Tuesday, August 28, 2012


KISAH DARI NOVEL
(7)
KASIH IBUKU

Malam itu  kampung Kembang Semangkuk kedinginan. Semenjak tengah hari lagi hujan turun mencurah-curah. Dedaun di pepohon berterbangan dibawa angin dan dibasahi oleh air dingin. Daun - daun kembang semangkuk yang selebar tapak tangan lelaki sasa dan buah-buahnya yang bersayap seperti burung layang-layang itu berterbangan dan luruh ke bumi di sekitar kampung hingga ke permukaan sawah padi di sebelah timur.
“Abang, tak usah minta mak Munah, …Ijah ada, Ijah boleh gi pinang Mahani tu,”ibku berkata kepada ayahku dengan hatinya yang tulus.
“…ia, Ijah, ia…?” tanya ayahku.
“Ia,…benar, bang,”jawab ibuku. Senyum.
“Sanggupke, Ijah?” ayahku bertanya.
“…ngapa tak sanggup? Abang ingat Ijah tak suka abang madukan Ijah?,”ibuku bertanya.
Ayahku sengeh. Hati lelakinya kembang bagaikan bunga bakawali kembang pada waktu subuh.
“Kerana abang, kerana suami, jangankan gi pinang Mahani, pinang puteri raja pun Ijah sanggup, bang,”jawab ibuku dengan ikhlas.
“Eh, sampai macam tu sekali,”kata ayahku sambil melilitkan lengan kanannya kepinggang ibuku.
Ibuku geli geleman.
“…kan Ijah dah kata, kerana abang, …kerana abang berenang dalam lautan api pun Ijah rela,bang”tegas ibuku.
Ayahku sengeh lagi. Senyumnya memanjang bagaikan pantai yang sayup mata memandang. Hatinya menari bersama perasaannya yang dibungkus kegembiran. Hatinya bertaut dengan rasa nafsu lelakinya. Hatinya berjalin dengan cinta terhadap ibuku. Hati lelaki membara cintanya kepada bakal isterinya, Mahani.
Lengan kanan ayahku bertambah erat membelit pinggang ibuku. Perempuan yang berpengalaman dalam penyerahan cinta kasih  suaminya itu arif benar akan hajat suaminya pada waktu itu. Dia juga sedang dilambung oleh gelora berahinya sendiri.
Bagai pengantin baru ibu dan ayahku berpelukan di atas tilam gebu dari kapuk kampung. Malam terlalu dingin. Hujan mencurah-curah turun. Ibukuku lemas dalam kedinginan dalam pelukan ayahku. Ayahku seorang lelaki sejati yang diwarisi dari para nabi dan datuk neneknya. Malam amat dingin. Bunyi air hujan yang mencurah turun  atas atap rumah ayah dan ibuku dan mengalir
lalu mencurah dan terjun ke bumi. Bunyi air dan atap  telah menenggelamkan segala bunyi pada waktu itu. Buah- buah kembang semangkuk yang  berterbangan dalam hujan lebat itu  menjunam ke dalam kubang dan telaga yang berkocak airnya di tengah sawah
                                     ***              ***
Mahani janda muda. Usianya baru menjengkau 24 tahun. Dia tidak mempunyai anak Hati nuraninya penuh dengan perasaan cinta dan kasih sayang yang perlu dilimpah ruahkannya kepada lelaki bakal suaminya. Dia memerlukan seorang lelaki untuk teman hidupnya.
 Suami Mahani seorang lelaki keturunan Bugis telah menghilangkan dirinya entah ke mana. Selama tiga tahun dia terkekang dalam penderitaan batin. Dia tidak mengetahui di mana belukar dan hutan lara tempat suaminya bersembunyi. Hati muda dan nafsu mudanya mendesak dia bertindak menuntut talak dari suaminya. Dia tidak sanggup memaksa dirinya dalam keadaan ‘makan hati berulam jantung’. Demi Allah dia tidak terdaya membiarkan nafsu berahi perempuan mudanya kekeringan laksana dedaun bertaburan di tengah padang pasir tandus.
Mahani seorang perempuan yang ada pengetahuan agama Islam. Dia lebih yakin bertindak mengikut syarak dapat manfaatkan dirinya sebagai seorang wanita daripada mengikut hukum adat yang sana sini ada lapuknya dan ada maksiatnya. Kerana ada catatan taklik di belakang sijil nikah dia dan suaminya,maka Mahani telah mendapat kebenaran bercerai taklik dengan suaminya dari pejabat kadi.
Kadi yang berusia hampir bersara itu berkata kepadanya, “ Orang perempuan muda macam kamu ini,tak usah membiarkan diri jadi macam buah nangka disumpah beruk, masak tidak,gugur tidak,hanya tergayut kering di dahan.”
“Saya ni tuan, kerana ada sekelumit ilmu agama,sekadar tahi udang atas kepala, nipis sangat iman kepada Allah, macam kulit bawang kering, kalau tak…, dah lama saya ikut nafsu saya entah ke mana,”balah Mahani kepada kadi itu.
 Mahani yang berlesung pipit dan dua bola matanya laksana bintang kejora, bergelar janda muda. 
 Dia menjadi guru sukarela mengajar kanak-kanak kampung Kembang Semangkuk mengaji Quran, fardu ain dan ilmu akhlak.
Ayahku kenal Mahani dan Mahani kenal ayahku. Mereka sama-sama hidup dalam sebuah kampung tradisi orang Melayu. Mereka hidup dalam rukun jiran tetangga dan gotong royong. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala-galanya. Pada suatu malam orang - orang tetangga menjadi gempar. Beberapa orang daripada mereka itu mendatangi ayahku di rumahnya. Mereka meminta tolong kepadanya untuk menangkap seekor beruk jantan yang sedang mengintai  janda muda, Mahani, di atas bumbung rumahnya.
Beruk jantan itu dibela oleh Lebai Manap. Dia menjadikan haiwan itu sebagai hambanya untuk memanjat pokok kelapa dan mengambil buah-buahnya., Mengambil buah petai dan mencari siput dan gondang dalam sungai. Entah bagaimana, pada petang tadi rantai besi yang  mengekang leher beruk dan di kunci pada sebatang kayu di belakang rumahnya  telah putus.
“Eh, takkanlah beruk tu tau Mahani tu janda atau tidak,” kata ayah kepada orang-orang kampung yang datang menemuinya.
“Beruk ni macam kita juga,abang,” sahut  seorang dari mereka.
“…beruk jantan pun macam kita juga, abang, tahu mana betina cantik, mana tak cantik,”kata yang seorang lagi.
Ayahku senyum.
Mereka ketawa. Bunyi tawa mereka mengocak kesunyian kampung kembang Semangkuk.
Dalam perjalanan ke rumah Mahani, hati ayahku terlontar kepada satu hari pada bulan Muharam kira – kira tiga bulan yang lalu. Mahani telah datang bertandang ke rumahnya. Dia telah makan tengah hari bersama ibu dan ayahku.
Kedatangan Mahani ke rumah ayahku kerana dia meminta ayahku menolongnya, iaitu memberi beberapa petunjuk kepadanya untuk dia menjawab soalan dalam peperiksaan mendapatkan tauliah mengajar agama Islam  di pejabat agama. Mahani telah mendapat tahu,iaitu beberapa orang agama di sekitar mukim dalam daerah kami telah berjaya mendapatkan tauliah mengajar agama Islam setelah mereka mempelajari siluk belok menjawab soalan dalam peperiksaan.
Semenjak hari itu juga ibuku terasa amat mesra dengan Mahani. Dalam hatinya  terpendam rasa kasihan kepada perempuan muda lagi jelita yang hidup tanpa suami itu. Ibuku sanggup bermadu dengan Mahani sekiranya bapaku sudi menerima janda muda untuk menjadi isterinya yang kedua.
Ibuku sering berdoa dalam hatinya kepada Allah; mudah – mudahan Allah memakbulkan doanya. Allah membuka hati suami supaya bernikah dengan Mahani. Bagi ibuku, jika dia menerima Mahani menjadi madunya, bererti dapat melakukan sejambak ibadat kepada Allah.
Sebaik-baik sahaja ayahku tiba di kaki tangga rumah Mahani, dia mendengar suara Mahani menjerit ketakutan. Sementara atas atap rumahnya – atap dari daun rumbia kering,seekor beruk jantan bertaring panjang sedang merengek-rengek dengan nafsu berahinya kepada janda muda itu.
Kerana ayahku ada kepandaian memujuk beruk, iaitu dengan membaca sepuntung ayat Quran, “Dengan nama Allah yang Pemurah dan Penyayang. Dan sesungguhnya kamu mengetahui mereka ayang melanggar aturan di antara kamu pada hari Sabtu, kerana itu kami kata kepada mereka: hendaklah kamu menjadi monyet yang dibenci orang[1]Al Baqarah: 65)”. Maka lebih kurang lima belas minit ayayhku berjaya menangkap beruk itu. Beruk tersebut diserahkan oleh ayahku kepada lebai Mana.
“Jaga baik-baik beruk ni, lebai, binatang ni macam manusia juga, tahu perempuan cantik atau tidak,”kata bapaku kepada Lebai Manap.
“…baiklah,abang,” sahut Lebai Manap lalu dirantai leher  beruknya  itu dengan rantai besi yang baru.
“Orang bela gajah kena jaga kosanya, bela beruk kena jaga rantainya,”tambah ayahku.
“Ia,abang,”sahut Lebai Manap lalu pergi dalam malam hitam.
Beberapa orang kampung itu mengelilingi ayahku.
Mahani turun ke tanah. Dia kelihatan termengah-mengah. Penat. Dia terlalu takut kepada beruk jantan itu.
“…mujur abang ada, kalau tak, tahulah Ani,bang,”kata Mahani kepada ayahku.
“Tak pa, beruk aja,Ani,”kata ayahku pula.
“Beruk jantanlah yang Ani takut…,”kata Mahani agak tersipu-sipu.
“Kalau orang agaknya Ani tak takut,”kata Wahab, bilal surau di kampung itu.
“Orang tak apa. Orang ada akal, Ani tak takut,”sahut Mahani.
Mereka sama-sama ketawa.
Semenjak peristiwa beruk jantan mengacau Mahani itulah hati ayahku terpaut kepada janda muda itu. Dia ingin berkahwin dengan Mahani. Tetapi dia perlu memaklumkan kepada ibuku.Kalau ibuku setuju dia berkahwin dengan Manani, barulah hajatnya akan dilaksanakan. Kalau ibuku tidak setuju, dia akan membatalkan niat sucinya itu.*
*  Dari novel ‘Kasih Ibuku’, oleh: Mokhtar Petah.


[1] Al Baqarah: 65

No comments: