Sunday, August 26, 2012


KISAH DARI NOVEL

                       TIDAK SEMUA MAHASISWA AL AZHAR BEGINI


Kira-kira sebulan kemudian, pada satu malam, Na’imah Halfa telah mengajak Fauziah ke rumahnya.Tujuannya untuk mengetahui, adakah tubuh penuntutnya itu telah menjadi sarang AIDS.
Sambil makan kebab daging kambing dan minum jus nanas dan air kopi Lybia, Na’imah Halfa berkata:
“Zainal Rashiud telah pulang ke Malaysia,” kata Na’imah Halfa.
“Ia, dia telah pulang,”sahut Fauziah.
“...bagaimana hubungan Fauziah dengan dia?”Tanya Na’imah Halfa.
“...baik, dia masih kekasih ana,”jawab Fauziah.
“Baguslah, ...tapi ana minta maaf, ana hendak tanya ente,”kata Na’imah Halfa.
“Apa, ustazah?” Fauziah bertanya.
           “Sepanjang masa ente bersahabat dengan dia, adakah ente bersama dia, iaitu melakukan hubungan seks dengan dia...?” Na’imah Halfa bertanya.
     Fauziah diam. Debar jantungnya kencang. Serba  salah.
     “Fauziah, ada atau tidak?”Na’imah Halfa mengulang pertanyaannya.
     “Ada,”jawab Fauziah.
     “..agak-agak berapa kali?” Tanya Na’imah Halfa.
           “Tak ingat, tapi dalam sebulan ada kira-kira enam atau lapan kali,... setahun satu bulan,’”jawab Fauziah.
     “Wau, banyak, sangat banyak,”kata Na’imah Halfa.
      “Mengapa, ustazah?” Fauziah bertanya.
      “Tak apa, itu perkara biasa kepada manusia zaman moden  ini,” jawab Na’imah Halfa.
       Fauziah senyum.
       Na’imah Halfa mengira hari-hari Zainal Rashid menari dengan Wawatiya di kelab eksklusif. Dari malam itu hingga pada malam dia dengan Fauziah, telah hampir lima minggu. Kalau Fauziah tidak melakukan hubungan kelamin dengan Zainal Rashid selepas pada malam itu, dia terselamat dari jangkitan  penyakit berbahaya itu.
”Baru-baru ini ada ente buat dengan dia?”Tanya Na’imah Halfa.
“Tidak, sudah lebih enam minggu kami tak buat...,” jawab Fauziah.
“Mengapa?” Na’iamah Halfa bertanya.
            “Tak, tau, ...dia ajak, tapi ana menolak ..., ana telah jadi tak suka, takut..., ana rasa berdosa kepada Allah,”jawab Fauziah.
Na’imah Halfa senyum. Mengangguk-anggukkan kepalanya. Secebis daging kambing dimasukkan ke dalam mulutnya. Dua ulas bibirnya cantik. Basah dan menggiurkan. Dua bola matanya merenung wajah Fauziah. Perasaan sayangnya kepada penuntutnya itu seperti sayangnya kepada anak saudara sendiri.
“Ana minta maaf lagi,”kata Na’imah Halfa.
Na’imah Halfa memegang tangan kanan Fauziah. Tangan lembut itu diusap-usap. Fauziah membiarkan gurunya mengusap tangannya.
“...sekarang, ente hamil, bukan?” Na’imah Halfa bertanya.
                                JANGAN BUANG ANAK
Fauziah terkejut. Degup jantungnya kencang lagi. Pada detik-detik begitu, Fauziah berada di antara dua persimpangan; kalau dia mengaku nanti dia akan dibuang dari kolejnya, kalau tidak mengaku, bererti dia membohongi gurunya.
    “Ia, ana hamil,”jawab Fauziah.
    “...berapa lama?” Na’imah Halfa bertanya.
    “ Aaam, kira-kira, ...dua bulan satu minggu,”jawab Fauziah.
    Na’imah Halfa merenung wajah Fauziah. Senyuman mengusap wajahnya.
    “...ana, ana minta maaf, tolong ana, jangan buang ana dari kolej,”Fauziah merayu.
    “Tak apa, jangan takut, ana sedia menolong,”kata Na’imah Halfa.
    “Terima kasih,ustazah,”sambut Fauziah.
          “Begini, ana tolong ente, ...ente daftarkan diri di kelab ’Club of Cildren Care’, ente akan dibayar wang kebajikan pada tiap-tiap bulan selama ente hamil,”kata Na’imah Halfa.
          “Ente juga akan dibayar wang kos bersalin, kebajikan bersalin  dan kos bersalin,”jelas Na’imah Halfa.
“Wau, bagusnya,”kata Fauziah.
           “Ia, bagus, ...tapi anak ente, setelah lahir akan dinamakan dengan nama orang Yahudi atau Kristian, ...dia akan jadi  anak Zionis atau Yahudi,”jelas Na’imah Halfa.
“Ooo, begitu,”sambut Fauziah.
           “Ia, ...kelab itu bertujuan menjadikan anak-anak yatim, anak luar nikah orang Islam, anak-anak Yahudi atau Kristian, ”terang Na’imah Halfa.
“...kalau macam tu, ana tidak mau,”kata Fauziah.
           “O.k, Fauziah tak mahu tak mengapa, tapi Fauziah kena berhenti dari kolej,”kata Na’imah Halfa.
Fauziah tercengang. Dua biji matanya bagai tersembul keluar merenung gurunya.
            “...ia, Fauziah kena berhenti sebelum pihak kolej  mendapat tahu ente hamil,”kata Na’imah Halfa.
Fauziah tunduk. Dia boleh membuat pilihan – serahkan anak kepada kelab atau terpaksa berhenti dari kolej. Air mulai membenak dalam dua telaga matanya.
         “Lembaga kolej tidak mahu nama kolej jadi buruk, mereka akan membuang ente dan ente akan diambil tindakan,”kata Na’imah Halfa.
        “Apa tidakan, ustazah?’Tanya Fauziah.
        “...tindakan, ...ia menyaman ente melalui mahkamah, kerana ente memalukan nama kolej,”jawab Na’imah Halfa.
   “Macam tu, Ustazah?”Fauziah bertanya.
    “Ia, ...Fauziah boleh pilih,”kata Na’imah Halfa.
                            ANAK LUAR NIKAH
Fauziah mengesat air matanya. Nekadnya; lebih baik dia berhenti dari kelejnya daripada anaknya menjadi Yahudi atau Kristian.
”Kalau macam itu, ustazah, ana akan berhenti dari kolej, ana akan pulang ke Malaysia,”kata Fauziah.
“Ente hendak bawa balik anak luar nikah ke Malaysia?”Tanya Na’imah Halfa.
“Ia, ana akan lahirkan anak ana ini di sana,”jawab Fauziah.
          “Bukankah akan memalukan negara ente dan umat Islam di sana?”Tanya Na’imah Halfa.
          “Tak apa, malu tak apa, itu lebih baik dari anak ana jadi Yahudi atau Kristian,”tegas Fauziah.
Na’imah Halfa senyum.
           “Ente, Fauziah, seorang perempuan yang baik, bakal ibu yang bijak,”kata Naimah Halfa.
“Terima kasih, ”ustazah.
Pada waktu lewat malam, Na’imah Halfa menghantar Fauziah pulang ke asramanya.




Seminggu kemudian, Fauziah berhenti dari kolejnya. Dengan pertolongan Na’imah Halfa, Fauziah memperolehi diploma bahasa Arab, kerana dia mahir berbahasa Arab. Diploma itu boleh dikira  palsu. Kerana Fauziah tidak mempunyai sebarang kelulusan dalam bahasa Arab. Dia hanya fasih bercakap Arab, iaitu bahasa pasar.   
Na’imah Halfa telah menolong Fauziah mendapatkan wang sagu hati dari kelab nasional di Kahirah. Sagu hati itu kerana Fauziah didaftarkan sebagai seorang perempuan yang teraniaya. Perempuan yang diiniayakan oleh lelaki yang menjadi kekasihnya.
Atas rasa kasihan dan ihsan terhadap nasib malang penuntutnya, Na’imah Halfa telah mengeluarkan wangnya sendiri untuk kos tambang kapal terbang Fauziah pulang ke kampung halamannya dan perbelanjaan lain.
Tiga malam sebelum meninggalkan Kahirah, Fauziah tinggal di rumah Na’imah Halfa. Pada malam-malam terakhir di Kahirah, penyesalan telah melilit dan mengikat dirinya. Perbuatannya telah mengajarnya; sesiapa yang melakukan kejahatan atau melanggah hukum Allah, dia akan menerima balasan dari Yang Maha Kuasa itu.
“Apa aku nak jawab kepada ayah, emak?”  Fauziah bertanya dalam bisikkannya.
           “...bagaimana orang kampungku pandang aku, apa kata deme bila deme tahu aku hamil anak haram?”Dia bertanya lagi.
           “Aku berdosa kepada Allah, ...emak, ayah, guru aku...,” Fauziah berbisik. Sedih.
            “Aku malu, ...aku seperti anjing betina, kandung anak haram..., anak luar nikah...,” suara Fauziah terluah. Kuat kuasanya.
Pada tiap-tiap malam di rumah Na’imah Halfa, minda Fauziah disumbat oleh suara-suara sedih. Risau. Nama Zainal Rashid sering di bibirnya.
                              MENCARI KEKASIHNYA
Ada ketikanya, dia rasa tidak mahu pulang ke tanah airnya. Biar dia tinggal di Lembah Nik sepanjang  hidupnya. Tetapi perasaan itu hilang apabila dia teringatkan ibu dan bapanya yang telah tua. Mereka berharap kepadanya. Mereka menantinya pulang sebagai seorang ulul albab – cendekia wanita Islam.
Fauziah menyimpulkan keputusannya, seperti orang menyimpulkan ketang kain pada tempayan pekasam. Hajatnya, sebaik-baik sahaja dia pulang ke Malaysia, dia akan pergi ke Kota Bharu untuk mencari kekasihannya. Di sana dia akan berkahwin dengan pemuda yang telah menikmati tubuhnya seperti belalang dewan menikmati kelopak padma.
           “...macam mana kalau Zainal tak nak terima aku, tak mengaku, ...mungkir janji?” Fauziah bertanya kepada hatinya sendiri.
“...aku akan fikirkan,”jawab hatinya   
            “Bodoh, ...apa guna anak haram, bunuh dia, bunuh...,”nafsu dalam dirinya mendesaknya.
“Betul, kamu bunuh lebih baik,”syaitan betina telah menghasutnya.
            “...mengapa mesti bunuh anak kamu, ...kamu yang salah, anak kamu tidak salah, ...kamu dan kendak kamu yang salah, ...langgar hukum Allah,”hatinya menyanggah.
            “Aku tau,”jawa Fauziah.
           ‘Tidak boleh orang beriman bunuh orang beriman...,’( An Nisa:92)
kata hatinya.
            “Aku tau,” kata Fauziah bagaikan akan menjerit.
         
‘Siapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana – hukuman – pembunuhan atau kerana melakukan bencana dalam negara (melawan pemerintahan Islam)maka, bererti orang itu telah membunuh manusia semuanya...,’ (Al Maidah:32.)[1]kata hatinya lagi.
           “Aku tauuuu,”jerit Fauziah.
          ‘Sesungguhnya rugilah orang-orang yang membunuh anaknya kerana kebodohannya...,’[2] (Al Ann’am: 140).jerekah hatinya.
           “Aku tak akan bunuh anak aku,” kata Fauziah.      
Fauziah menangis. Dua tapak tangannya ditekapkan pada kulit perutnya yang mengandung bibit anak luar nikahnya.
             “Kamu macam anjing, ...anjing, kamu anjing,...kamu ada pengetahuan Islam,tapi kamu langgar hukum, hudud Allah,”suara dari makhluk ghaib menyumbat sepasang lubang telinga Fauziah.
           “...kamu tak cukup iman kepada Allah, tak ada akhlak, ...anjiiiiing,”suara itu menyeranah Fauziah lagi.
Dua biji mata Fauziah terbeliak mencari makhluk yang bersuara itu. Siapa yang bersuara. Manusia. Jin. Malaikat. Fauziah telah gagal melihat makhluk ghaib itu.
            ‘Orang-orang yang beriman sejati, tegar imannya, tidak langgar hukum Allah, ‘...yang menjaga kemaluannya - dari melakukan kejahatan nafsu syahwat’ ...,’[3]Al Mu’minun: 5.)makhluk ghaib itu bersuara lagi.
Fauziah menangis. Meraung. Bunyi raungannya telah mengejutkan Na’imah Halfa yang sedang nyenyak tidur di bilik sebelahnya.
Na’imah Halfa bangun. Seperti orang mengigau, dia telah berjalan masuk mendapatkan Fauziah.  Rasa simpatinya kepada Fauziaah menjadikan dia ikut sedih. Dia telah memujuk Fauziah supaya bersabar, menyerah diri kepada Allah.
         “...ente bertaubat,  Allah sentiasa menerima taubat hamba-Nya, ...Allah Maha Pengampun,”pujuk Na’imah Halfa.
         “Ia, ana ...,astaghafirullahal Azim,” suara Fauziah memohon ampun dalam sedu sedannya.
          “Baguslah, Fauziah,”kata Na’imah Halfa.
Fauziah senyum. Senyumannya tawar.*
* Dari manuskrip novel, ‘Bunga Padma di Lmbah Nil’, oleh: Mokhtar Petah.


[1] Al Maidah:32.
[2] Al Ann’am: 140.
[3] Al Mu’minun: 5.

No comments: