Thursday, July 19, 2012


CATATAN SEJARAH


                        TUNKU ABDUL RAHMAN

                        " ... ANAK RAJA PAPA ...," KATA TUNKU

1951.
Dengan hati yang cekal berbaur sedih, pada malam itu juga Tunku Abdul Rahman dan isterinya membawa diri dari istana peninggalan ayahandanya untuk meneruskan perjuangan memerdekakan Tanah Melayu dari penjajah Inggeris.
Dengan membawa sedikit pakaian – banyak yang ditinggalkan, Tunku Abdul Rahman dan isterinya menaiki kereta yang dipandu oleh pekerjanya yang setia, Syed Ahmad, telah berangkat ke sebuah Rumah di Telaga Air dekat Kepala Batas . Rumah itulah menjadi tempat awal bagi Tunku Abdul Rahman memulakan perjuangannya menuntut kemerdekaan negara ini dari penjajah British. Rumah tersebut pernah didiami oleh Syed Ahmad pada masa dia belum bekerja dengan Tunku Abdu Rahman.
Sehari demi hari sampai seminggu, Tunku Abdul Rahman dan isterinya mulai menghadapi kekeringan wang untuk membeli makanan. Pada hari-hari itu juga dia memerlukan wang untuk meneruskan perjuangannya dalam UMNO. Hendak meminta kepada UMNO, dia tahu parti politik Melayu itu tidak mempunyai wang.
“Apa nak kata, saya dah jadi anak raja papa...,” kata Tunku Abdul Rahman kepada saya.

ISTERINYA MERELAKAN GELANG 
DAN RANTAI LEHIR DIGADAIKAN

Tunku Abdul Rahman telah buntu fikirannya untuk mendapatkan wang; tidak ada jalan yang dinampak di hadapannya. Setelah berunding dengan isterinya, wanita yang bakal menjadi ‘Ibu Pertama Negara’ itu, maka dengan ketentuan Allah jua, isterinya telah merelakan gelang dan rantai leher, pergelangan tangan dan kerongsang digadaikan. Syed Ahmad telah menggadaikan barang-barang kemas itu di beberapa kedai pajak gadai termasuk di Butterworth.
Pada masa tinggal di rumah tersebut, Tunku Abdul Rahman sering datang menemui Sheikh Abdullah Fahim. Mungkin firasat atau ilmu ladunni Sheikh Abdullah Fahim, dia mengetahui Tunku Abdul Rahman kekeringan wang. Seminggu kemudian Haji Ahmad Badawi bersama Allahyarham Hashim Awang dari Tasik Gelugur (pernah menjadi pengarah syarikat surat khabar, Utusan Melayu Berhad dan ahli Dewan Rakyat), Haji Sulaiman Palestin, telah membawa wang untuk Tunku Abdul Rahman Putra.
Pendeknya perhubungan Tunku Abdul Rahman dengan Sheikh Abdullah Fahim telah menjadi sebagai perhubungan anak dengan bapa kandung. Sebelum mengetuai Rombongan Merdeka ke London, Tunku Abdul Rahman telah meminta Sheikh Abdullah Fahim menggunakan ilmu falak menentukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh yang ditentukan oleh Sheikh Abdullah Fahim, ialah pada 31 Ogos 1957. 

SEWA BILIK HOTEL MURAH 
KIRA - KIRA EMPAT RINGGIT

Beberapa minggu kemudian UMNO Malaya telah mengeluarkan wang tabungnya untuk perbelanjaan Tunku Abdul Rahman Putra menjalankan kerjanya sebagai Yang Dipertua Agung UMNO Malaya.
Pada masa Persekutuan Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan, dalam bandar Kuala Lumpur tidak ada hotel bertaraf mewah, kecuali sebuah hotel berhadapan stesen kereta api Kuala Lumpur.
 Walaupun kebanyakan ahli jawatankuasa UMNO menginap di hotel tersebut, tetapi Tunku Abdul Rahman menginap di sebuah hotel di Jalan Raja Muda dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur, iaitu New Hotel. Sewa bilik hotel itu murah, iaitu kira-kira empat ringgit bagi satu bilik selama sehari semalam. Tidak lama kemudian ramai ahli jawatankuasa UMNO Malaya datang menginap di hotel tersebut. 
Setelah Tunku Abdul Rahman meninggal dunia, saya telah melawat ke hotel itu dan bercakap dengan pengurusnya yang telah tua. Dia telah memuji Tunku Abdul Rahman kerana berjaya memerdekakan negara ini. Sambil ketawa, dia berkata, yang eloknya UMNO menjadikan hotelnya itu sebagai sebuah ‘bangunan mengenang perjuangan Tunku Abdul Rahman dan rakyat Tanah Melayu menuntut kemerdekaan’.* 

*  Dari buku catatan lama. 

No comments: