Sunday, June 28, 2009

FATWA






1.Jika saudari masuk ke tempat sedemian kerana tugasan yang dipertanggungjawabkan adalah diharuskan. Sekiranya atas tujuan peribadi adalah ditegah kerana ia boleh mendatangkan fitnah berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud," Tinggallah perkara-perkara yang meragui kamu kepada perkara-perkara yang tidak meragui kamu"

2.Islam telah memberi garis panduan dalam pergaulan. sama ada antara sesama jenis atau berlainan jenis. Pergaulan dinatara lelaki dan perempuan yang bukan mahram (harus berkahwin) hendaklah mengikut batasan yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu 1) Hendaklah menutup aurat 2) Percakapan yang tidak menghairahkan (boleh menaikkan syahwat dan lucah) 3) Pergaulan di tempat terbuka (bukan di tempat yang sunyi dan mencurigakan) 4) Tujuan pergaulan yang diharuskan oleh syarak seperti urusan jual beli, perubatan, pekerjaan dan seumpamanya.
3.Anak yatim ialah yang kematian bapa dan masih di bawah umur baligh tidak mengira sama ada ibunya berkahwin lain ataupun tidak. Zakat adalah wajib diagihkan kepada 8 golongan sahaja seperti berikut: 1) Golongan fakir 2) Golongan miskin 3) Para amil (pengurus zakat) 4) Golongan muallaf 5) Hamba yang hendak merdekakan diri 6) Orang berhutang 7) Berjuang pada jalan Allah 8) Orang musafir di jalan Allah yang putus belanja Anak yatim tidak termasuk dalam golongan tersebut dan tidak berhak menerima wang zakat kecuali mereka tergolong dalam golongan-golongan tersebut di atas. Sekiranya bapa tiri itu dari golongan berada maka ia wajib memberi nafkah kepada anak tiri tersebut dan anak tiri tidak berhak menerima wang zakat.

4.Peniagaan adalah diharuskan dalam Islam dengan syarat-syarat seperti berikut: 1) Tidak mengandungi unsur riba 2) Tidak mengandungi unsur penipuan 3) Tiada paksaan antara satu sama lain 4) Barangan yang diniagakan itu adalah halal Jika sesuatu perniagaan itu mengandungi ciri-ciri seperti di atas maka ia adalah harus.
5.Bulan Muharram adalah bermulanya tahun baru Hijri bagi umat Islam. Tidak ada sebarang nas al-Quran dan al-Sunnah yang menunjukkan larangan melakukan sesuatu yang baik dalam bulan Muharram seperti berpindah rumah, yang dilarang ialah berperang atau melakukan sebarang keganasan atau permusuhan terhadap orang lain terutamanya terhadap umat Islam. Walau pun tiada masa dan hari yang ditentukan untuk berpindah rumah, panel mencadangkan supaya saudara berpindah pada hari jumaat supaya mendapat keberkatan pada hari tersebut kerana pada hari itu merupakan penghulu bagi semua hari.

6.Islam menyuruh ummatnya berkahwin. Ia merupakan Sunnah Nabi s.a.w.Walaubagaimanapun berkahwin secara kontrak adalah menyalahi ajaran Islam, kerana perkahwinan seumpama ini adalah mengikut tempoh tertentu sahaja.Ia boleh memberi kesan negatif kepada kaum wanita kerana si suami akan meninggalkan si isteri selepas tamat tempoh perkahwinan tersebut, sedangkan dalam Islam si suami bertanggungjawab ke atas isteri dan ahli keluarga selagi hayat dikandung badan atau sebelum berlaku perceraian.
7.Pada masa sekarang memanglah golongan muda mudi dirundung keruntuhan akhlak kerana keghairahan bergaul tanpa batasan kerana kekurangan maklumat agama seperti hukum hakam (halal haram, dosa pahala, suruhan larangan dan seumpamanya ). Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Aku wariskan kepada kamu 2 perkara jika kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu al-Quran dan al-Hadis". Islam menuntut supaya mengikut ulama' muktabar. Seseorang itu hendaklah berusaha untuk mencari segala kebaikan dan melaksanakannya setiap masa di mana jua. Selaras dengan perintah Allah SWT supaya sentiasa mengingatinya dalam keadaan berdiri, duduk dan baring.

8.Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke 37 pada 23 Mac 1995 membuat keputusan seperti berikut: "Merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan".
9.Perbuatan seks adalah naluri fitrah manusia yang timbul daripada nafsu yang boleh menjadi ibadat apabila dilakukan dengan cara yang ditetapkan oleh syarak seperti antara suami isteri.

10.Pada asasnya memasuki panggung wayang dibolehkan dengan syarat : - Tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan. - Filem yang tidak mengandungi unsur-unsur kemaksiatan dan tahyul yang boleh bawa kesyirikan. - Tidak mengabaikan solat lima waktu - Tidak mengabaikan tanggungjawab Walau bagaimanapun memasuki panggung wayang dengan tujuan menjalankan tugas adalah diharuskan.
11.Beronani itu adalah haram, sekiranya bujang hendaklah segera berkahwin serta memperbanyakkan puasa sunat, melakukan kerja yang manfaat, mengelakkan dari menonton dan membaca bahan-bahan yang boleh menaikkan syahwat.

12.Dibolehkan sekiranya tidak mendedahkan aurat kepada bukan muhrim dan niat untuk kesihatan bagi menyempurnakan ibadah
13.Dalam Islam dituntut supaya ibubapa menamakan anak-anak mereka dengan nama yang baik-baik, kerana nama ini akan dipanggil di akhirat kelak.Oleh itu Panel menasihatkan saudari agar menamakan anak dengan nama-nama nabi, para sahabat nabi dan sebagainya.Saudari boleh membeli buku nama-nama anak yang dijual di pasaran.

14.Perkara baik dan buruk adalah datang daripada Allah SWT. Setiap musibah yang menimpa seseorang hendaklah diterima dengan reda dan ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Mengenai kejadian yang menimpa teman lelaki saudari dan anak saudaranya itu merupakan takdir Allah SWT. Kakak ipar teman lelaki saudari seharusnya menerima apa yang berlaku itu dengan reda dan tidak boleh menyalahkan sesiapa. Di samping itu perbuatan mengugut dan menghina orang lain dilarang dalam Islam. Saudari juga boleh mengambil peranan berjumpa dengan kakak ipar teman lelaki saudari dengan memberi nasihat yang sebaik-baiknya. Tetapi jika nasihat tersebut tidak diendahkan saudari perlu mencadagkan kepada kakak ipar agar berjumpa dengan pakar kaunselor yang bertauliah yang boleh membantu.
15.Kesedaran tuan untuk berubah ke landasan yang betul adalah satu perkara yang baik. Walau bagaimana pun sebagai hamba Allah tidak sunyi daripada salah dan silap. Justeru itu, Panel menasihatkan supaya saudara bertaubat dan berniat dengan sepenuh hati ingin berubah daripada terjerumus dalam melakukan maksiat yang berterusan. Dalam hal ini, kita tidak dapat menafikan bahawa perubahan itu memerlukan masa berperingkat-peringkat dan sukar untuk berubah dengan serta merta atau secara mendadak. Oleh itu, usaha untuk memperbaiki dari masa ke masa merupakan suatu usaha ke arah penambahbaikan. Semoga hasrat tuan untuk berubah ke arah yang diingini mendapat kejayaan. Panel berdoakan semoga tuan memperolehi apa yang dihajati dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Perbanyakkan membaca Al-Quran, menghadiri majlis ilmu di masjid yang dianjurkan oleh pihak berkuasa agama dan cuba mengawal diri daripada melakukan perbuatan terkutuk itu secara berterusan.

16.Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa merokok adalah haram.

(Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM)

No comments: