mokhtar petah
Sekitar tahun 1960 - an.
Dalam krisis politik di Negeri Perak, antara Shaari dengan Sulaiman Bulon, sama ada pihak Shaari mahupun pihak Sulaiman Bulon banyak bergantung kepadaku untuk mendapatkan publisiti dalam surat khabar. Berita Harian telah memberi tumpuan kepada krisis UMNO di negeri itu dan berbeda dengan surat khabar lain yang seolah-olah mehu menutup krisis yang berlaku.
Oleh kerana aku rapat dengan Tunku Abdul Rahman, maka Mohd. Said Abu Bakar orang-orangnya telah meminta aku menyertai satu rombongan yang terdiri dari ahli-ahli UMNO, termasuk anggota-anggota kaum ibu dari Kuala Kangsar untuk menemui Yang Dipertua Agung UMNO, Tunku Abdul Rahaman, di kediamannya di Kuala Lumpur.
Rombongan UMNO dari Kuala Kangsar itu, bertujuan untuk menyerahkan satu memoradum kepada Tunku Abdul Rahaman, supaya Ashaari diberhentikan dari jawatan Menteri Besar Perak dan diganti dengan Sulaiman Bulon.
Kami telah pergi ke kediaman Tunku Abdul Rahman dengan menumpang dua buah bas sewa khas. Dalam pertemuan kira-kira satu jam pada waktu malam dengan Tunku Abdul Rahaman itu, beliau telah memberitahu, yang beliau tidak dapat memberhentikan Ashaari dari Menteri Besar Perak, tetapi berjanji akan melantik Sulaiman Bulon untuk memegang jawatan Timbalan Menteri Besar negeri itu. Tunku telah meminta tempoh sementara dia berunding dengan Sultan Perak, Sultan Yusof Izzuddin Shah kerana dalam perlembagaan Negeri Perak, tidak termaktub jawatan Timbalan Menteri Besar.
Pada malam itu juga satu rombongan dari Hulu Perak telah berhimpun di halaman kediaman Tunku Abdul Rahman. Beberapa orang wakil mereka telah masuk menemui Tunku untuk menyampai surat yang mengandungi permemintaan Tunku supaya melantik Ahmad bin Said memegang jawatan Menteri Besar Perak menggantikan Ashaari Shafie.
Setelah bertemu dengan kami dan rombongan UMNO Lengong, Tunku berangkat masuk ke kereta rasminya kerana hendak pergi ke satu majlis jamuan. Sebaik-baik sahaja kererta rasmi Tunku bergerak atas halaman kediamannya, tiba-tiba orang yang dicadangkan akan mengganti tempat Shaari Shafie itu berbaring di hadapan kereta Tunku. Pemandu kereta Tunku terpaksa memberhentikan kereta yang sedang dipandunya dan Tunku telah keluar dari keretanya untuk memujuk orang itu. Tunku telah berjanji, apabila sampai masanya, beliau akan mengemukakan nama orang itu kepada Sultan Perak agar dilantik memegang jawatan Menteri Besar Perak.
Kira-kira sebulan kemudian, Suliman Bulon telah dilantik oleh Sultan Perak untuk memegang jawatan Timbalan Menteri Besar negeri itu. Jawatan itu hanya pada nama, kerana dalam perlembagaan negeri Perak tidak ada jawatan tertsebut. Timbalan Menteri Besar sama dengan taraf anggota Ahli Majlis Kerajaan (exco) kanan sahaja.
Kedudukan Sulaiman Bulon tidak selamat, kerana kumpulan UMNO Hulu Perak telah mendapat sokongan dari semua bahagian UMNO negeri itu. Apabila berlangsung pilihanraya 1969, Ahmad Said (Lenggong) telah dilantik oleh Sultan Perak. Almarhum Sultan Yusof Izzuddin Shah untuk memegang jawatan Menteri Besar Perak.
Dalam pilihanraya 1969 Sulaiman Bulon telah dipilih oleh Presiden UMNO untuk bertanding dalam kawasan Dewan Rakyat (Hili Perak) dan dia telah menang. Selepas itu dia telah dilantik memegang jawatan Timbalan Menteri Luar Bandar. Semenjak itu negeri Perak tidak wujud Timbalan Mentgeri Besar lagi.
Setelah krisis itu berakhir, aku telah menyanjung Samad Ismail kerana dia telah menolongku akan cara-cara untuk menimbulkan pergolakan dalam sesebuah organisasi dengan menggunakan media massa. Aku telah banyak memepelajari cara dia menulis, menyelit kata-kata dan anjuran dalam tulisannya.
Satu tindakan Samad Ismail1 yang tidak dapat aku melupakan, ialah mengenai aku dengan Syed Jaafar Albar yang pada masa itu Setiausaha Agung UMNO. Pada satu hari Syed Jaafar Albar yang mewakili ibu pejabat UMNO telah datang ke Ipoh untuk menyelesaikan krisis UMNO negeri Perak. Sebaik-baik sahaja dia meninggalkan tempat pertemuan tertutup dengan para perwakilan dari bahagian-bahagian UMNO negeri itu, aku telah menemu ramahnya secara ekselusif di Station Hotel Ipoh.
Oleh kerana Syed Jaafar Albar telah bersahabat denganku semenjak tahun 1955 lagi, maka dalam temubual itu, dia telah tidak menyembunyikan segala butiran dalam pertemuannya dengan wakil-wakil semua bahagian di negeri Perak itu. Pendeknya dia telah meluahkan semuanya kepadaku. Tetapi dia sering mengingatkan aku mengenai percakapannya itu dengan ’on the record’ (boleh disiarkan) dan ’off the record’(tidak boleh disiarkan).
Setelah selesai pertemuanku dengan Syed Jaafar Albar, aku telah menelefon kepada Samad Ismail meberitahunya yang aku telah menemubual Setiausaha Agung UMNO itu. Dia telah menyuruhku datang segera ke pejabat Berita Harian, di Jalan Pudu, Kuala Lumpur. Aku telah tiba di pejabat Berita Harian pada petang itu dengan menumpang teksi Ipoh-Kuala Lumpur. Setibanya aku di pejabat Berita Harian, Samad Ismail telah menyuruh aku membaca catatan percakapan Syed Jaafar Albar. Dia telah menyuruh aku menggunakan percakapan ’off the record’ Syed Jaafar Albar sebagai berita penting. Manakala percakapan’ On the record’, telah diketepikan. Berita itu telah disiarkan pada muka hadapan Berita Harian keluar asok pagi.
Sambil menulis berita itu di hadapan Samad Ismail, aku telah berfikir; dia rapat dengan pemimpin-pemimpin UMNO, tetapi mengapa dia menghendaki aku menulis berita yang akan merumitkan lagi masalah menyelesaikan krisis dalam UMNO negeri Perak. Aku telah menaruh suatu sangkaan terhadapnya.
Pada esoknya, kira-kira jam 9.00 pagi, Syed Jaafar Albar yang berada di Baling, Kedah, telah menelefon kepada Samad Ismail. Dia telah memberitahu Samad Ismail yang aku telah menyiarkan caka-cakapnya yang tidak boleh disiarkan. Dia kesal kerana Samad Ismail telah menyiarkan berita itu. Berita tersebut akan menambah buruk lagi krisis di kalangan UMNO negeri Perak, tetapi Samad Ismail telah menepis, kononnya dia tidak tahu hal itu, ”...Mokhtar Petah yang tulis berita itu...,”kata Samad Ismail.
Samad Ismail berkata kepadaku kemudiannya, ” ...biarkan UMNO Perak itu berkrisis..., kita orang surat khabar nakkan news....”.
Kata-kata wartawan terkenal di Indonesia, Mochtar Lubis kepadaku, bahawa siapa sahaja pemimpin negara di dunia ini, dia adalah bahan perniagaan bagi industri media. Ertinya industri media mendapat keuntungan dari bangun dan jatuh seseorng pemimpin, semua ucapan mereka sama ada baik atau tidak baik menjadi bahan perniagaan juga.
Seminggu kemudian, pada waktu aku bertemu dengan Syed Jaafar Albar, dia ketawa terbahak-bahak, kerana berita itu telah menjadi ubat kepada penyakit dalam UMNO negeri Perak.
Dalam pergaulanku dengan Samad Ismail, aku mendapati dia seorang yang ada prinsif dalam hidupnya. Kerana dia seorang wartawan, seperti juga wartawan-wartawan lainn di seluruh dunia; dia sering menimbulkan perasaan kacau atau bercelaru dalam minda orang ramai dengan penanya.
Aku menyanjungi Samad Ismail sebagai seorang wartawan, politikus, intelektual tidak menganut sebarang isme atau fahaman, lebih-lebih komunisme seperti yang ditohmahkan terhadap dirinya oleh pihak-pihak tertentu pada beberapa tahun lalu. (Disedut dari buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah - belum terbit)
* Jika anda bercita - cita menjadi penulis yang berani, produktif dan mahu merobah dunia dengan tulisan anda, hubungi saya: mokhtarpetah@hotmail.com.
No comments:
Post a Comment