Sunday, August 5, 2012
TERKENANG
GANYAG MALAYSIA
Pada
masa konfrantasi Republik Indonesia terhadap
Malaysia pada 16 September 1963
hingga Ogos 1966, iaitu pada bulan
Oktober 1963 aku telah mengikuti Sultan Idris Shah melawat ke bandar kecil
Lumut. Bandar itu sedang mengadakan pesta tahunan. Berbagai pertunjukkan
kesenian telah diadakan, di padang tepi laut.
Sultan Idris telah beradu dalam bilik vip. Rumah Rehat bandar
itu. Anggota-anggota rombongan Baginda telah tinggal dalam beberapa buah bilik
di situ. Aku bersama seorang pegawai polis bahagian Cawangan Khas telah
menginap dalam sebuah bilik tidak jauh dari bilik Baginda.
Pada malam itu kira-kira jam 11.00, aku sedang bercakap-cakap dengan dua
orang rakan, seorang pemberita dan seorang gadis Melayu penyanyi dari Persatuan
Belia Daerah Dindings, di tepi pintu masuk ke pesta itu. Pada waktu kami sedang
bercakap-cakap di situ, tiba-tiba datang Usmar - bekas wartawan harian Patriot,
Medan dan pegawai POLRI bahagian perisikan-, telah datang menemui aku. Setelah
kami berjabat tangannya, dia telah mengajak aku pergi bersamanya ke pengkalan
bot ke Pulau Pangkor. Aku telah meninggalkan
dua rakanku di situ dan mengikut Usmar.
KOMANDO GANYANG MALAYSIA
Usmar
memberitahu kepadaku, bahawa dia telah dua hari berada di Lumut dan siang tadi
dia telah datang mencariku di Kuala Kangsar. Di sana dia telah mendapat tahu
yang aku bertada di Lumut.
Usmar telah mengajakku menaiki bot pergi ke Pulau Pangkor Laut, iaitu di
sebalik Pulau Pangkor dan mengadap ke laut lepas. Dengan berbisik, dia
memberitahu kepadaku yang dia telah datang bersama Tentera Nasional Indonesia
(TNI) atau Komando Ganyang Malaysia (KOGAM) dengan sebuah kapal selam dan telah
berlabuh di sana.
Pada ketika itu perkhidmatan bot
ke Pulau Pangkor telah tidak ada lagi. Usmar bersama seorang rakannya telah
membawaku menaiki bot laju yang telah disewanya sejak siang tadi. Setibanya
kami di kawasan pinggir Pulau Pangkor Laut, dalam cahaya bebintang di dada langit, aku melihat sebuah kapal besar sedang
berlabuh di laut tidak jauh dari pulau itu. Ramai
anggota-anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) atau Komando Ganyang Malaysia
(KOGAM) yang berpakaian uniform celoreng dan lengkap brsenjata sedang berdiri
di bawah pepohon dan semak-semak di situ.
Usmar telah memperkenalkan aku kepada seorang pegawai yang telah menyebut
namanya, Ali (bukan nama sebenar) dan anggota-anggota TNI yang lain. Pada waktu
yang singkat dan mencemaskan itu, aku telah diminta menjalankan propaganda
kepada orang ramai, di negara ini bagi menghancurkan projek Malaysia yang
disifatkan oleh Presiden Soekarno sebagai projek British.
DIRANCANG OLEH INGGERIS
Ali
dan pegawai-pegawainya telah menyerahkan satu guni, sebesar guni bawang yang
berisi wang kertas Malaysia yang bernilai $10.00 setiap sehelai itu masih baru
dan berikat kemas dengan pita logam. Wang itu adalah untuk aku gunakan bagi
menjalankan kempen anti Malaysia.
Ali telah menjelaskan kepadaku, bahwa Republik Indonesia tidak bertujuan bermusuhan
dengan rakyat Tanah Melayu yang baru berada di bawah Malaysia, tetapi tujuan
mereka untuk menghancurkan gagasan Malaysia, kerana projek itu telah dirancang
oleh Inggeris dengan tujuan mengekalkan kepentingan ekonomi mereka di
Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo, iaitu Brunei, Sarawak dan
Sabah.
Aku telah menolak pemberian wang
seguni itu dengan alasan aku tidak dapat membawanya, kerana di sekitar bandar
kecil Lumut ramai anggota-anggota polis dan tentera sedang berkawal, kalau aku
membawa guni berisi wang itu tentulah aku akan diberkas oleh mereka. Selain
dari itu aku menginap bersama seorang pegawai polis bahagian Cawangan Khas
dalam bilik rumah rehat di Lumut.
Ali dan pegawai-pegawai TNI itu telah menerima alasanku itu. Kemudian mereka telah meminta aku bekerjasama dengan
mereka bagi menghancur projek Malaysia. Kira-kira dua puluh minit aku di sana,
kemudian Usmar telah menghantarku pulang ke Lumut dengan bot laju itu.
INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
Kira-kira
tiga minggu kemudian aku telah menerima surat dari seorang tokoh ilmuan dan
diplomatik (namanya aku rahsiakan), yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah
intitusi pengajian tinggi, di Singapura. Dia telah meminta aku membantunya,
menjadi korespondan- menulis dan membekalkan berita-berita dan artikel-artikel
kepada pihaknya, di institusi pengajian tinggi itu.
Aku telah menerima permintaannya itu. Pensyarah itu telah memberi kepadaku
kemudahan mengirim berita-berita dengan menggunakan kad mengirim berita- collect
press-, dari Telekom. Semua berita yang aku tulis aku telah mengirimkannya
kepada institusi pengajian tinggi itu dengan kod ’press’.
Kemudian aku telah mendapat tahu, bahawa semua berita dari aku itu telah
disiarkan Radio Republik Indonesia (RRI), iaitu ’Suara Ganyang Malaysia’ untuk
dipancarkan di Radio Republik Indonesia (RRI).
Aku telah tidak memberitahu kepada sesiapa, hatta kepada isteriku mengenai
petemuanku dengan pegawai-pegawai TNI di Pulau Pangkor Laut hingga aku
membekalkan berita-berita kepada sebuah insitusi pengajian tinggi di Singapura.
POLIS CAWANGAN KHAS
Kisah
itu telah menjadi kenang-kenangan dalam hidupku dan telah menjadi catatan dalam
sejarah hidupku sebagai seorang penulis yang sentiasa rebah dan bangun. Aku
kira pengalaman itu sebahagian dari ilmu pengetahuan dan pengalaman aku jua.
Pada masa konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia itu, aku telah diminta
oleh seorang Pegawai Polis Bahagian Cawangan Khas, negeri Perak, supaya aku
bekerja sambilan dengan bahagian itu. Kerana pekerjaan itu sebagai satu
sumbangan kepada negaraku, maka aku telah menerima permintaan pegawai
tersebut.
Tugasku dalam Cawangan Khas itu tidaklah untuk menangkap orang-orang
politik kiri atau mereka yang melakukan seversif terhdap negara, tetapi aku
menjalankan tugas sebagai wartawan juga, iaitu melaporkan kepda bahagian itu
semua hasil percakapan dan temubualku dengan pemimpin-pemimpin perjuangan
golongan kiri dan para bijak pandai yang membangkang kerajaan seperti Dr
Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Kassim Ahmad, Ishak Haji Muhammad dan ramai lagi.
Selain dari itu, aku juga dikehendaki melaporkan hasil lihat, dengar dan
selidikku terhadap menteri-menteri dan ahli-ahli Dewan Rakyat, termasuk
kelakuan mereka yang boleh merosakkan nama negara, seperti rasuah dan
sebagainya.
PERPADUAN DAN PEMBANGUNAN
Aku
dikehendaki menghantar segera kepada pegawai Bahagian Cawangan Khas setempat
semua saripati dari ucapan-ucapan para politikus itu, seperti mereka mengkritik
atau menegur kerajaan berhubungan dengan pembangunan luar bandar, politik,
ekonomi, pelajaran dan sebagainya. Semua laporanku itu dihantar oleh pihak
Bahagian Cawangan khas itu ke ibu pejabatnya, di Kuala Lumpur dan seterusnya kepada Perdana Menteri.
Aku juga dikehendaki menghantar kepada Bahagian cawangan Khas semua salinan
berita-berita yang aku telah tulis mengenai hal-hal pihak pembangkang, seperti
temubualku dengan mereka, ucapan mereka, orang-orang yang mereka telah temui
dan sebagainya.
Pihak Jabatan Perdana Menteri mahukan ucapan-ucapan, pecakapan dan buah
fikiran tokoh-tokoh pembangkang diteliti, dikaji dan ambil mana-mana yang baik
dan berfaedah untuk tujuan memperbaiki pengurusan kerajaan, terutama mengenai
perpaduan dan pembangunan rakyat luar bandar.
Kerja yang aku telah lakukan untuk kerajaan itu adalah kerja kecilan,
tetapi aku mendapat pengalaman dari semua kerjaku itu; sesebuah kerajaan yang mengamalkan
demokrasi amat memerlukan pandangan atau idea dari pihak pembangkang dan orang
ramai untuk melaksanakan satu-satu rancangan atau projek untuk rakyat jelata.
Kerajaan yang mengamalkan demokrasi tidak akan berjaya dan maju jika mereka
mengenepikan pandangan atau idea dari pihak pembangkang dan
pengkritik-pengkritik dasar dan usaha-usaha kerajaan.*
*Disaring
dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar
Petah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment