Monday, June 22, 2009

NIK AZIZ MURSYIDUL 'AM PAS



Nik Aziz


Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Dun Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah menegaskan poster Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mempunyai nilai komersil yang tinggi bagi menarik pengundi.

Jelasnya, hanya poster Tok Guru Nik Aziz sahaja mempunyai nilai untuk menarik pengundi.

"Jadi dalam hal ini kita hanya menilai dari sudut komersil sebagai cara menarik pengundi di Manek Urai. Kita betul-betul eksploit gambar Tok Guru untuk pancing undi," katanya.

Wan Rahim mengakui Tuan Guru mempunyai tarikan tersendiri berdasarkan pengalaman dalam jentera parti sejak tahun 1982 semasa mencetak gambar Tuan Guru yang mengenakan serban di atas bahu.

Misalnya di Manek Urai, Wan Rahim terkejut apabila ada seorang imam di masjid Mukim Manek Urai menganggap seolah-olah mendapat pahala apabila memandang poster Tuan Guru Nik Aziz.

"Inilah bukti gambar Tok Guru mempunyai nilai yang tinggi di kalangan rakyat beliau," katanya ketika dihubungi.

(Dari Harakan Daily, 20 Jun 2009)

...................................................................................................................................................................

Nik Aziz mahu kerajaan perpaduan ikut saluran

Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my

KOTA BHARU: Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini ‘berkeras’ menentang penubuhan kerajaan perpaduan, semalam menyatakan persetujuannya terhadap cadangan itu, tetapi mahu ia dibuat mengikut saluran yang betul.

Mursyidul Am Pas itu berkata, semua usaha ke arah cadangan pembentukan kerajaan perpaduan terbabit mesti dibawa dalam perbincangan parti pada peringkat Pusat terlebih dulu sebelum dibahaskan pada peringkat negeri.

“Kalau nak (bentuk kerajaan perpaduan), bawa dulu kepada Pas Pusat kemudian bahas pada peringkat negeri dan bawa kepada Pakatan (Rakyat).

“Saya setuju tapi kena ikut saluran ini, tak boleh kita ketepikan keputusan mesyuarat dengan pandai-pandai seorang saja,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan sebelum ini tegas menolak cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dilontarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta lantang mempertikaikan pihak yang menyokong itu.

Malah, beliau mendesak Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok jika terus menyokong idea penubuhan kerajaan perpaduan kerana mendakwa ia bertentangan dengan ketetapan yang dibuat dalam Muktamar Pas sebelum ini.

Nik Abdul Aziz juga turut menafikan beliau bersikap degil kerana menolak cadangan rundingan penubuhan kerajaan perpaduan selama ini, sebaliknya mendakwa keputusannya itu sebagai istiqamah dan beliau tegas memperjuangkan perkara yang benar.

“Ada yang kata saya degil kerana tidak mahu menerima kerajaan perpaduan. Hari ini saya nak jawab bahawa saya bukan berdegil tetapi beristiqamah.

“Degil ertinya kita mempertahan barang (perkara) salah bermati-matian. Tahu perkara itu salah kita pertahan juga, itu degil namanya, tetapi bila kita pertahan benda yang hak atau betul, itu namanya istiqamah dan sikap itu dipuji Allah dalam al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, Mursyidul Am Pas itu menegaskan beliau tidak mahu terbabit dalam sebarang pertemuan atau rundingan dengan Umno berhubung isu cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada orang lain.

“Saya tidak mahu terbabit dengan Umno, biar dia (Umno) bercakap (berbincang) dengan orang lain, saya hendak jaga peraturan dalam parti saya. Jangan sampai Pas berpecah sesama sendiri, begitu juga hubungan dengan Pakatan, kerana akhirnya Umno akan bertepuk seronok,” katanya.

Beliau mendakwa serik untuk membentuk sebarang hubungan dengan Umno berdasarkan tindakan pemimpin parti itu yang kononnya secara terang menceroboh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

“Adakah perkara itu boleh dilupakan? Kalau berbuat demikian (dilupakan dengan mudah), tak perlu ada sejarah. Kalau orang bersalah, saya boleh maafkan tetapi biarlah mereka mengaku dulu kesalahan itu tetapi selama ini, Umno tidak pernah mengaku salah,” katanya.

Beliau turut mengesahkan akan bertemu dengan Nasharuddin hari ini bagi membincangkan isu berkaitan cadangan penubuhan kerajaan perpaduan.

(Berita ini daimbil dari Berita Harian Online , 21 Jun 2009)




No comments: