Wednesday, August 8, 2012


TERKENANG

SAYA KENAL ANWAR IBRAHIM


Semenjak negara kita mencapai kemerdekaan pada 1957 hingga pada masa ilmu kewartawanan atau mass communication (mass com.) belum diwujudkan oleh Institut Teknologi Mara, belum ada sesiapa dan organisasi yang mengadakan kursus seperti itu secara umum di negara ini. Ada atau tidak, hanyalah institusi media atau akhbar mengadakan kursus atau bimbingan kepada pemberita-pemberita mereka sahaja.             
             Sekitar tahun 1960-an, persatuan-persatuan penulis di negeri-negeri telah mengadakan ceramah dan seminar penulisan kreatif, tetapi tidak bersifat kursus atau bimbingan secara langsung kepada belia-belia yang meminati bidang kewartawanan dan penulisan.
              Pada pertengahan tahun 1965, aku telah dikenali ramai sebagai seorang wartawan yang telah berpengalaman dalam bidang penulisan kreatif - novel, cerpen dan sajak-, maka aku telah menerima banyak sungutan dari ramai pemuda pemudi, di seluruh negeri Perak yang berminat dalam bidang pemberitaan atau kewartawanan, kerana mereka tidak berpeluang mempelajari ilmu tersebut.
               Sementara itu ramai belia-belia, terutama lepasan sekolah agama rakyat yang meminati kerjaya dalam bidang penulisan dan kewartawanan telah meminta aku membimbing mereka dalam bidang tersebut.

TAHI UDANG ATAS KEPALA

Atas rasa tanggungjawab untuk mengembangkan ilmu pengetahuan, maka aku dengan ’ilmu sebanyak tahi udang atas kepala’, pada tahun tersebut aku telah mengadakan kursus ilmu kewartawanan dan penulisan kepada para belia lelaki dan perempuan, di beberapa tempat di negeri Perak, iaitu Kuala Kangsar, Ipoh, Taiping, Parit, Pulau Pangkor, Kampung Gajah, Teluk Anson, Parit Buntar dan Hulu Perak.
         Pada peringkat mula aku telah mengadakan kursus kewartawanan dan penulisan pada tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad kepada kira-kira 30 orang pemuda pemudi, dalam sebuah bangunan, di Bandar Kuala Kangsar. Di antara mereka itu, ialah Nasaruddin Abu  Bakar, Mohd. Nor Shamsuddin dan Shahbuddin Hassan (kemudian mereka bekerja sebagai wartawan Uutusan Melaysia). Beberapa orang peserta kursus itu tidak berminat bekerja sebgai wartawan tetapi berminat dalam bidang penulisan kreatif, di antara mereka itu, Hussein Arif (Lubuk Merabu), Cikgu Ismail (Parit) dan Ramlah Yatim daan Arbaayah Yatim (Manong) dan beberapa orang guru dan kakitangan kerajaan.
      Pada masa yang sama, dalam satu program Belia, di Bukit Berapit, Padang Rengas, seorang jurufoto bebas, Radzuan Ahmad telah menemui aku. Dia berasal dari Kampung Tanah Merah, Kuala Kangsar dan bekas jurufoto Tentera British di Singapura. Radzuan[1] telah meminta bantuanku untuk mendapatkan kerja sebagai jurufoto dalam syarikat Utusan Melayu, di Kuala Lumpur.
       Aku telah menulis sedikit nota atas kertas kecil dan aku meminta dia berikan kepada Ketua Pengrang akhbar itu, Melan Abdullah (kemudian Tan Sri) atau Timbalannya, Othman Abadi. Tidak lama kemudian di telah bekerja sebagai jurufoto dalam syarikat tersebut.

KURSUS WARTAWAN DAN PENULISAN

Pada masa itu aku memegang jawatan Pengerusi Persatuan Belia Kuala Kangsar. Setiausaha, Hamdan Hazizi (penolong Pegawai Daerah), selepas itu telah memegang jawatan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak. Kemudian dia menceburkan dirinya dalam bidang perniagaan dan perusahaan di Ipoh. Anggota-anggota lain dalam persatuan belia itu, di antaranya, Ismail Shabuddin (penolong Pegawai Daerah) kemudian menjadi Datuk Bandar Ipoh.
      Usaha aku mengadakan kursus kewartawanan dan penulisan telah menjadi agenda Persatuan Belia Kuala Kangsar. Usaha menarik lebih ramai lagi belia-belia dalam daerah itu untuk menyertai kursus tersebut telah dijalankan oleh persatuan tersebut.
      Pada tahun 1966, dengan kerjasama Pegawai Daerah Kuala Kangsar, Allahyarham Ahmad Daud Dahalan, maka kursus ilmu kewartawan dan penulisan yang aku adakan di bangunan dalam bandar Kuala Kangsar itu, telah berpindah ke dewan Rest House dekat Pejabat Daerah setempat. Lebih 70 orang belia lelaki dan perempuan termasuk ahli-ahli Persatuan Belia telah menyertai kursus tersebut.
         Di antara mereka itu, Baharuddin Kahar (kemudian terkenal sebagai penulis novel dan menjayakan penulisan muzalah Berita Harian), Husni Tamrin Alimin (Tanjung Rambutan), mereka dari Ulu Kinta, Sharifah Saudah Ahmad, kemudian berkhidmat sebagai pramugari MAS, dua orang penuntut Malay College Kuala Kangsar, Mahson dan Abdul Rahman Yusof. Mahson telah berkhidmat dalam Jabatan Kerajaan Pusat, Abdul Rahman Yusof, kemudian telah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Osman Hamzah bekerja sebagai tukang memperbaiki radio di Taiping dan Kemudian dia telah bekerja sebagai pemberita  BERNAMA, di Taiping.

MENGENAI KEPATAHAN CINTANYA

Pada awal tahun 1977, Osman Hamzah telah mengadakan skim cepat kaya yang terkenal dengan nama ’skim Pak Man Telo’. Skim itu telah menggemparkan penduduk-poenduduk sekitar negeri Perak dan negeri negeri lain, kerana sesiapa yang melabur wangnya menrusi skim tersebut cepat menjadi kaya. Kemudian dia telah ditangkap oleh pihak berkuasa mengikut seksyen 103, jadual ke empat Akta dan Isntitusi Kewangan.  Sebelum meningga dunia, dia telah dibuang daerah ke Kuala Terengganu pada bulan Mac 1992.
            Gadis Bukit Chandan, Mariam yang telah aku terangkan di atas telah mengikuti kursus kewartawanan dan penulisan di Rumah Rehat Kuala Kangsar. Dia masih berkeadaan lama juga terhadap diriku. Pada masa itu dia telah menulis cerpen-cerpen mengenai ke patahan cintanya, tetapi cerpen-cerpen itu tidak dikirimkan kepada mana-mana surat khabar dan majalah. Menurutnya dia hendak menyimpan cerpen-cerpennya itu sebagai kenangan.
      Pada tahun yang sama, sebuah Jawatankuasa Sementara di Malay College Kuala Kangsar(di antara anggota-anggotanya, Ustaz Abdul Rahman dan Dismon Muzaffar Tat, telah menjemputku untuk memberi kursus ’kewartawanan dan antarabangsa’ pada tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad, selama empat bulan, yang dikhaskan kepada kira-kira dua ratus orang penuntut-penuntut yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi-institusi pengajian tinggi, di luar negara.
      Pada masa kursus di Malay College itu pertama kali aku bertemu dengan seorang penuntut dari Cheruk To’kun, Bukit Mertajam, Anwar Ibrahim.Dia tidak dapat mengikuti kursus itu kerana dia akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.

TULISAN PRESIDEN SEOKARNO

Anwar Ibrahim seorang penuntut yang petah bercakap pandai berucap. Dia telah belajar sedikit sebanyak cara-cara berpidato dengan baik daripadaku. Aku telah menasihatinya, supaya belajar pidato dengan praktik di hadapan cermin besar. Cara demikian pemidato itu  dapat melihat gaya diri dan memek mukanya pada waktu berucap dalam cermin itu.
               Aku juga telah mencadangkan kepadanya, supaya dia mengambil potongan-potongan penting dari ucapan dan tulisan Presiden Soekarno, Muhammad Abduh, Syed Qutb dan beberapa orang lagi selain dari ayat-ayat Quran dan Hadis untuk digunakan dalam ucapannya sebagai hias cakap
                Kira-kira seminggu kemudian – Malay Colleh bercuti -, aku bersama Haji Fadhil Khalid, Abdul Latif Hussein (penulis dan anggota Parti Rakyat) telah membawa Anwar Ibrahim memberi ucapan dalam majlis Maulidur rasul, di Kampung Beluru (kampung di pendalaman) dan Kampung Talang Dusun(dekat Padang Polo Kuala Kangsar). Dia telah berucap dengan suara yang lantang, penuh gaya dan semangat. Hampir separuh dari ucapan Anwar telah menyelar atau mengecam Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, beberapa orang menteri kabinet  wakil-wakil rakyat UMNO.

SEORANG YANG GELOJOH

Ucapan-ucapan Anwar Ibrahaim telah menarik perhatian orang-orang dari parti pembangkang dan mereka yang tidak menyertai mana-mana parti politik. Pendapat-pendapat Anwar Ibrahim dalam ucapan-ucapannya sesuai dengan fikiran orang-orang parti pembangkang,  seperti Socialist frunt atau Parti Rakyat  dan PAS.
              Pada masa itu ramai dari penduduk-penduduk kampung  suka mendengar ucapan Anwar Ibrahim. Ucapannya seperti ucapan pemuda-pemuda revolusi Indonesia atau seakan-akan  ucapan Presiden Soekarno.
              Aku telah merenung wajah dan peribadi Anwar; dia seorang yang bercita-cita besar, mempunyai harapan untuk menjadi pemimpin, tetapi dalam banyak hal dia seorang  yang gelojoh. Biasanaya, orang-orang yang gelojoh bernasib seperti seorang seldadu; kalau dia tidak membunuh musuh, maka dia akan dibunuh oleh musuhnya.
           Semenjak Anwar Ibrahim tamat dari Malay College dan melanjutkan pelajarannya, di Universiti Malaya dan hingga dia berada di kedudukan yang tinggi, aku tidak pernah bertemu dengannya. Tetapi aku sentiasa mengikuti jejaknya, jejak seorang pejuang yang sarat dengan semangat dan cita-cita, namun, dia seperti  seorang perajurit di medan perang; membunuh atau dibunuh.*

*   Dari manuskrip buku, Memoir, patah Sayap Bertongkatkan
     Paruh, (belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.



[1] Pemilik Redzuah Foto Studio, di Banguan Uda, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
[2]  Azil Ali, 1994, Rahsia Pak Man Telo Terbongkar, (tiada tempat terbit), Muti Medias Publication,
     

No comments: