Wednesday, June 17, 2009

NAJIB TUN RAZAK:


Tingkat kualiti pendidikan


Najib Tun Razak diiringi Muhyiddin Yassin berjalan keluar dari dewan persidangan sejurus selepas merasmikan persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel Ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam. Turut kelihatan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. – UTUSAN / Mohd. Farizwan Hasbullah


KUALA LUMPUR 16 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kualiti sistem pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke institusi pengajian tinggi di negara anggota Komanwel dipertingkatkan supaya sejajar dengan era globalisasi.

Perdana Menteri berkata, hanya melalui sistem pendidikan berkualiti akan membolehkan pelajar yang akhirnya menjadi tenaga kerja bagi sesebuah negara bersaing terutama dalam konteks ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi).

Beliau berkata, semua pihak harus sedar bahawa dalam zaman dunia tanpa sempadan, tahap pembelajaran di kebanyakan negara di dunia ini semakin tinggi.

Menurutnya, keadaan itu menuntut pendekatan dan kaedah pengajaran perlu lebih terkini.

‘‘Mahu tidak mahu kita harus menggunakan pelbagai kaedah termasuk penggunaan teknologi yang lebih canggih dalam sistem pembelajaran kerana saya percaya ia mampu melahirkan tenaga kerja yang boleh menggunakan sumber pengetahuan untuk majukan ekonomi.

‘‘Namun, tidak dinafikan kualiti sistem pembelajaran amat berkait rapat dengan kedudukan ekonomi sesebuah negara dan inilah salah satu cabaran yang dihadapi oleh negara-negara anggota apabila kita sekarang berhadapan dengan krisis ekonomi global,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Komanwel ke-17 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut mengenai krisis ekonomi global, Najib meminta persidangan tersebut mencari jalan terbaik untuk memastikan para pelajar di negara-negara anggota terus mendapat pendidikan terbaik walaupun berlaku krisis tersebut.

‘‘Langkah untuk menghadapi krisis ekonomi bukan hanya setakat mengurangkan perbelanjaan untuk pendidikan, tetapi kita perlu mempertimbangkan kaedah-kaedah lain supaya peluang pendidikan yang berkualiti dalam kalangan wanita, kanak-kanak dan generasi muda tidak terjejas,’’ katanya.

Beliau turut meminta persidangan tersebut mewujudkan sekumpulan tenaga mahir bagi membantu negara-negara anggota mencapai Sasaran Pembangunan Alaf (MDG) dan pendidikan untuk semua sasaran.

‘‘Pada persidangan kali ini, kita telah meletakkan objektif untuk mencapai dua matlamat iaitu MDG serta pendidikan untuk semua sasaran. Tujuannya ialah untuk memastikan tiada lagi anak kita ketinggalan dalam bidang pendidikan.

‘‘Ia juga sejajar dengan tema persidangan iaitu ‘Pendidikan di negara Komanwel: Kehadapan dan menjangkau tujuan dan sasaran global’ dan apa yang penting tema ini jelas menunjukkan komitmen kita untuk mencapai kedua-dua matlamat ini iaitu menjelang tahun 2015,’’ ujarnya.

(Berita ini diambil dari Utusan Online, 17 Jun 2009)


No comments: