Thursday, August 9, 2012


Tema Pakatan pupuk penyatuan rakyat - Pak Samad

Salmiyah Harun,09 Ogs 2012

KUALA LUMPUR: 
Pemilihan Slogan 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat sebagai tema Hari Merdeka yang ke-55 terlebih dahulu diperhalusi dan dinilai dengan membandingkan slogan yang pernah digunakan kerajaan Persekutuan sejak tahun 1970 hingga 2011.

Jawatankuasa Pemilihan Tema Merdeka ke-55 Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said mendapati slogan yang digunakan kerajaan tahun demi tahun semenjak 1970 sering mengulangi perkataan seperti masyarakat, bersatu dan rakyat dalam tema Hari Kemerdekaan.

Malah katanya, apabila tiba waktu tertentu pula kerajaan menggunakan perkataan 'wawasan' dalam tempoh empat tahun bermula tahun 1991 dengan tema 'Wawasan 2020' diikuti 'Wawasan Asas Kemajuan',  'Bersatu Menuju Wawasan', 'Nilai Murni Jayakan Wawasan' dan tahun 1995 dengan tema 'Jatidiri Pengerak Wawasan'.

"Jadi dengan menghalusi itu kita dapat mewujudkan yang lebih bagus lalu kita membincangkan slogan-slogan yang dihantar, akhirnya kita bersetuju sebuah slogan yang tidak sempurna iaitu 'senegara, sebangsa, sehati, sejiwa'," katanya dalam sidang media.

Hampir 250 cadangan slogan yang diterima oleh jawatankuasa tersebut yang turut dianggotai oleh bekas menteri kabinet, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzil, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Gerakan, Dr Toh Kin Woon dan Pengarah Eksekutif  Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah.

Bagaimanapun slogan yang diilhamkan oleh Alhaimi Adam, A. Samad berkata slogan itu ada sedikit perubahan di mana perkataan 'sehati' digugurkan.

"Kita bincangkan perkara ini, kita fikir sebelum wujudnya negara mesti ada bangsa dahulu sesudah bangsa baru ada negara , sesudah ada bangsa dan negara wujud sejiwa.

"Bunyinya sedikit abstrak tapi kami kira 'sejiwa' itu amat penting dan kami tolak sehati oleh kerana 'hati' ini ia boleh busuk, jiwa ia tidak boleh busuk," katanya.

Beliau percaya setiap kelompok manusia rindu akan kesatuan demi kedamaian dan kesejahteraan hidup.

"Sejak merdeka kita dapati 14 negeri disatukan dan orangnya dipanggil rakyat Malaysia. Mereka ini menjadi kelompok bangsa yang membentuk sebuah bangsa Malaysia yang baru akhirnya wujud sebuah negara," katanya.

Selama lima dekad lebih beliau mendapati rakyat Malaysia lambat untuk benar-benar bersatu malah ada yang tergamak untuk memecahbelahkan sehingga menggunakan alasan perkauman.

Sebab inilah, katanya ia melambatkan untuk membentuk sebuah negara dan matlamat ini tidak akan dicapai kalau rakyat itu tidak bersatu padu atau tidak sejiwa.

"Dan maka atas alasan-alasan itulah kami memilih slogan yang dihantar oleh Alhaimi Adam dengan mengubah dan menyusun semula, di mana bangsa diubah menjadi sebangsa memberi maksud tersirat harus bersatu. Bangsa harus hidup bercita-cita dan hidup damai jadi ia harus sejiwa," katanya.

No comments: