Mokhtar Petah
Semenjak tragedi 13 Mei 1969, wartawan-wartawan dalam kumpulan akhbar New Straits Times yang terdiri dari bukan orang Melayu telah enggan atau takut menulis berita-berita mengenai hal ehwal orang Melayu, seperti politik, kemasyarakan, agama Islam dan seumpamanya.
Hanry Paul telah meminta aku meliput dan menulis berita-berita berkenaan di seluruh Negeri Perak. Pada masa itu Samad Ismail bertanggungjawab sebagai Ketua Pengarang Berita Harian, A.Samad Said dan Semani Mohd.Amin di bahagian editorial.
Pada masa itu belum ada komputer dan internet. Semua berita dikirim dari pejabat New Straits Times Ipoh ke pejabat The New Straits Times, di Kuala Lumpur dengan menggunakan teleprinter dari Telekom. Kerana waktu penggunaan itu diagihkan dengan Club Lumba Kuda Ipoh, maka waktu mengirim berita dihadkan, iaitu kira-kira sejam untuk The New Straits Times dan sejam lagi untuk digunakan oleh Kelab Lumba Kuda Ipoh.
Gambar –gambar yang perlu disiarkan segera, dikirim dengan teksi sewa khas dari Ipoh ke pejabat The New Straits Times, di Jalan Rion, Bangsar, Kuala Lumpur.
Setelah Indonesia – Malaysia mencantum semula seperti, ’biduk lalu kiambang bertaut’, aku tidak lagi mengirim berita-berita kepada Institusi Pengajian Tinggi, di Singapura. Hubunganku dengan pensyarah tersebut terputus begitu sahaja.
Hanya pada waktu aku menelefon kepada rakanku, Adam Malik, Wakil Presiden Republik Indonesia (1978 – 1983), di pejabat Presiden Republik Indonesia, di Jakarta, bulan Mei 1980 kerana membantu seorang peniaga yang bermasalah pembalakan, di Balik Papan, Indonesia, dia telah mengucap terima kasih kepadaku kerana aku telah membantu pihaknya.
Pada masa konfrantsi Republik Indonesia terhadap Malaysia, Adam Malik telah memegang jawatan Menteri Luar negara republik tersebut. Dia telah memegang jawatan Wakil Presiden menggantikan Sri Sultan Hamengkubuana yang telah memegang jawatan itu dari 1973 hgga 1978.
Walaupun aku tidak menyertai Persatuan Wartawan, tetapi pada masa itu, hampir semua wartawan akhbar berbagai bahasa, telah menerimaku sebagai ketua mereka, terutama dalam menjalankan tugas untuk mendapatkan berita dari pihak istana Sultan Perak, Kerajaan Negeri Perak, UMNO dan kalangan pemimpin orang Melayu.
Mereka memandangku demikian, kerana akulah sahaja wartawan yang bergaul dengan Sultan Perak, kalangan istana, Menteri Besar, ahli-ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat, pegawai-pgawai tinggi Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan golongan orang-orang politik dan para pemimpin masyarakat Melayu.
Misalnya, kalau mereka memerlukan kenyataan atau comment dan sebagainya dari Sultan Perak, Menteri Besar dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan, mereka terpaksa membuat temu janji dan seumpamanya, tetapi aku tidak demikian, aku terus mendailkan telefon atau terus mengadap Sultan di istana, Menteri Besar di pejabatnya atau di kediamannya.
Ada satu peristiwa kecil – beritanya menarik - , pada satu hari aku telah menerima panggilan melalui telefon dari seorang rakanku dan rakan Rashid Maidin, iaitu Allahyarham Shaharuddin,”...datang segera ke Gopeng, ...rumah mak Suri Nandih...,Rashid Maidin balik.”
Aku telah pergi ke rumah ibu Rashid Maidin, Allahyarhamha Suri binti Nandih, di Gunung Misah, Gopeng. Sebaik-baik sahaja aku tiba, aku jadi terpegun dan sedih kerana mak Suri Nandih telah meninggal dunia. Jenazah sedang terbujur di tengah rumahnya. Aku nampak, di antara orang-orang yang sedang membaca ayat-ayat Quran dekat jenazah itu, iaitu seorang lelaki telah berumur sedang membaca Quran di sisi mayat jenazah tersebut.
Aku mulai cam lelaki itu, tetapi entah mengapa aku seperti terpukau melihatnya. Aku telah duduk dan membaca surah Yasin bersama orang-orang lelaki di situ yang jaraknya kira-kira lima meter dari lelaki itu. Apabila aku selesai membaca surat Yasin, aku mendapati lelaki itu telah tiada lagi di sisi jenazah itu. Sebaik-baik aku selesai membaca surah Yasin, aku bergegas turun turun dari rumah itu dan hatiku bertanya,”...diakah Rashid Maidin?”.
Sambil turun dari rumah itu aku merenung ke jalan raya yang jaraknya dari rumah itu kira-kira tiga ratus meter. Atas jalan raya sebuah lori kecil, membawa buah-buah pisang muda baru bergerak, ke arah pekan Gopeng.
Selesai memakai kasut di kaki tangga itu aku telah berjalan ke arah beberapa orang lelaki sedang duduk atas bangku panjang tepi halaman tumah itu. Di antara mereka itu ,ialah dua orang rakanku, Allahyarham Shaharuddin dan Allahyarham Mustafa Hussein1. Allahyarham Shaharuddin telah berbisik ke telinga kananku, ”...dia (Rashid Maidin) datang tadi, sempat baca Yasin, ...dah pergi dengan lori pisang.”
Aku telah duduk dekat mereka dan meneguk secawan air kopi ’o’ yang telah disediakan di situ. Kira-kira setengah jam kemudian, dua buah Land Rover membawa sepasukan anggota-anggota polis telah masuk ke halaman rumah itu. Mereka itu lengkap dengan senjata yang pada bila-bila masa sahaja akan memuntahkan pelurunya. Beberapa orang dari mereka telah naik ke rumah tempat jenazah Suri Nandih sedang terbujur dan anggota-anggota polis yang lain telah berkawal di sekitar kawasan rumah itu.
”Nampaknya, Rashid lebih pandai dari polis...,” bisik Mustafa Hussein.
Pada ketika itu aku kagum terhadap kesetiaan dan kasih seorang anak kepada ibunya, walau dalam keadaan yang membahayakan dirinya – kemungkinan peluru-peluru api akan menembusi tubuhnya - , namun dia datang juga mengadap jenazah ibunya.
Setelah melarikan diri dari khemah tahanan Tanjung Berus, Melaka, Rashid Maidin telah menyertai Tentera Pembebsan Bangsa Melayu ke – 10, di negeri Pahang yang bermarkas dalam rimba di daerah Temerloh.
’Dalam tahun 1950 itulah Tentera Pembebasan Bangsa Melayu di negeri Pahang telah menubuhkan semula pasukan Askar Melayu Ke – 10 di negeri itu. Pada masa itulah juga Chin Peng telah membawa anggota-anggot Komunis lebih kurang seramai dua ribu orang dari negeri Perak telah memerintahkan orang-orangnya memujuk orang-orang Melayu di daerah Temerloh yang luas itu untuk menyebelahi pihak Komunis, membenci British dan Kerajaan Tanah Melayu supya bangkit memberontak. Pejuang-pejuang Melayu yang dahulunya menentang British di Malaya sekarang telahh dibawa masuk oleh Chin Peng ke negeri Pahang menjadi pemimpin askar Melayu Ke-10 cawangan Tentera Pembebasan Bangsa Melayu di negeri itu, iaitu seperti Abdullah C.D., Musa Ahmad, Manap Jepun dan Shamsiah Pakeh. Orang-orang Melayu lain yang disifatkan sebagai pemimpin pengganas di negeri Pahang itu ialah Wan Ali, Wahi Anuar dan Budin bin Chok.
Pejuang Melayu yang menyebelahi Parti Komunis Malaya itu bertujuan hendak menghalau British dari Semenanjung Tanah Melayu dengan jalan berbaik-baik dengan Parti Komunis Malaya yang mempunyai askar dan senjata yang banyak itu, seperti kata mereka, ” Kalau hendak memburu harimau mestilah ada anjing pemburu yang garang!”2
Kira-kira setahun sebelum kejadian itu, aku telah bertemu dengan isteri dan anak-anak lelaki Rashid Maidin, di rumah mereka, di Sungai Itik, Gopeng. Sebatang paip air yang besar dan memanjang dari loji air di bukit hulu Sungai Itik ke kawasan luar, telah memisahkan rumah mereka dengan jalana raya. Untuk pergi ke rumah mereka itu terpaksa memanjat dan turun tangga yang tersandar pada batang paip itu.
Kira-kira satu jam aku telah berbual dengan isteri dan anak-anak Rashid. Semenjak hari itu aku yakin Rashid Maidin telah curi-curi pulang ke rumah keluarganya. Keyakinanku dikuatkan dengan perhatianku kepada isterinya. Perempuan itu tidak kelihatan seperti orang sedang sedih, rindu dan susah hati kerana telah lama ditinggalkan oleh suaminya.
Pada Waktu itu kira-kira penghujung Jun 1948. darurat telah diisytiharkan, tapi saya sendiri pun tak terbayang begitu cepatnya darurat diisytiharkan dan begitu kejamnya tindakan penjajah British. Isteri saya yang ketika itu sedang sakit merasa sesuatu perkara yang tak diingini akan berlaku ke atas saya.
Utusan yang ditunggu-tunggu tidak kunjung datang, tetapi yang datang ialah satu seksyen polis yang dipandu oleh seorang intelijen Melayu dengan membawa surat saman untuk mengiring saya ke balai polis. Sebelum meninggalkan rumah. saya memberitahu isteri dan membariskan anak-anak saya (tiga orang) lalu mencium mereka. Saya berjanji dengan mereka, ”Esok ayah akan pulang.” Saya turun tangga di dalam tangisan anak-anak. Isteri saya pula menangis di dalam selimut. Itulah saat-saat terakhir saya bersama anak isteri.
Saya ditangkap atas tuduhan seorang komunis. Mula-mula ditahan di lokap Teluk Anson sekarang Teluk Intan) kemudian dibawa pula ke penjara Taiping. Saya digari dengan seorang pemuda Tionghua yang tidak dikenali. Kami dibawa naik keretapi. Kebetulan pada masa itu saya terserempak dengan Aminuddin Baki3 yang dalam perjalanan balik ke Chemor dari persekolahannya di Singapura. Saya nampak dia jadi serba salah dan gelabah. ”Bung Rashid kena tangkap?” Dia berkata sambil mengggeleng-gelengkan kepala. Seterusnya dia menyambung kata’ ”Bong jangan bimbang, mesti teguh, jangan goyang.” Saya menjawab, ”Tak goyang.”
Sebelum berpisah kami bersalaman. Dia memberikan sebuah majalah Inggeris yang sedang dibacanya serta wang seringgit. Saya menolak, tetapi dia menyatakan mungkin ada gunanya.’4
Tidak bertujuan mengangkat diri, tetapi pada masa itu akulah wartawan yang terkemuka di negeri Perak – ramai orang yang suka dan ramai pula yang benci - , setiap orang diseluruh negeri Perak yang berkecimpung dalam arena politik dan kemasyarakatan sentiasa membaca dan suka memabaca surat akhbar dan buku-buku, kalau tidak kenal akan diriku, tentu mereka mengetahui namaku juga.
Kerana banyak tulisanku terutama berita yang bersifat ekselusif atau kontroversi dan menimbulkan perbincangan di kalangan orang ramai di negeri Perak, maka pada satu hari, Pengarah Urusan Syarikat Utusan Melayu, Allahyarham Dato’ Hussein bin Nordin5 telah menawarkan kepadaku untuk bekerja dalam syarikat itu sebagi wartawan. Kerana sebab-sebab tertentu aku telah tidak dapat menerima tawarannya itu.
Kira-kira sebulan kemudian, kebetulan aku sedang bercakap dengan Sultan Idris Shah di Istana Fairuz, Ipoh, Hussein Nordin telah datang mengadap Baginda. Pada waktu itu juga dia telah mengadu kepada Sultan Idris Shah mengenai aku telah menolak tawarannya untuk bekerja sebagai wartawan dalam syarikatnya.
”Mokhtar Petah ni Tuanku, nyombong, patik taworkan dia keghja journalist dalam Utusan Melayu, tak siornye...,”Hussein Nordin mengadu.
”...dia, dia, you tawor, ... takkan siornye, ...dia nak bebas,...tak boleh dikongkong...,” titah Sultan Idris.
1 Bekas pensyarah Kolej Pertanian Serdang, rakan Rashid Maidin pada masa mereka
sama-sama dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Mustafa agen sebuah syarikat
insuran, dia sering datang menemuiku di Ipoh. Kami sering makan nasi kandar
di restoran depan stesen bas Tanjung Rambutan di Pekan Baru, Ipoh.
2 Haji Buyong Adil, 1984, Sejarah Pahang, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,
hl:432, 433.
3 Subki Abdul Latif, 2-15 Disember 2005, Mingguan Siasah – ‘Aminuddin Baki dalam GPMS’,
Kuala Lumpur, hlm. 4.
4 Rashid Maidin, 2005 Memoir Rashid Maidin, Petaling Jaya, Strategic Information Development
(SIRD), hlm.38, 39.
5 Keturunan Orang Besar-Besar Negeri Perak, Dato’ Setia, dan bekas ahli Dewan Rakyat (Parit)
(Sedutan dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment