Thursday, August 30, 2012


KISAH DARI NOVEL
(9)
KASIH IBUKU
HABIS MANIS SEPAHDIBUANG

Malam membungkus kampung Kembang Semangkuk dan berhiaskan cahaya bulan purnama. Bau harum bunga melati membuai masuk ke dalam bilik Mahani melalui jendela yang ternganga. Jendela berjeriji besi itu membolehkan dia merenung jauh ke puncak pohon kembang semangkuk yang sedang dipeluk oleh awan perak. Tidak jauh dari pohon kembang semangkuk itulah rumah ibu dan ayahku. Mahani tahu ayahku ada di rumahnya bersama ibuku. Dia tahu pada malam itu ayahku tidak ke tasik Chenderoh. Malam itu  malam Jumaat yang keramat.
“Abang, kalau abang  dah jadi laki Ani, abang sayangkan ani,tau,”suara Mahani berbisik seolah-olah bisikan itu hampir benar dengan copeng telinga ayahku.
“…tolonglah, abaaang, Ani dah lama hidup degihta bersama laki Ani dulu, dia nikah dengan Ani kerana harta emak, bapa Ani,…Ani jadi macam tebu,bang, habis manis sepah dibuang,” bisik Mahani lagi.
“Dia orang Bugis, bang. Dia datang ke kampung ni kerana berniaga. Lepas tu dia pujuk ayah Ani supaya jadikan Ani bininya,” Ani membisikkan kalimat-kalimat itu pada bantal panjang dalam pelukannya.
Bantal panjang itu dilepaskan dari pelukannya. Dia berbisik lagi, “…demi Allah, bang, Ani tak cintakan dia, tapi ayah, emak Ani yang paksa, Ani mangsa kahwin paksa, bang,” Ani berbisik sambil dua biji matanya merenung ke puncak pohon kembang semangkuk.
“…dulu lagi, bang, pada masa Ani anak dara Ani dah jatuh hati pada abang, tapi pada masa tu Ani seorang saja bertepuk sebelah tangan, bang,” bisikan Mahani seolah-olah dibawa angin ke puncak pokok kembang semangkuk.
Mahani berdiri dari birai katilnya. Dia berjalan ke jendela. Angin dari luar memuput masuk melalui jendela itu dan meraba tubuhnya. Rambutnya yang hitam berkilat seperti berterbangan dalam cahaya bulan yang indah.
“Abang, Ani mengaku ,bang, Ani akan serahkan seluruh tubuh dan jiwa raga Ani kepada abang,” Mahani berbisik dalam bau harum bunga melati.
Pada saat - saat bulan purnama berlindung di sebalik gunung awan, Mahani merebahkan tubuhnya yang berbungkus dalam pakaian tidur warna biru laut ke atas katilnya. Dipeluknya bantal panjang itu semula seolah-olah dia memeluk tubuh ayahku.
Pada waktu sunyi begitu, terasa dalam hati Mahani yang ayahku ada bersamanya. Lelaki idaman itu seolah-olah sedang membelai dirinya. Dia benar-benar dilambung cinta berahi terhadap ayahku.
Memang telah menjadi kebiasaan pada diri orang-orang yang bercinta atau sedang dihanyutkan dalam tasik angan-angan dan khayalan; apa jua kalimat - kalimat indah atau bersifat puitis diucapkan dalam hati atau diucapkan dengan berbisik Cuma.
DEGUP JANTUNGNYA
MENENDANG - NENDANG DINDING DADANYA
Mahani membisikkan pantun – pantun lama. Dia rasa ada nikmat cintanya kepada lelaki apabila pantun-pantun lama itu dibisikkannya.

                                        Inderagiri pasirnya lumat,
                                               pasir bercampur dengan lokan;
                                        bagai nabi kasihkan umat,
                                               begitu saya kasihkan tua.
                                        Harap- harap kelapa di puan,
                                               Tidak puan kelapa Bali;
                                        harap hati  pada tuan,
                                               tidak tuan siapa lagi.                                    

“Ya, Allah, Allah Maha Besar, tunjukkanlah kepada hambamu yang lemah ini jalan yang benar. Kau anugerahkanlah kepadaku jiwa yang tenang, hati yang sabar dan kuatkan imanku kepada-Mu. Ya, Allah jika kautakdirkan aku bersuamikan abang Razdi, kaukuatkanlah cinta kasihku kepdanya dan dia pula memberikan cinta kasihnya kepadaku.” Mahani menyembahkan doanya kepada Allah pada ketika dia mula mengantuk. 
Dengan nama Allah yang Pemurah dan Penyayang,” bisik Mahani sambil mengerengkan tubuhnya kepada bantal peluknya. Dia memeluk bantal itu dengan perasaan seorang janda muda yang ketagih kasih bapaku.

-------
“ Ani, kakak ni nak pinangmu,”ibuku berkata kepada Mahani.
Mahani tunduk dan dua biji matanya merenung kelarai - kelarai pada tikar mengkuang di hujung lututnya. Degup jantungnya menendang-nendang dinding dadanya sendiri.
“…untuk abang Radzi, suami kakak, Ani terimake, …Ani setujuke?” ibuku bertanya dengan suara yang lembut amat.
Mahani mendongakkan kepalanya. Dia merenung ibuku dengan renungan perempuan  yang jujur kepada perempuan yang ikhlas dan mengharapkan keredaan Allah. Dia senyum manis.
“…Ani terima, kak, Ani setuju,…atas nama Allah Ani terima, kak,”kata Mahani.
Dua ulas bibirnya basah bak dua ulas limau. Hatinya bermadah, “…tak cukup tapak tangan nyiru Ani tadahkan.”
“Syukur, … kakak syukur kepada Allah,”kata ibuku.
“Ani juga bersyukur kepada Allah, kak,…Ani ucapkan terima kasih kepada kak, terima kasih,kak.” Mahani menyambut kata - kata ibuku.
Peristiwa yang luar biasa dalam masyarakat yang longgar dengan pegangan agama Islam itu  berlaku pada satu petang hari Khamis. Pada sebelah malamnya, dalam satu majlis walimatul urus yang sederhana di rumah Mahani, ayahku dinikahkan dengan janda muda itu.
“…maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai,dua orang, tiga orang dan empat orang, tapi kalau kamu khuatir tidak dapat berlaku adil, maka hendaklah seorang  sahaja,”[1] ibuku membisikkan erti dari ayat Quran kepada ayahku sebaik-baik sahaja ayahku melakukan istiadat membatalkan air sembahyang dengan isteri barunya.
Insya Allah, Insya Allah, abang akan adil, terima kasih, Ijah,”sahut ayahku.
Ibuku berpaling kepada madunya. Pada ketika mereka berjabat tangan, ibuku berkata, “…isteri – isteri kamu itu ladang kamu, oleh itu usahakanlah ladang kamu itu sebagaimana kamu suka,”[2] ingat tu, Ani.”
Insya Allah,kak, Ani berjanji, Ani akan taatkan abang Radzi,” Mahani mengaku.
Pada malam itu, biuku merelakan hatinya dengan beralaskan keimanan kepada Allah dan kesetiaan kepada suaminya, dia meminta ayah tinggal bersama Macani selama satu minggu. Walaupun Macani bukan seorang  gadis, tetapi kerana ‘reda’ dan ‘sayangnya kepada ayah, maka itulah yang dilakukannya.
DIA RASAPUAS
SEBAGAI SEORANG ISTERI
Sebelum biuku meninggalkan rumah Macani, dia bersama ayah dan madunya, Macani, telah mencapai kata yang bulat, iaitu ayah akan melakukan giliran antara biuku dengan madunya  selama dua hari dan dua malam. Kalau ada hal-hal yang munasabah, seperti sakit, deman dan aral-aral lain, bolehlah dipendek atau dipanjangkan masa giliran itu.
Sebaik-baik tiba di rumahnya, ibuku melabuhkan punggungnya atas tikar di bilik sembahyangnya. Dia melakukan sembahyang sunat syukur kepada Allah kerana dirinya telah dianugerahkan hidayat oleh Yang Maha Agung itu dengan hati yang rela terhadap suaminya. Dia rasa puas sebagai seorang isteri kerana dapat menolong suaminya menikah seorang lagi. Dia juga rasa puas kerana dapat menghapuskan gelaran janda pada diri madunya.
“…ya, Allah, demi-Mu, Allah, aku lakukan ini kerana-Mu, ya, Allah,” ibuku menyembahkan bisiknya kepada Maha Pencipta alam semesta.
Ibuku tahu. Dia amat sedar. Kakak-kakaknya dan sebilangan besar dari orang-orang perempuan di kampung Kembang Semangkuk tidak menyebelahinya. Mereka tidak setuju atas tindakannya meminang Mahani. Mereka lebih tidak suka ibuku  merelakan ayahku memadukannya.
“…biar apa demo nak kata, aku ikut jalan Allah, aku tak akan ikut jalan syaitan,” hati ibuku bermadah tegas.
“Orang yang tentang hukum lelaki kahwin lebih dari seorang, orang jahil hukum  Islam,…ikut nafsu,…ikut syaitan, derhaka kepada Allah…,” hati ibuku bermadah lagi.
Pada ketika itu ibuku teringat akan seorang perempuan kenalannya kampung seberang. Perempuan itu telah menghalang suaminya yang hendak berkahwin dengan seorang perempuan. Dia telah menyerang bakal madunya  dengan cili tumbuk dan mencakar muka perempuan itu dengan besi tajam.
Perempuan tersebut telah menuntut cerai dari suaminya. Kerana perbuatannya, dia telah ditangkap oleh polis dan kemudian dia terpaksa meringkuk dalam penjarakan. Kira-kira satu minggu dia terkurung dalam penjara, suaminya telah menceraikannya dengan talak satu.
“ Perempuan yang menentang suami nak kahwin lagi berdosa. Lelaki takutkan isteri, ikut telunjuk isteri, takut nak kahwin lagi walaupun mampu, lelaki itu dayus. Lelaki dayus tak dapat masuk syurga,” ibuku masih ingat akan ajaran guru agama, tuan Cek Wi[3].(Allahyarham Sheikh Haji Nawawi Janggut Merah)
“Nabi Muhammad sallallahu alai wasallam telah bersabda, “Lelaki dayus tak dapat masuk syurga,[4](Hadis Nabi Muhammad s.a.w.) kata tuan Cek Wi lagi.
“ Tengoklah, pada masa akan datang ramai perempuan Islam yang tentang hukum Allah. Depa tentang poligami, depa buat macam-macam alasan kerana nak tentang hukum Allah tu. Nau zubillah,” tambah tuan Cek Wi.
 Menurut tuan Cek Wi, orang Islam yang menentang hukum Allah, tidak percayakan hukum dalam Quran, mereka menjadi kafir, mereka  orang - orang yang tidak beriman kepada Allah. *
* Dipndahkan dari novel Kasih Ibuku, oleh: Mokhtar Petah.                                      
                                     




[1]  An Nisa’: 3
[2]  Al Baqarah: 223
[3]  Allahyarham,Sheikh Haji Nawawi bin Muhammad,Perak.
[4]  Hadis Nabi Muhammad s.a.w.

No comments: