiri kekasihnya. Tangannya diusap-usap oleh Profesor Hamidi.
“Dia tu isteri kawan saya, Dr. Imran, doktor pakar sakit puan ...,” Profesor Hamidi memberitahu kepada Julia Hani.
“Ooo, ni tentu kes cemburu,”kata Julia Hani.
“Apa tidaknya, isterinya cemburu ..., bukan fasal dia ada kekasih, kahwin lagi ...,” kata Profesor Hamidi.
“Ia, Hani faham ...,” sambut Julia Hani .Geli Geleman.
“Suaminya dan lebih sebulan keluar dari rumah, tak beritahu isterinya ...,” Profesor Hamidi memberitahu kekasihnya.
“Ke mana dia pergi ..., merajuklah tu,” sambut Julia Hani.
“Tak ke mana dia tu ..., saya suruh dia kahwin lain,” sahut Profesor Hamidi.
“Ai, dia tu ada girlfriend ..., kekasih?” Tanya Julia Hani.
“Ada, dia tak tahan dengan cemburu isterinya, orang lelaki, macam pokok rendang, apa salah ada orang bernaung,” jawab Profesor Hamidi.
“Macam Hani dengan sayang, kan?”
Mereka ketawa.
Profesor Hamidi dan Julia Hani keluar dari bilik hotel. Sebelum keluar, Profesor Hamidi menarik kotak penghalang daun pintu itu dan diletakkan di tepi dinding. Julia Hani senyum sambil merenung wajah kekasihnya.
“Bukankah susah daun pintu tu dihadang, nak keluar kena ...,”kata Julia Hani.
“Tak susah ..., buat macam ni, ...pintu renggang, kita berdua di dalam bilik, selamat ...,”sahut Profesor Hamidi.
“Yang bukan harimau, bukan ikan ..., shark ...,”kata Julia Hani.
“Kalau tiger ..., shark ..., ngap.habis ..., ini undang-undang syariah ..., kalau tutup pintu kena, ...buat macam tu ...kira lepaslah...,”sahut Profesor Hamidi.
Julia Hani ketawa. Dia teringat akan seorang kawannya yang kena tangkap basah, kerana khalwat, dengan teman lelakinya, dalam sebuah bandar raya. Nasibnya baik, kerana teman lelakinya membawa banyak wang. Dia ‘hulur’ – night corrupted -, dua puluh helai gambar yang Dipertuan Agong berpindah ke dalam saku baju pegawai-pegawai anti rasuah, maka, pasangan itu dibebaskan.
“Tak taulah, apa nak jadi ..., pemegang amanah agama Islam pun lakukan rasuah juga ...,” Julia Hani bertanya dalam hatinya.
Julia Hani lantas terimbau ingatannya kepada guru agama di sekolah menengahnya dulu, Ustaz Subki. Dia menyifatkan orang yang mengamalkan rasuah, sama degan pengkhianat negara, bangsa dan agama Islam.
“Nabi Muhammad menegah melakukan rasuah, sabda Junjungan, orang yang memberi, menerima rasuah dan orang tengah mereka, dilaknat Allah,” jelas Ustaz Subki.
“Kalau kita berdosa, kita boleh meminta ampun, taubat ..., insya Allah, Tuhan ampun, tapi kalau kena laknat Allah, dahsyat ...,” jelas Ustaz Subki lagi.
“ ...antara banyak musibat atas orang kena laknat, dia dan keluarga mati dalam kemalangan jalan raya , rumah terbakar, dihempap pokok, sakit kronik..., isteri durhaka kepada suami ..., anak-anak suka jadi jahat ...,”tambahnya.
“ ... ada manusia, terutama orang Islam yang amal rasuah, hidup selamat ..., nampak kaya raya, tapi batin derita ..., siapa nak kena laknat ...?” Ustaz Subki bertanya kepada pelajar-pelajarnya.
Perasaan takutkan laknat Tuhan mendera Julia Hani. Terasa tubuhnya menggigil. Hatinya bertanya, “ ... kemalangan jalan raya, tanah runtuh, kapal terbang jatuh, banjir, gempa bumi, macam-macam lagi akibat ada menteri ..., pegawai kerajaan ..., buruh ..., rasuah, orang kaya ..., ahi perniagaan ..., beri rasuah...?”
“O.K., sayang, mari kita pergi makan,” Profesor Hamidi mengajak Julia Hani.
“...makan di mana?” Julia Hani bertanya.
“Warung ikan bakar, Teluk Mati Angin,” jawab Profesor Hamidi.
“Tak pernah dengar nama tu ...,”kata Julia Hani.
“Yang tak pernah tulah jadi pernah, macam Hani tak pernah ucap cinta kepada saya dulu ..., kemudian jadi pernah, jadi selalu...,” balas Profesor Hamidi..
“Apa nak dikatakan ..., Hani ni siapa, nak lawan bercakap dengan profesor ...,” balas Julia Hani pula.
“Bukan profesorlah ..., kekasih,” sambut Profesor Hamidi.
Julia Hani mencubit daging paha kekasihnya. Profesor Hamidi mengaduh. Sakit. Perit. Mesra.
*** ***
Beras hangus. Kepercayaan kuno orang-orang tua, di Pulau Langkawi, kononnya beras hangus itu asalnya putih, tetapi telah menjadi hitam kerana disumpah oleh sejenis makhluk yang berkuasa, iaitu Indera Kayangan.
Usah ditanya ayuhai tuan,
Beras hangus tak dapat dimakan,
Disumpah maha kuasa Indera Kayangan,
Anak cucu kami hidup kempunan.
Tok Din atau Shamsuddin bin Kasa, 99 tahun, sentiasa menyanyikan syair di atas untuk menghiburkan hatinya yang sedih. Dia tinggal keseorangan di pinggir sebuah teluk, di seberang Pulau Langkawi. Tanah di teluk itu entah milik siapa. Dua biji mata merenung ke Pulau Langkawi, bumi pusaka datuk neneknya.
Setiap kali orang muda datang melawat ke teluk tempat Tok Din tinggal, mereka menemuinya. Wang diberi, ditolaknya. Makanan dihidangkan, tidak dimakannya. Saban hari menghitung usia sendiri. Siang memandang matahari. Malam menatap bulan. Entah bila hidupnya tiba ke hujung usianya.
Tok Din tua,
Tubuhnya bongkok berselimut panau,
Giginya gugur tinggal gusi cuma,
Rambutnya bertabur uban,
Berseriangan kedut menghiasi wajahnya,
Hatinya lara dimamah derita,
Mengenang isteri tangkai nyawa,
Dilarikan pembesar istana.
Kerana Raja bernama Raja.
Zalimnya adil jua.
Rakyat menderita dikatakan kaya.
Anak negeri berladung air mata.
Bumi sendiri milik orang - dagang perantau
Berat amat hati Julia Hani hendak menyerahkan dua lambar kertas yang mengandungi tulisannya kepada kekasihnya. Tulisannya, bersifat puisi – syair dan sajak – serta prosa itu mengenai orang tua, Baharuddin bin Alang Kasa – Tok Din, berusia 99 tahun. Dia tinggal dalam sebuah dangau, di pinggir sebuah teluk tanpa nama di Pulau Langkawi.
Julia Hani telah dipaksa oleh kekasih supaya menulis segala sesuatu yang dilihat, Dengar. Rasa. Dipelajari. Dialami di sekitar Pulau Langkawi. Tulisannya mestilah berbentuk prosa dan puisi.
“Sayang, cinta kita tidak dapat dijadikan pusaka, tetapi pelajaran menulis ini akan menjadi pusaka ..., orang ramai mengetahui yang Hani wujud dan hidup di dunia ini,” kata Profesor Hamidi.
Dua biji mata Julia Hani terbeliak.Wajahnya berbunga senyuman.
“Saya akan bimbing sayang menulis ..., tulislah apa saja ...,”kata Profesor Hamidi.
“Kalau yang kata begitu, Hani akan menulis ..., tapi sayang kena semak, editnya tau...,”kata Julia Hani. Manja.
Pada pagi itu, sementara menanti waktu untuk melawat tempat beras hangus, Profesor Hamidi dan Julia Hani telah makan ‘laksa Langkawi’ – kuah ikan parang campur belacan Bukit Tambun. Garam bersama asam gelugur. Daun kantan dengan daun kesum. Cili giling pedasnya menggigit lidah - , di warung dalam pasar rakyat, Padang Mat Sirat.
Julia Hani menyerahkan kertas mengandungi tulisannya kepada kekasihnya. Tulisannya dibaca dan diteliti oleh kekasihnya. Kekasihnya membaca tulisannya seperti profesor di universiti membaca dan meneliti tesis yang ditulis oleh mahasiswanya.
“...syair ..., prosa ..., puisi ...,” kata Profesor Hamidi.
Julia Hani menahan debar jantungnya. Harapannya, kekasihnya tidak merendah-rendahkan usahanya. Kalau diberi galakan, dia akan terus menulis, tetapi kalau sebaliknya, semangatnya akan menjadi lemah. Cita-citanya patah terkulai.
“Bagus ..., menarik ..., tapi perlu perbaiki lagi ...,” Profesor Hamidi berkata sambil merenung wajah kekasihnya.
“ ...penulis mesti ada tanggungjawab, berani, adil, kuatkan perhatian, tekun, tumpukan kepada kerja, tidak boleh jemu, kreatif ...,”kata Profesor Hamidi.
Julia Hani senyum. Lesung pipitnya memanah jantung kekasihnya.
“...sayang ada bakat ..., saya yakin sayang akan menjadi the best writer, pada masa akan datang ...,” kata profesor Hamidi lagi.
“Terima kasih ...,” ucap Julia Hani.
Pada ketika hati Julia Hani dimercu kegembiraan, terbayang dalam fikirannya, wajah sebilangan penulis, wartawan dan sasterawan tanah air; Samad Ismail, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Mazlan Nordin, Samad Said, Arena Wati, Shahnon.
*** ***
Dr. Imran mengambil keputusan tegas, dia akan menceraikan isterinya. Tidak ada gunanya dia hidup bersama isterinya yang telah menjadi sarang cemburu itu. Kalau dia tidak menceraikan isterinya, nescaya kerjayanya sebagai doktor pakar sakit puan akan kabur. Mungkin dia terpaksa meninggalkan kerjayanya itu.
Isterinya, seorang peguam yang sarat dengan pengetahuan perundangan yang ditimba dari sebuah universiti di London. Dia di antara beberapa orang peguam wanita Melayu yang menentang poligami. Mereka menyifatkan poligami yang diharuskan oleh Tuhan, sebagai satu penghinaan terhadap kaum wanita.
Selama mengasingkan dirinya di Teluk Mati Angin, di Pulau Langkawi, Dr. Imran telah mendapat banyak taufik dan hidayat dari Tuhan. Akan digunakan anugerah Tuhan itu sebaik mungkin.
Nasihat dari Mat Saman, di Teluk Mati Angin dan pandangan dari Profesor Hamidi telah menjadi pendorong kepada Dr. Imran untuk berdiri sebagai seorang lelaki Islam yang berfikiran terbuka. Dinamik. Cendekiawan Islam. Tidak tunduk kepada isterinya yang menentang peraturan dari Allah dan rasul-Nya.
Pada tengah malam, sebelum dia menulis surat untuk menceraikan isterinya, Dr. Imran telah sembahyang istikharah. Ke hadrat Tuhan dipohon hidayat dan taufik. Ilham yang diterima dari Tuhan; Baik dan kebajikan dia menceraikan isterinya. Jika dia tidak menceraikan perempuan itu, dia akan menjadi lelaki dayus.
Walaupun perkahwinan Dr. Imran dengan Intan Ayu melalui dua kaedah perkawinan; kaedah Islam dan kaedah kerajaan Kristian Inggeris, civil marriage , pada masa mereka menuntut di London dulu, tetapi tidak menyulitkannya kerana Kerajaan Malaysia dan semua kerajaan negerinya sedang mempraktikkan undang-undang syariah.
Pada waktu larut malam, Dr Imran membuka buku catatannya. Maksud ayat-ayat Quran mengenai ‘talak isteri’ tercatat pada muka surat buku itu. Ayat-ayat itu telah dibaca oleh Mat Saman pada petang kelmarin.
Kalau kamu memutuskan hendak talak – bercerai, maka sesungguhnya Tuhan itu mendengar dan mengetahui...
Tidak halal bagi kamu mengambil kembali sesuatu yang kamu telah berikan kepadanya, kecuali jika kecuali keduanya merasa khuatir tidak dapat menegah aturan Allah, tidak mengapa dibayar oleh perempuan itu untuk menebus dirinya ...
Perempuan-perempuan yang diceraikan(hendaklah diberikan oleh suaminya) mutaah menurut yang makruf, sebagai kewajipan bagi orang-orang yang takwa.
Dr. Imran menyimpulkan ‘insan kamil’ dirinya, dengan fikiran yang waras dan ikhlas telah menulis surat cerai kepada isterinya. Surat itu akan dikirim kepada peguam syarie, Kamariah Hamzah, di Ampang Point, Selangor. Peguam itu akan menyampaikan suratnya itu kepada isterinya.
Adinda Intan binti Amir Bakar,
Lebih sebulan saya tidak pulang ke rumah kerana saya terpaksa muhasabah diri saya untuk mencari jalan keluar dari keadaan seperti neraka dunia dalam rumah tangga saya. Kandungan surat ini adalah hasil muhasabah saya dan taufik Tuhan.
Sesungguhnya dengan fikiran yang waras, saya Dr. Imran bin Imam Yaakob, seperti dalam salinan kad pengenalan saya bersama ini, saya menceraikan isteri saya, Intan Ayu binti Amir Bakar dengan talak satu.
Apabila berlaku bantahan atas perceraian ini dari bekas isteri saya, maka talak satu saya bertambah satu lagi, iaitu menjadi dua talak.
Maka dengan ini, saya menyerahkan semua harta saya lepada bekas isteri saya ini, iaitu:
1) Dua buah rumah semi-D, termasuk rumah yang kami duduki.
2) Sebuah rumah teres di Bukit Antarabangsa.
3) Lima ekar tanah dusun durian, di Hulu Langat, Selangor.
4) Sebuah kereta proton Perdana.
5) Wang sebanyak RM300,000.00 dalam simpanan saya Joint account kita berdua nb.
6) Wang sebanyak RM400,000.00 fixed deposit – joint account kita berdua dalam bank.
Harta dan wang yang tinggal untuk saya, ialah:
1) Apartmen sederhana di Putrajaya.
2) Wang dalam simpanan saya RM40,000.00.
3) Sebentuk cincin suasa permata arkib.
Akhirnya, kerana kita telah hidup sebagai suami isteri selama 16 tahun, tentulah ada banyak salah dan silap, maka saya memohon maaf serta halalkan apa yang saya makan dan minum.
Sekianlah sahaja.
Bekas suamimu.
Dr. Imran bin Lebai Yaakob.
Sebaik-baik sahaja peguam Kamariah Kamzah menyerahkan surat cerai Dr. Imran bersama dokumen-dokumen penting kepada bekas isterinya, Intan Ayu bin Amir Bakar pada pagi itu, perempuan yang baru bergelar janda itu terkejut. Menangis. Melolong. Dia melaungkan kepada peguam itu, perceraiannya tidak sah, kerana walaupun mereka telah menikah mengikut kaedah Islam di sebuah masjid di London, tetapi pada hari yang sama, mereka juga telah berkahwin mengikut kaedah kerajaan Kristian Inggeris, civil marriage di sana.
“ Puan Intan, perceraian sah ..., negara kita telah jauh berubah ...,nikah cerai, hal-hal yang berhubung dengan Islam di bawah kuasa mahkamah syariah ...,” kata peguam Kamariah Hamzah.
“Itu tak betul ..., awak mana tau ..., awak menuntut di Malaysia, tak macam saya menuntut di London, siapa pun tak boleh cabar civil marriage...,” laung janda itu.
“...undang-undang Islam lapuk, ...undang-undang gua ..., tak boleh pakai pada zaman moden ni ...,” jerit Intan Ayu.
“Apa Allah boleh buat to me ... orang bodoh, kuno saja loyal kepada God..., not me ..., not me ...,” jerkah Intan Ayu
Peguam Kamariah Hamzah diam. Sambil mengangkat punggung beratnya dari atas sofa, dia memberi salam kepada janda itu.
“Awak tunggu, kita jumpa dalam mahkamah....,”jerit Intan Ayu.
“ ...perempuan, kalau dah mandol ..., tak ada pengetahuan agama ..., macam janda tulah ...,” sungut peguam Kamariah Hamzah sambil memandu keretanya keluar dari kawasan rumah Intan Ayu.”
“...Yang, Intan bukan tak sayang pada yang, tapi ...,”laung Intan Ayu.
Intan ayu berhati iron lady. Tetap menentang peraturan yang bersesuaian dengan agama Islam. Dia menganggap undang syariah, undang-undang berpandukan Quran sebagai kuno, undang- undang jungle men. Ketinggalan zaman.
Intan Ayu dan rakan-rakannya dalam sebuah ‘organisasi wanita moden’, berpendirian tegas; menentang ketentuan dan hukum Tuhan:
Maka nikahlah kamu dengan perempuan yang kamu pilih, seorang, dua, tiga dan empat orang,tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil, maka seorang (isteri) sahaja.
Hai Nabi (Muhammad), kata (perintah) kepada isteri-isteri kamu, anak-anak kamu yang perempuan, orang-orang yang beriman,supaya mereka menutup tubuh mereka dengan baju dalamnya (pada ketika mereka berjalan keluar rumah). Dengan demikian itu mereka lebih patut dikenal dan kerana itu). (Dengan) demikian itu mereka amat patut dikenal dan (kerana itu mereka) lebih patut dikenalkan lebih patut dikenal dan kerana itu mereka tidak diganggu.
...minuman keras, judi,berhala dan meneguk nasih dengan panah, sesungguhnya perbuatan keji, termasuk pekerjaan syaitan, sebab tu hendaklah kamu tinggalkan supaya kamu beruntung.
...berjihad pada jalanAllah dengan harta dan diri mereka lebih tinggi darjatnya di sisi Allah.
Pada malam besoknya, Intan Ayu dan rakan-rakannya berkumpul di kelab mereka. Keputusan yang mereka capai, walau apa akan terjadi, mereka tetap akan membela intan Ayu. Mereka akan menentang ketentuan dan hukum Tuhan.
“Minum ...,siapa kata arak haram ..., ini air syurga...,” laung Intan Ayu.
Kawan-kawannya ketawa. Mereka berpeluk sesama mereka.
“ ...minum ..., hanya orang bodoh kata arak tu haram ...,” laung peguam Datin’ Saerah Noni....”
“Ia, betul ..., no haraaam in our world ...,” laung peguam Syarifah Mimi.
Mereka ketawa lagi. Tawa mereka bersama syaitan-syaitan keturunan syaitan pembelit isteri Nabi Adam, Hawa.
Di luar kelab atas bukit, di pinggir Bandar Raya Kuala Lumpur bermandi hujan lebat. Intan Ayu dan rakan-rakannya ‘penentang hukum Allah’ menghadapi meja minuman. Beraneka jenis minuman dalam beberapa gelas atas meja itu. Setelah usus Intan Ayu dan rakan-rakan menjadi lubuk arak, mereka keluar dari kelab itu dan masuk ke dalam kereta masing-masing.
Intan Ayu memandu keretanya meredah hujan lebat menuju ke Damansara. Kepalanya terasa berat. Pelupuk matanya layu seperti pucuk kecubung tengah panas. Matanya sering tertutup. Tiba di sebuah selekoh kereta Intan Ayu termasuk ke dalam lopak penuh air. Keretanya berpusing beberapa kali. Pada pusingan terakhir, kereta itu terlanggar tembuk batu tepi lebuh raya. Kereta tersebut remuk seperti Dangau ditolak gajah.
Kepala Intan Ayu terhantuk pada besi pintu keretanya. Darah keluar seperti darah kambing kena sembelih. Kaki kirinya tersepit.. Tangan kanannya terkulai.
Kira-kira pukul 10.00 pagi besok Intan Ayu masih koma. Beberapa orang wartawan yang baru menghadiri sidang akhbar oleh di balai polis, menunggu di luar biliknya.
Seorang jurucakap hospital memberitahu mereka, “Tempurung kepalanya retak, mata kanannya buta kerana tertikam serpihan kaca.”
“Adakah dia memandu dalam keadaan mabuk?” seorang wartawan bertanya.
“...ia, dia banyak minum liquor ...,”jawab jurucakap hospital.
*** ***
Pulau Langkawi dalam pelukan cahaya malam yang indah. Julia Hani duduk di atas bangku di tepi laut dalam taman tepi laut. Bunyi deru ombak menerpa pantai, cahaya langit mengucup wajah laut, meleraikan seketika perasaan resahnya. Resah. Gelisahnya kerana berjauhan dari kekasihnya.
“Kalau boleh, Hani tak mau berpisah, sayang ...,” bisik Julia Hani. Bisikannya hilang dihambar bunyi ombak menerpa pantai.
“ ...yang, Hani rasa diri Hani terbang ..., sepi di pulau ni ..., sayu ...,”bisiknya lagi.
Bunyi ombak menerpa dan mendakap pantai seperti mengiringi kalimat-kalimat dalam keluhannya. Keluhan seorang dara yang berjauhan dari kekasihnya.
Kita, sayang.
Seorang lelaki mulia,
Dara pulau,
Hatinya lara.
Cinta kita, sayang,
Murni laksana air mata,
Embun malam,
Mutiara dalam siputnya.
Perpisahan kita, sayang,
Resahnya membakar rasa,
Sedih, derita meratah diri,
Tangis Hani beladung air mata.
Sayangku, Hamidi,
Tubuh ini, jiwa ini,
Hani serahkan kepadamu, sayang.
Tidak orang lain, sayang.
Sayang ..., Hani di sini, sayang.
Cahaya langit masih mengucup wajah laut. Julia Hani membiarkan air matanya mengalir atas dua belah pipinya. Biar air matanya melimpah. Tumpah. Kering di pipinya. Dia rela begitu atas nama cintanya kepada kekasihnya.
Pada ketika di merenung pada pulau yang berbalam-balam dalam laut, dia teringat akan nasihat ibu saudaranya pada siang tadi. Perempuan yang menjadi ganti ibunya itu telah menasihatinya dengan jujur.
“Nona, acik ni tak ada pelajaran, tak macam Nona ..., Nona belajar sampai ke universiti, tapi acik belajar setakat darjah empat sekolah kampung aje ...,” ibu saudara berkata sambil dua biji matanya merenung kepadanya.
“ ...acik tak larang Nona dengan profesor Hamidi tu ..., walaupun dia dah tua, tapi dia orang baik ...,” kata ibu saudaranya.
“ ...tapi, acik dah banyak dengar ..., tengok dengan mata sendiri..., orhang bercinta, kasih sayang ni, macam nelayan turun ke laut tangkap ikan...,” si ibu saudara merenung wajah Julia Hani.
“Ada kalanya dapat ikan ..., aaa ada kalanya pula, tak dapat langsung ..., tapi nelayan tak sedih ..., tak putus esa ..., depa tetap pi ke laut jugak ..., kerana ghezeki di tangan Allah ...,” suara ibu saudara Julia Hani lembut. Mesra.
“ ... Nona dengan Profesor Hamidi itu ..., dia macam peghau ..., macam kapal ..., Nona macam pulau ..., kalau peghau, kapal tu belayak jauh, tinggallah pulau tu ..., nanti, nanti ..., tau, tau ..., peghau, kapal tu ..., tak datang lagi ...,” suara perempuan itu merisaukan Julia Hani.
“Ya Allah, ...tolonglah aku, ya Allah ..., jauhkan dari jadi macam pulau ...,” Julia Hani berdoa kepada Tuhan dalam bisiknya.
Julia Hani bangun dari bangku dalam taman itu. Sambil merenung jauh ke permukaan laut dalam cahaya langit nan sepi, dia berbisik, “ ...betul kata acik ..., semua Allah yang tentukan ..., aku akan terima dengan reda ....”
“Yang, walaupun kita begini ..., kita bercinta, tapi teruskan study, ...yang ada harapan pada masa depan ..., negara nakkan rakyatnya yang berani ..., berfikiran terbuka ....,” tiba-tiba perkataan kekasihnya pada minggu lalu timbul dalam otaknya.
“Orang fikiran tak terbuka ..., tak bebas, jadi alat pemimpin melaungkan demokrasi, tapi sebenar dia tak sukakan demokrasi..., kerana demokrasi menyekat jalannya, habuannya atau kuasanya ...,” suara Profesor Hamidi berputar -putar dalam otak Julia Hani.
“Kebanyakan pemimpin dalam negara demokrasi ciptaan manusia, jadi pedaya rakyat ..., pembohong orang ramai kerana kepentingan mereka ..., apa ada erti demokrsi di Amerika Syarikat, di England, di mana-mana negara kapialis ...?” suara cendekiawan Melayu itu bersarang dalam otaknya.
Julia Hani senyum. Dia teringat akan seorang ahli politik yang telah bertaut kasih dengannya dulu telah berkata kepadanya, “ ...saya ni lepasan universiti ..., tapi dalam politik di negara kita ni tak perlu pelajaran tinggi ..., siapa pandai pedaya ..., pandai pujuk ..., pandai kelentong, dia jadi orang penting ...”
“Kawan-kawan saya pandai kelentong ..., seru orang ramai buat baik, tak boleh makan suap, tak boleh buat itu buat ini ..., tapi depa tu macam ketam ajak anak berjalan betul ...,”kata si ahli politik tu.
“ ...ketam, Nona tau ketam? “tanya kekasih Julia Hani itu.
“Tau, jalan mengegheng ...,”jawab Julia Hani.
“Haaa, jalan ngegheng ..., kalau dah jalan ngegheng, macam mana nak ajar anak jalan betul ..., anak ketam macam ketam tulaaa ..,” kata si ahli politik itu.
Julia Hani senyum. Dia jadi gadis bertuah kerana tidak termasuk perangkap ahli politik itu. Kalau dia menjadi mangsanya, dia juga akan menjadi seorang penegak demokrasi di tengah-tengah rakyat yang tidak bebas berfikir. Membina kemewahan di atas belakang rakyat yang percayakan demokrasi.
Awan hitam pekat berak di dada langit. Angin dingin bertiup kencang. Dinginnya menggigit kulit Julia Hani. Hujan akan turun membasah kuyupkan Pulau Langkawi sebentar lagi. Sambil meleraikan hatinya yang duka, Julia Hani berjalan menuju ke keretanya.
*** ***
Pada petang duka. Petang itu mencatatkan dalam riwayat hidup Dr. Imran; seorang lelaki melihat dengan mata kasar dan mata hatinya akan perempuan bekas isterinya, menerima azab Tuhan, di dunia ini kerana telah menderhaka kepada Yang Maha Esa itu dan kepada suaminya.
Bilik rawatan rapi Hospital Besar itu sepi. Dr. Imran bersama kekasihnya, jururawat Syida, berjalan menggonggong hati yang duka. Mengheret puntung - puntung kaki masing-masing yang lemah. Mereka masuk ke dalam bilik rawatan rapi hospital tempat merawat peguam wanita, Intan Ayu.
“Astaghafirul lahal Azim, allazi lailaha illa hual hayyun qayyum ...,” hati Nurani Dr. Imran merintih taubat kepada Tuhan.
Dr. Imran duduk atas kerusi menghadapi jandanya. Duduk di sebelahnya, kekasihnya, Syida. Mereka sedang menghadap Intan Ayu, sedang koma - dalam keadaan koma - , atas katil itu.
“Ya Rahman, ya Rahim, aku minta kepadamu, selamatkanlah perempuan ini, jandaku ini. Sesungguhnya, aku telah ampun dosanya kepada aku. Aku minta Kau ampunkanlah dosanya kepada-Mu dan kepadaku. Kaulah Maha Pengampun.
Ya Allah, kau sembuhkanlah sakitnya, lanjutkanlah usianya, ...mudah-mudah dia akan bertaubat akan semua dosanya kepada-Mu. Sesungguhnya kamu Maha pengampun.
Ya Rabbi, segala yang Kau lakukan ada hikmatnya. Aku bersyukur kepadamu, kerana kau telah memberi azab dan derita kepada jandaku ini. Mudah-mudahan hal ini akan menjadi keinsafan bagi semua wanita yang durhaka kepada-Mu dan suami mereka.”
Hati nurani Dr. Imran berdoa kepada Tuhan. Syida menahan air matanya dari mencurah keluar. Sedih. Hiba melihat janda kepada kekasihnya telah menerima pembalasan dari Tuhan. Pada ketika hatinya didera duka itu, Syida teringat akan ajaran datuknya, guru agama Islam dan imam masjid di kampungnya:
“Allah membayar tunai dosa di dunia ini kepada orang yang lakukan dosa- dosa ini: Lawan Tuhan. Lawan dua ibu bapa. Durhaka kepada suami. Berzina dengan isteri orang. Bunuh orang tak berdosa. Makan harta anak yatim. Makan suap (rasuah). Khianat dan hasad kepada orang lain. Pemimpin yang tak amanah.”
Ingatan Syida terhimbau pula kepada percakapan seorang pensyarah agama Islam, Sheikh Haji Daud bin Sheikh Haji Muhammad tatkala dia bercakap dalam satu majlis jururawat, di Sandakan:
“ ...menurut penyelidikan seorang penulis Islam, setiap sepuluh orang perempuan yang mendurhakakan suami, lapan orang dari mereka diseksa oleh Allah dengan breast cancer - kanser payu dara.”
“... sekurang-kurangnya dua hingga tiga dari sepuluh perempuan yang menolak kemahuan suami untuk bersama, menerima azab barah rahim.”
“Lebih tujuh puluh peratus dari jumlah perempuan Islam yang mendedahkan aurat, diseksa oleh Allah dengan otak tidak waras menurut nilai Islam, tidak cenderung kepada sembahyang lima waktu, cenderung kepada zina faraj, zina mata, zina hidung, zina telinga, zina suara dan zina pergaulan.”
Kisah Intan Ayu menderhaka suaminya telah diceritakan sendiri oleh Dr. Imran kepada Syida pada masa mereka di Pulau Langkawi pada beberapa minggu yang lalu. Kekasihnya telah berpesan kepadanya.
“Yang, takdir, ia, jika Syida dah jadi isteri saya, saya minta Syida tak lakukan kepada saya seperti bakal madu Syida tu ...”
Syida tidak menyangka, Intan Ayu yang berpelajaran tinggi sanggup menderhakai suaminya.
Dr. Imran melihat dan menghitung beberapa tempat pada tubuh dan anggota jandanya yang telah cedera: Kepalanya sarat dengan syak wasangka kepadanya. Matanya sebelah kanan telah buta, kerana beberapa kali mengenyit isyarat tidak percaya akan percakapannya. Mulutnya dan dua bibirnya rabit, kerana mengeluarkan kata-kata tidak sopan dan derhaka terhadapnya.
Dr.Imran teringat akan kata-kata isterinya pada satu malam, “ ...kalau you nak kahwin lain, I pun boleh kahwin lain, ramai gentlemen yang nakkan I.”
Melihat dada jandanya yang robek, dia teringat akan sabda Nabi Muhammad, yang maksudnya, dalam dada ada seketul darah, kotor ketulan darah itu, maka kotorlah seluruh peribadi manusia itu. Dalam dada jandanya menjadi tasik buruk sangka terhadapnya.
Tangan kanan Intan Ayu patah dua, tangan itu telah menandatangani dokumen civil marriage mereka, di London dan menandatangani resolusi menentang ketentuan dan hukum Tuhan; menentang poligami, menentang undang-undang syariah dan menentang hukum atas orang yang murtad.
Dua bola mata Dr. Imran merenung kaki kanan jandanya yang patah tiga - satu pada belakang kaki, satu pada betis dan satu lagi pada pahanya. Dia lantas teringat; puntung kaki itulah telah menyepaknya pada satu malam. Kejadian durhaka itu disebabkan isterinya marahkannya, kerana dia lewat pulang dari hospital, tempat dia bekerja.
Dr. Imran dan Syida menatap wajah Intan Ayu. Sebahagian dari wajah itu berbalut dengan kain putih dan kapas. Kain putih dan kapas itu tercemar oleh tompok-tompok darah. Merah.
“Yang, tengok, muka dia, macam menangis, ...air mata keluar ...,” Syida memberitahu Dr. Imran.
Tiba-tiba Intan Ayu berdengkur. Dengkurnya kian kuat. Tubuhnya bergerak-gerak. Wajahnya berwarna jantung pisang direbus. Darah dan air kuning meleleh keluar dari mulut dan sepasang lubang hidungnya.
Dua orang jururawat segera datang setelah diberitahu oleh Syida. Sejenak kemudian seorang doktor perempuan tiba. Mereka mengerumuni Intan Ayu yang sedang bergelut dengan kesakitan yang amat perit.
“Ia, Allah ampun dosa dia ..., ...sesungguhnya Tuhan kamu mengampunkan orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kebodohan mereka, kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (diri mereka) selepas itu. Sesungguhnya, Tuhan kamu benar-benar maha Pengampun dan Maha Penyayang,” bisik Dr.Imran.
Dr. Imran memegang lengan kanan Syida. Mereka keluar diri bilik rawatan rapi itu. Dia berjalan lemah; walaupun dia seorang pakar sakit puan, tetapi dia gagal merawat ‘penyakit’ dalam hati isterinya. Gagal membetulkan akidah. Gagal memberi pengetahuan agama Islam. Gagal membentuk akhlak mulia kepada isterinya.