Saturday, March 7, 2009

NEGARA ISLAM

NEGARA KEREDAAN ALLAH

Oleh: Mokhtar Petah

Sesungguh tiap-tiap individu Melayu dan Muslim di seluruh Malaysia, sama ada suka atau tidak kepada Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS, pada hakikatnya, mereka menanti kelahiran itu sejak tahun 1951 lagi.

Datok nenek saya, bapa dan ibu saya, di kampung menanti wujudnya Negara Islam itu semenjak tahun tersebut hingga mereka dijirus dengan air sembilan, dikapankan dan dikebumikan sebagai seorang Islam yang menuju ke syurga.

Bapa saya, pada usia lebih 80 tahun – dalam keadaan uzur – dengan ilmu agama sekadar yang ada dalam dirinya, telah berjuang bersama orang-orang PAS, di Tanjung Piring, Nami, Kedah. Ada di kalangan orang yang anti parti Islam itu menganggap bapa saya ‘orang tua gila’.

TAULIAH

Beliau telah memasuki imtihan (ujian) untuk mendapatkan tauliah mengajar ilmu Agama Islam oleh pihak Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kedah dan beliau telah lulus dan berjaya mendapatkan tauliah tersebut, tetapi kerana beliau berjuang dalam PAS, maka beliau tidak diberi tauliah yang menjadi lesen bagi para mualim mengajar ilmu agama itu.

Mungkin; jika beliau masih hidup sampai kini, beliau telah mendapat tauliah itu, kerana Kedah telah diperintah oleh PAS.

Sebelum beliau meninggal dunia di Hospital Sik, Kedah, beliau sempat bertanya kepada saya akan perjuangan PAS untuk menegakkan Negara Islam.

“Ayah minta deme tu tak gagal, tak patah ke belakang, tak kerhjasama dengan oghang bukan Islam …, tegakkan negagha Islam …,” katanya kepada saya.

KAMPUNG

Allahyarham telah meninggal dunia pada 15 April 2003. Dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Kampung Nami.

Bapa saya rakan kepada Ustaz Abu Bakar Al Baqir, bersahabat rapat dengan Presiden PAS, Allahyarham Uztaz Fadhil Mohd. Nor dan beberapa orang penting PAS di Nami dan Pokok Sena, Kedah.

Demikian cerita bapa saya. Cerita seorang tua yang kempunan melihat dua anak lelakinya – saya dan adik saya, Ghazali Petah tinggal dalam Negara Islam.

KUASA

Saya melihat sebilangan ‘orang-orang kita’ yang berjuang dalam PAS pada masa ini telah berbeza dengan ‘orang–orang’ kita yang berjuang pada masa lalu. Orang kini kelihatan membawa PAS kepada sebuah parti Islam moderet atau boleh bekerjasama dengan orang-orang tidak beragama Islam asalkan mendapat kuasa dan untuk menegakkan Negara Islam.

Orang-orang kita yang berjuang dalam PAS pada masa lalu menolak secara muktamad kerajasama dengan orang–orang bukan Islam untuk memerintah dalam negara separuh Islam dan Negara Islam.

Mengapa terjadi dua golongan (parti) di antara kalian menghdapi orang-orang munafik itu, sedang Allah telah menetapkan (bahawa) kekafiran mereka, disebabkan usaha mereka? Inginkah kalian hendak memimpin mereka yang telah dibiarkan sesat Dan mereka yang dibiarkan sesat oleh Allah? Dan mereka yang dibiarkan sesat oleh Allah, maka tidak mendapat jalan untuk mereka itu.

Mereka itu berhasrat pula agar kalian tidak juga beriman, sebagai mana mereka tidak beriman. Sebab itu janganlah kalian mengambil mereka menjadi pemimpin. –An Nisa: 87-89.

Walau bagaimanapun mereka tidak memusuhi orang-orang kafir dan teretap bersahabat dengan mereka sesuai dengan kehendak Allah:

Ditimpa ke atas mereka kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali mereka yang menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia, dan mereka kembali dengan mendapat murka dari Allah dan ditimpakan kelemahan (lemah semangat, takut dan hilang harga diri), demikian itu, kerana mereka tidak percaya kepada ayat-ayat (keterangan) Allah dan membunuh nabi-nabi dan melanggar batas (termasuk menentang negara Islam dan hudud) – (Ali Imran: 112.

HARAKAH

Mungkin tulisan ini menimbulkan kemarahan orang PAS, tetapi yakinlah, saya tidak anti Negara Islam, bahkan saya sentiasa berharap Negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS atau mana-mana harakah Islam akan muncul segera di bumi pusaka bangsa Melayu ini.

Tetapi peristiwa yang berlaku di Ipoh – Dewan Undangan Negeri bersidang di bawah pokok rendang – mengikut arah Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar baru-baru ini telah mengecewakan saya dan saya telah kurang (tidak hilang) yakin yang PAS akan berjaya menegakkan Negara Islam.

Dalam sejarah Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat Junjungan telah mengadakan pertemuan dan memeterai perjanjian dengan golongan dari Yathrib (Madinah), di bawah pokok – di Hudaibiah.

BERSIDANG

Pada hari-hari Parti Komunis Malaya (PKM) bergerak di Tanah Melayu, bapa saya pernah (terpaksa) bersidang dengan orang-orang parti tersebut di bawah pokok berangan babi di Paya Pak Banun, dekat Tasik Cenderuh.

Di Ipoh berlaku pula persidangan bawah pokok oleh para ahli Dewan Undangan Negeri dari Pakatan Rakyat – PKR, DAP, dan PAS.

“sedih, sedih …, teman sedih bebenor …,” seorang ahli PAS di Ipoh menelefon kepada saya.

“Megapa,” saya bertanya.

“ … ahli Dewan Undangan Negeghi dari PAS, bersidang bersama deme bukan Islam di bawah pokok, oghang–oghang berkopiah putih nampak bersemangat bantah menentang Sultan Perak …, adakan sidang tak ada kebenaran,” jawabnya.

“Oghang PAS baca doa panjang …, orang–orang bukan Islam riuh rendah marahkan Sultan dan Menteri Besar Perak yang baru, Dato’ Zabry …,” katanya.

“Eh, mike orang PAS, ngapa pula kata begitu?” saya bertanya.

“Teman oghang PAS, ahli PAS somor hidup, tapi cara Menteri Besor, oghang–oghang PAS buat, tentang perintah sultan, mesyuaghat bawah pokok teman tak setuju,” katanya lagi.

BERDISIPLIN

Perjuangan menegakkan Negara Islam adalah satu perjuangan suci, perjuangan pada jalan Allah, tetapi dalam perjuangan itu kita mestilah berdisiplin, berakhlak dan kuat berpegang kepada hikmat Allah, kalau tidka perjuangan kita menjadi celaru, orang ramai ketawa dan kita menjadi hina.;

Negara bertuah dan Allah Maha PengampunSaba:15

Negara demikianlah yang kita kehendaki. Negara yang dibina atas asas tauhid atau keTuhanan di samping menolak orang–orang kafir diambil menjadi pemimpin, kerana perbuatan itu tidak mendapat keredhaan Allah.

Walau bagaimana pahit dan maungnya (mungkin Datuk Nik Aziz dan Dato’ Haji Awang menentang saya), pihak PAS, iaitu daripada PAS meraba-raba bersahabat dan bekerjasama dengan orang–orang dalam DAP dan orang-orang lain menentang Negara Islam, lebih baiklah surutkan perasaan marah dan berunding dengan kalangan UMNO untuk bekerjasama dalam mengendalikan kerajaan Perak dan kerajaan Negara ini.

Sedarlah, sebelum terbentuknya pemerintah Islam Madinah, berapa ramai orang Arab yang menentang agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w., tetapi setelah terbentuk negara Islam, mereka memeluk agama Islam dan menjadi para mualaf yang taat setia kepada Islam, Nabi Muhammad s.a.w. dan iman mereka ketal.

(Tamat)

No comments: