Wednesday, August 22, 2012
TERKENANG
IBUKU MENANTIKU DI SHYURGA
(4)
MANGSA KAHWIN PAKSA
Ibu dan ayahku telah berkahwin seperti kebanyakan remaja-remaja Melayu zaman silam. Mereka rela dalam paksaan. Perkahwinan mereka tidak didahului oleh cinta. Mereka berkahwin dulu kemudian sama-sama memupuk perasaan cinta.
Biasanya cinta mereka bermula pada waktu kadi atau penolongnya melakukan istiadat akad nikah ke atas pengantin lelaki. Ada di antara pengantin-pengantin lelaki tercungap-cungap mengucapkan ‘aku terima nikahnya…’. Ada juga pasangan pengantin jatuh cinta pada malam pertama yang selalunya pengantin perempuan ketakutan seperti orang-orang darat takutkan mata sumpitan beripoh. Mungkin seperti janda gatal takutkan lintah dalam sawah.
Mahkota gadis musnah pada malam pertama tanpa perasaan cinta dan berahi, telah di alami oleh gadis-gadis Melayu di Pulau Pinang. Mereka dikahwinkan dengan lelaki Malabari, gadis-gadis Melayu di Singapura dan Johor dengan lelaki – lelaki Arab, di Kedah, Perlis,Terengganu dan Kelantan dengan guru-guru agama yang telah tua. Di Perak dan Selangor anak-anak gadis Melayu menjadi korban kahwin paksa dengan lelaki-lelaki keturunan raja dan orang besar-besar. Manakala di Negeri Sembilan ramai anak-anak gadis Melayu menjadi mangsa lelaki-lelaki tua dari Pagar Ruyung dan Bukit Tinggi dalam kata beradat ‘adat bercampur agama’. Kahwin paksa.
kutkan mata sumpitan beripuh atau seperti janda gatal takutkan lintah dalam sawah.
Ramai pula anak-anak gadis yang musnah mahkota mereka pada malam pertama dalam keadaan tidak wujud perasaan cinta. Kebanyakan mereka menjadi mangsa kahwin paksa.
Bapaku anak teruna dari kampung pendalaman. Ibuku anak dara pingitan orang kampung juga.
Pada zaman remajanya, bapaku bekerja kuat menggunakan tulang empat kerat. Sebagai pemuda kampung yang mengenali dirinya sendiri dan mengenali Tuhannya. Dadanya laksana lubuk banyak ikan diisi dengan ilmu pengetahuan agama Islam yang menjadikan imannya kukuh bagai gegunung batu. Tawakalnya kepada Allah melebihi segala macam kekuatan alam. Ramai guru agama dijadikan mursyid untuk dia menimba ilmu. Seketul hati dalam dadanya bersama otak putih dalam kepalanya di hias dengan iman dan takwa kepada Allah. Tubuhnya yang tulang - temulang masih muda ibarat rebung muda diberitahukan dengan bersenam,bekerja dan memakan ubat-ubatan dari dedaun, bebatang dan akar-akar kayu dari hutan rimba. Dia mahu tulang - temulang dalam tubuhnya kuat lagi perkasa seperti keris dari besi kharsani tempa di tanah Jawa.
Dalam hati ayahku sentiasa membara kalimat syahdu ‘aku anak jantan tak takut segala,melainkan Allah’. Dia menjadi berani kerana imannya kukuh dalam dada. Dia menjadi berani kerana tawakalnya kepada Allah. Dia menjadi yakin kerana dia amat mengenali Allah.Dia sering menyanyi kudus dalam hatinya ‘Allah wujud,Allah hidup,Allah berkehendak, Allah berkuasa, Allah berilmu,…tapi berlawanan dengan segala yang baharu’.
Ibu dan ayahku berkahwin pada usia mereka masih remaja . Ayah berusia dua puluh lima tahun dan ibuku berusia sembilan belas tahun. Pada masa itu bagi orang tua - tua kampung; ayahku telah layak mendirikan rumah tangga, beristeri dan beranak pinak, kerana dia telah pandai menyirat senduk,telah pandai mengikat anak tangga kepada paha tangga dan kenal pula sekilat ikan dalam air, telah tahu jantan betinanya.
Pada zaman dulu,pada pandangan orang tua-tua, kalau pemuda tidak pandai mengaji Quran,akan berkahwin dengan janda tua. Tetapi ayahku pandai membaca Quran, berqasidah, marhaban dan bahkan pandai berdoa hingga doa talkin atas pusara.
Manakala biuku, dia pandai menumbuk sambal di dapur. Cili ditumbuk tak hancur tetapi garam lumat. Biuku pandai mengayak beras di serambi rumah dan kenal mana antah dan mana melukut. Dia pandai mengadun diri – sanggul biar kemas tetapi kepala mesti diselubung rapi. Tubuh badan mesti dijaga, dilangir dan dilulut di luaran manakala makanan mesti dijaga,supaya daging atau isi tubuh kemas,pinggang sentiasa ramin dan perut tidak buyut seperti lelaki ahli gusti Jepun. Perhiasan dada laksana buah mempelam bergayut subur dalam dusun.
Kira-kira sebulan selepas ibu dan ayahku berkahwin, mereka telah berpindah ke sebuah rumah kecil tidak jauh daripada rumah datuk dan nenekku. Rumah itu hanya boleh dinamakan pondok atau dangau sahaja. Ada ruang anjung,sebuah bilik dan seruang dapur. Rumah itu didirikan oleh datukku dengan bantuan tiga orang lelai. Seorang lelaki Jawa,seorang lelaki Bugis dan seorang lagi lelaki Pattani.
Mungkin rumah seperti itu masih terdapat di kampung-kampung pendalaman di negara kita ini. Rumah tempat ibuku menerankan aku dari rahimnya ke dunia ini, hanya beratapkan daun rumbia kering, dinding pelupuh dan daun-daun pintu dan jendela dari buluh pelang atau buluh betung, lantainya dari buluh minyak yang dibelah-belah dan diikat- sirat dengan rotan seni. Paha tangga dari teras kulim dan anak-anak tangga dari kayu halban tanduk. Anak-anak tangga dan paha tangga itu menjadi satu diikat dengan rotan seni dari rimba.
Aku pernah mengukir sebuah syair mengenai rumah ibu dan ayahku itu, iaitu.
Malam gelap rasa dingin,
dinding berlubang masuk angin,
lantai buluh tikar jerami,
tangga kayu ibarat besi.
Panjat tangga selak kain,
duduk bersila macam bermain,
sepanjang hari rumah berangin,
aman damai ibu sekelamin. *
* Dipindahakan dari novel 'Kasih Ibuku', oleh: Mokhtar Petah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment