Saturday, June 13, 2009

MENGENANG MASA SILAM




mokhtar petah

Pada Jun 1996 aku telah menulis sebuah buku biografi bekas Menteri dan Peguam Negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof. Sebelum aku menulis buku itu, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (1976 – 1988) dan Duta Malaysia ke UNESCO di Paris (1988 – 1994), Datuk Dr Hassan Ahmad telah meminta aku menulis buku biografi tersebut.

Kemudian Dr Hassan Ahmad bersamaku telah pergi menemui Encik Mohamed Shah bin Tan Sri Abdul Kadir, di pejabat (menjalankan restoran makanan segera McDonald), di Kampung Atap, Kuala Lumpur. Kemudian aku telah diberi tanggungjawab untuk menulis buku tersebut.

Sebelum aku memulakan kerja menyelidik dan menulis bukut itu, Aku dan keluargaku telah dibawa oleh Encik Ahmad Shah dan isterinya, Puan Fadzilah pergi ke dusun buah-buahan peninggalan Abdul Kadir, di Gombak, dekat jalan raya lama ke negeri Pahang.

Turut bersama kami, balu kepada Tan Sri Fatimah Haji Hashim, bekas Menteri Kebajikan ’Am Malaysia dan tiga anaknya. Kami telah berkelah di chalet, di tepi sungai dalam susun buah-buahan itu.

Untuk menulis sebuah buku biografi seorang tokoh seperti Abdul Kadir Yusof, tidak semudah yang aku jangkakan. Pada hari-hari mengumpul fakta, kisah dan suara orang-orang lain mengenai Abdul Kadir Yusof, aku telah menemui rakan-rakannya, bekas Presiden Republik Singapura, Dr.We Kim Wee, bekas Hakim, Tun Suffian bin Haji Hashim, Datuk Ahmad Perang bekas pengurus Besar, Keretapi Tanah Melayu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Dr. Rais Yatim dan beberapa orang peguam sezaman Abdul Kadir Yusof.

Aku telah selesai menulis buku itu pada masa yang ditentukan. Buku yang berjudul ’Abdul Kadir Yusof Peguam Rakyat’ itu telah diterbitkan oleh Tabung Kebajikan Kanak-Kanak (RMCC) untuk derma tabung tersebut.

Buku ’Abdul Kadir Yusof Peguam Rakyat’ telah dirasmikan pelancarannya oleh Menteri Pelajaran, Dato’ Mohd. Najib Tun Abdul Razak, di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur.

Pada malam 4 Mei 1996, Dr Mahthir Mohamad telah membaca sajak karyanya, ’Dr Mahathir Menangis Demi Bangsanya: Perjuangan Yang Belum Selesai’, di Pusat Penerangan Pelancongan (MATIC), Kuala Lumpur. Aku telah menulis sebuah buku berjudul ’Perjuangan Yang Belum Selesai’. Buku itu telah diterbitkan Semfoni Gemilang Sdn.Bhd., Kuala Lumpur.

Buku tersebut telah diedarkan ke seluruh dunia dalam rangkaian ’Music and Book on Music’, menerusi lama web http: www.pitbossnnie.com/iss-m-9832076005.html .

Buku tersebut telah dibeli oleh seorang korporat Melayu dan telah diberi percuma kepada mereka yang menghadiri satu majlis Dr Mahathir Mohamad bersama rakyat di Kubang Pasu, Kedah.

Tidak lama kemudian aku telah menulis sebuah buku biografi Datuk Rahmat Ismail, berjudul ’Meniti Derita Ke puncak’. Aku telah menyiapkan kerja menyelidik dan menulis buku ini dalam masa dua bulan, iaitu mengikut masa yang telah dipersetujui oleh pihak syarikat Datuk Rahmat Ismail dengan aku.

Buku ’Meniti Derita Ke puncak’ telah diterbitkan oleh Darul Fikir, Kuala Lumpur dan telah dirasmikan pelancarnya oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Allahyarham Tun Hamdan Sheikh Tahir, di sebuah hotel, di Subang Jaya. Hasil dari jualan buku itu telah didermakan kepada tabung anak yatim Pulau Pinang.

Setelah empat buah buku biografi karanganku diterbitkan, aku didatangi keinsafan, bahawa sebagai penulis aku memikul tanggungjawab yang besar untuk terus menulis dalam apa jua bidang yang aku mampu laksanakannya. Aku telah berpegang kepada falsafah ringanku sendiri, iaitu, ’Aku terus menulis sehingga ada orang menulis sesuatu kalimat atas kain kapanku’.

Aku berpendapat, kalau menulis hanya bertujuan untuk mencari wang, nama dan kemenangan dalam saimbara, maka penulis itu tidak akan lama dalam dunianya sebagai penulis, tetapi kalau diambil kira kerja menulis sebagai tanggungjawab, minat dan sumbangan kepada manusia, maka kerjayanya akan terus menerus dan penulis itu akan kaya dengan ilham dan idea dari Allah.

Kalau melaksanakan kerja menulis bertujuan mencari makan dan untuk melonjakkan nama semat-mata, maka akan lahirlah ramai penulis yang senang diupah oleh pihak-pihak tertentu. Di seluruh dunia ramai penulis-penulis upahan yang menulis berita, artikel, buku dan sekrip untuk filem dan sebagainya. Mereka itu diupah oleh pihak-pihak tertentu, misalnya oleh pihak badan-badan perisik di negara-negara maju, pergerakan Yahudi dan sebagainya.

Di Malaysia terdapat ramai penulis yang menggunakan bidangnya untuk memburukkan orang lain. Mengadu domba antara manusia-manusia atau parti-parti politik. Kandungan buku mereka bermuat cerita-cerita palsuan, sensasi, direka-reka dan seperti percakapan-percakapan di warung kopi tepi jalan sahaja.

Di negara ini terdapat beberapa orang penulis yang ’lumpuh’ nama baik mereka, kerana mereka tidak mengendahkan undang-undang yang ada dan setelah mereka di hadapan mahkamah oleh individu-individu yang menjadi mangsa tulisan mereka.

(Disedut dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah - belum terbit)

No comments: