Tuesday, August 7, 2012


TERKENANG
                   

                UMNO AKAN MENDIRIKAN NEGARA ISLAM


Pada pertengahan tahun 1955, aku telah berhenti dari sekolah Daeratul Ma’arifula Wataniyah. Aku telah pulang ke kampungku. Sementara menunggu mendapat pekerjaan, aku telah menjalankan kerja-kerja biasa, di kampung, iaitu menoreh getah dan menangkap ikan, di Tasik Chenderoh.
Selain dari itu, aku telah meneruskan juga kegiatanku dalam bidang penulisan. Aku telah menulis berita-berita dan rencana –rencana untuk surat khabar Warta Negara, Utusan Melayu di Singapura dan beberapa buah surat khabar dan majalah Melayu yang pada masa itu kebanyakkannya terbit di Singapura. 
Kira-kira dua bulan kemudian,Tunku Abdul Rahman Putra, Yang Dipertua UMNO Malaysia telah meminta aku membantu UMNO bagi menambahkan ahlinya. Tunku meminta aku memberi ucapan kepada mereka, ” ...apabila UMNO telah brjahya mecapai kemerdekan Persektuan Tanah Melayu, UMNO akan menjadikan negara ini sebuah negara Islam.” Aku menerima peremintaan Tunku itu, kerana aku percayakepada Allahyarham dan aku dapat berjuang pada jalan Allah.
 Aku bersaya rakanku, guru sekolah Melayu, Syid Zakaria bin Syid Ahmad (pada masa ini tinggal di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsaar), bersama pemuda-pemuda Melayu di kampungku, Kampung Sauk, Kampung Biong, Kampung Changkat Pinang, Kampung Seterus dan Kampung Jenalik telah menubuhkan Pemuda UMNO cawangan Sauk. Cawangan itu bersama cawangan UMNO (dewasa) terletak di bawah UMNO bahagian Kuala Kangsar. 
SEDANG MEMBARA DALAM DADA
Pada masa itu, semangat perjuangan menuntut kemerdekaan sedang membara dalam dadaku. Aku bersama beberapa orang ahli jawatankuasa pemuda, kaum ibu dan UMNO bahagian Kuala Kangsar telah menjelajah ke kampung-kampung di seluruh daerah itu untuk memberi penerangan berkenaan perjuangan UMNO dan mengajak penduduk-penduduk menyertai parti tersebut.
Di antara kawasan dalam daerah Kuala Kangsar, ialah Padang Rengas, Lubuk Merbau, Kati, Manong, Manora, Chegar Galah, Enggor dan Sungai Siput Utara. Pada masa itu belum ada bahagian dalam kawasan Sungai Siput Utara.
Kadang-kadang aku telah dijemput untuk memberi penerangan mengenai perjuangan UMNO di bahagian-bahagian parti itu di beberapa kawasan di negeri Perak.
Aku masih teringat, iaitu sebaik-baik sahaja aku selesai memberi ucapan di sebuah kampung, berpuluh-puluh orang lelaki dan perempuan termasuk pemuda telah menyerahkan borang keahlian UMNO bersama yuran kepada jawatankuasa cawangan kampung tersebut. Mereka telah menyertai UMNO dengan harapan parti kebangsaan Melayu itu dapat memerdekaan Tanah Melayu dari penjajah Inggeris dan sebilangan dari mereka berharap Tanah Melayu akan yang merdeka akan menjadi sebuah negara Islam.
PEMERINTAHAN ISLAM DI MADINAH
Kebanyakan warga seluruh kampung sekitar daerah Kuala Kangsar pada zaman itu, apabila menyebut kerajaan Islam, maka yang terlintas dalam kepala mereka, ialah pemerintahan Islam di Madinah, pemerintahan para sahabat Nabi Muhammad s.a.w., para Khalifah hinggalah kepada kerajaan Othmaniyah Turki.
Kerana cetek ilmu pengetahuan mereka tentang politik dan sejarah negara-negara Islam, mereka mempunyai kepercayaan yang kerajaan Arab Saudi itu sebuah kerajaan Islam, kerana Mekah dan Madinah wujud di dalamnya.
Pada masa itu tidak ramai dari jawatankuasa UMNO bahagian Kuala Kangsar dan cawangan-cawangannya yang memiliki kereta. Untuk pergi ke kampung-kampung yang masih menggunakan jalan tanah merah, berlumpur atau berdebu terpaksa menggatih basikal atau menumpang kereta sewa yang menggunakan minyak tanah.            
Pada satu hari aku telah memberi ucapan dalam satu perjumpaan yang telah diadakan oleh UMNO Bahagian Parit, Perak, di sebuah dewan dalam bandar Parit. Ramai ahli-ahli UMNO dalam perjumpaan itu telah bertanya kepadaku mengenai perjuangan UMNO, hala tuju perjuangannya, Sejauh mana keikhlasan UMNO hendak menegakkan kedaulatan bangsa Melayu dan negara Islam. Pertanyaan-pertanyaan mereka itu sama dengan falsafah perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya pimpinan Dr Burhanuddin Helmi.
PERJUANGAN ORANG MELAYU
Kawasan Parit – meliputi kawasan Simpang Tiga Manong, Belanja, Lengkuas, layang-layang-layat, Bota, Pulau Tiga hingga ke kawasan Pasir Salak mempunyai semangat juang yang kuat untuk memerdekaan tanah air.
Semangat juang orang-orang dewasa Melayu dalam kawasan tersebut masih tegar, kerana mereka masih tidak melupakan perjuangan orang Melayu di Pasir Salak menentang penjajah Inggeris pada sekitar tahun 1875. Cerita kematian Residen British, J.W.W.Birch di tangan orang Melayu menjadi pembakar semangat mereka. 
Mereka itu terdiri dari orang-orang Melayu yang kuat berpegang kepada semangat bangsa Melayu dan masih wujud dalam hati mereka, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) adalah satu-satunya parti politik Melayu yang berjuang untuk mendaulatkan bangsa, negara Melayu dan agama Islam. Mereka tidak yakin yang UMNO akan dapat menyambung perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
Aku telah mendapati orang-orang Melayu di sana pada zaman itu, mempunyai semangat kebangsaan Melayu dan keagamaan Islam, kerana beberapa faktor, di antaranya:
( 1 )  Kesan sejarah jihad orang Melayu menentang penjajah Inggeris di                                Pasir Salak sehingga terbunuhnya Rasiden British, J.W.W.Birch pada minggu pertama bulan Julai 1875.( Ramli bin Ngah Talib (Tan Sri), 1997, Pasir Salak Sehamparan Sejarah Perjuangan, Ipoh, Yayasan Perak, hlm.56.)
( 2 )  Pengaruh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Di sana                               ramai bekas ahli parti tersebut, di antaranya, Ustaz Haji Zabidi,                               Nasaruddian Rais dan Abdullah C.D. atau Che Dat.
( 3 )  Pengaruh alim ulama dan kesultanan dan kepahlawanan Melayu.
( 4 )  PAS menjadi parti politik alternatif bagi kebanyakkan penduduk-                               
        penduduk  di sana.
PARTI ISLAM SE MALAYA
Rakan-rakanku dalam Sahabat Pena dan bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Belia Sedar(AWAS) dan ahli Parti Islam Se Malaya (PAS) telah mengecam aku kerana berjuang dalam UMNO. Mereka telah menuduh aku menjadi alat untuk memusnahkan cita-cita pejuang-pejuang kemerdekaan Tanah Melayu pada tahaun 1945. (Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Pada hakikatnya pada masa itu, orang-orang Melayu, ulama, penulis, guru, orang-orang kampung yang berpendidikan Islam dan anti kapitalis serta yang faham akan kemana hala tuju UMNO, telah enggan menyertai UMNO. Mereka lebih berminat menyertai Parti Islam Se Malaya (PAS) atau berdiri atas pagar sahaja.
Mereka itu telah serik dengan tindak tanduk Yang Dipertua UMNO Pertama,  Onn bin Ja’afar yang telah bekerjasama dengan British mengeluarkan perintah menangkap pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair dalam parti-parti politik di luar UMNO, pada tahun 1948 dan tahun-tahun berikutnya. (Drs Li Chuan Siu, 1986, Ikhtisar Sejarah Pergerakan Dan Kesusasteraan Melayu Moden 1945- 1965’ Kuala Lumpur, Pustaka Antara, hlm.113.
Mereka juga telah menyifatkan UMNO telah membuka pintu kepada orang-orang bukan Melayu mengambil bahagian dalam politik di Tanah Melayu. (Drs Li Chuan Siu, 1986, Ikhtisar Sejarah Pergerakan Dan Kesusasteraan Melayu Moden 1945-
    1965’ Kuala Lumpur, Pustaka Antara, hlm.113).
PARTI KEBANGSAAN MELAYU MALAYA
Seorang bekas pejuang kemerdekaan tanahair pada masa sebelum perang dunia kedua dan telah dibuang bersama keluarganya ke Pulau Labuan, Ali Kafi, tinggal di Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, telah berkata kepadaku, ”....deme tu, oghang-oghang Melayu yang ditangkap oleh keghajaan oghang putih pada tahun 1951, pejuang kemerdekaan yang sebenornye, ...oghang-oghang Melayu  dalam UMNO banyak yang main taghik tali dengan oghang putih,... orang-orang pendatang.”
”Meke tengokle, ...kalau dibiorkan, oghang lain naik kepale..., oghang kita jadi macam pak kadukle...,”katanya lagi.
Pada zaman sebelum perang dunia kedua, pertubuhan-pertubuhan politik orang Melayu tidak didaftarkan. Kerajaan Inggeris tidak meluluskan pendaftaran parti politik, maka Ali Kafi dengan ramai pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair telah berjuang dalam pergerakan rahsia. Oleh yang demikian Kerajaan Inggeris telah menganggapkan mereka itu ahli-ahli kongsi gelap atau ’gangster’.
Demikian juga Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Islam Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan badan-badan wanita dan pemuda di bawahnya tidak didaftarkan oleh kerajaan Inggeris. Sementara orang-orang Melayu yaang memihak kepada Inggeris telah menuduh semua organisasi Melayu itu sebagai sarang golongan komunis dan merancang untuk menyerahkan Tanah Melayu kepada Republik Indonesia yang dipimpin oleh Presiden Soekarno.*
*  Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan 
    Paruh, (belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.

No comments: