Thursday, March 5, 2009

PERHIMPUNAN BANTAH PPSMI

PARA PENULIS ELAK JADI ALAT POLITIKUS

(Oleh: Mokhtar Petah)

Perjuangan GAPENA dan semua organisasi penulis di bawahnya menentang PPSMI, memang disokong oleh setiap individu yang mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan (Melayu), tetapi mengadakan perarakan dan perhimpunan, elok ditentang, kerana cara begitu menghina semua sasterawan dan penulis di negara ini.

Menurut berita dalam Harakah Daily semalam:

Demi memastikan kedaulatan Bahasa Melayu dijunjung sekaligus membantah dasar Pengajaran & Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang jelas mengundang '1001 masalah' kepada para pelajar khususnya di luar bandar, orang ramai diseru untuk sama-sama menyatakan sokongan dan menyertai 'Himpunan Aman 100,000 Mansuhkan PPSMI' pada 7 Mac ini (Sabtu).

Menurut Setiausaha Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) Hasini Abas, perhimpunan akan diadakan di tiga lokasi bermula 2.00 petang iaitu Pusat Perniagaan SOGO, Central Market, dan Masjid Negara yang kemudiannya berarak ke Istana Negara untuk serahan memorandum.

Pimpinan yang akan turut sama dalam himpunan ini adalah Dato' A. Samad Said, Dato' Dr Hassan Ahmad, Dr Shaharil Mohamad Zain, Prof. Emeritus Abdullah Hasan, Prof. Emeritus Dato' Nik Safiah Karim, dan diikuiti pemimpin terkenal Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Perhimpunan itu yang telah diberi amaran oleh pihak polis, memperlihatkan para sasterawan dan penulis yang akan melibatkan diri dalam perarakan dan perhimpunan tersebut secara tidak langsung menjolok jelunjuk ke dalam mata kerajaan.

Dengan para pemimpin dari parti-parti pembangkang akan hadir, seperti Tuan Guru, Datuk Sri Haji Abdul Hadi Awang (PAS), Dato Seri Anwar Ibrahim (PKR) dan Lim Kit Siang (DAP) telah memperlihatkan; kalau para sasterawan dan penulis tidak menjadi alat pihak golongan politik, sekurang-kurangnya mereka disertai oleh para politikus pembangkang.

Saya melihat tindakan beberapa orang sasterawan dan penulis dalam GAPENA seperti mengikut budaya Anwar Ibrahim pada zaman Hamid Tuah, Baling dan beberapa demonstrasi jalanan lain.

Para sasterawan dan penulis termasuk dalam golongan orang yang menggunakan fikiran, ahli fikir dan inteletual. Mereka mestilah mengadakan perundingan dengan pihak kerajaan hingga ke peringkat atasan, tetapi kalau dengan perhimpunan dan demonstrasi jalanan yang disertai para politikus pembangkang adalah tidak molek dan merosakkan nama semua sasterawan dan penulis di negara ini.

Langkah GAPENA itu seperti mengheret semua sasterawan dan penulis renggang atau bermuka kelat dengan pihak kerajaan.

Sementara pula pihak polis melarang diadakan prhimpunan tersebut, saya kira, semua kawan – sasterawan dan penulis eloklah tidak mengadakan dan tidak menghadiri perhimpunan tersebut, kerana kehadiran itu nanti akan memburukkan keadaan dan nama diri sendiri.

A. Samad Said, Hassan Ahmad, Baha Zin dan beberapa orang sasterawan dan penulis eloklah berusahalah mencari jalan untuk mengadakan perundingan dan bukan perselisihan antara kita dengan kerajaan.

Menteri Pelajaran, Datuk Hishamuddin Hussein nampaknya, walaupun bersuara keras terhadap mereka yang menentang PPSMI, tetapi saya percaya, beliau sebagai ahli politik, pemimpin dan berkuasa dalam bidang pendidikan masih ‘lembut untuk berunding bagi kepentingan orang Melayu dan bahasa Melayu'.

Begitu juga GAPENA – para sasterawan dan penulis eloklah berusaha berunding dengan rasa ikhlas dengan Perdana Menteri, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi atau selepas Mac ini dengan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Eloklah kita berfikiran dan bertindak sebagai sasterawan dan penulis yang melihat sesuatu dengan perasaan yang halus dan mulia. Kita berbeza dengan para politikus, kerana mereka boleh menghalalkan apa sahaja, hatta Mesyuarat Dewan Undangan Negeri di bawah pokok rendang.

Kalau hulubalang atau pahlawan berkeris memegang besinya, kalau petani memegang bajaknya, maka sasterawan dan penulis menggunakan fikiran dan budi mereka.

(Tamat)

No comments: