Sunday, November 28, 2010

KISAH DARI NOVEL


TULANG TEMULANG DADA


Rimba raya dan gunung ganang berkemilauan indah dalam cahaya matahari pagi. Udara bertiup dingin. Nyaman. Unggas-unggas berterbangan ke sana kemari, bagaikan berpesta pada pagi itu. Bunyi siamang, kera, lotong, kakah, beruk dan tupai kerawak bersahut- sahutan dengan bunyi kijang jantan membiang, kuang mengigal dan belatuk mengasah paruh pada batang kayu mati.
Pada pagi itu Azmi telah berada dalam rimba banat tempat dia sering mencari madu lebah. Azmi berdiri di bawah gunung batu di situ. Sepasang bola matanya dicampakkan ke seluruh permukaan rimba raya, bukit bukau dan gunung ganang dalam kabus putih.
Pakaian yang membungkus tubuh Azmi tidak seperti pakaian yang biasa dipakainya untuk mencari madu lebah biasa. Azmi memakai kemeja berlengan panjang warna biru tua dan seluar kain khaki warna kelabu. Sepasang kasut kembes warna hitam tersarung pada sepasang kakinya.
Bujam yang dibawanya berisi sehelai baju Melayu potongan Teluk Belanga, sehelai kain sarung dan sebiji ketayap putih. Di bawah pakaian itu terletak dompetnya yang berisi kad pengenalannya dan wang kertas sebanyak lima ratus ringgit. Dua ratus ringgit lagi wangnya dalam saku seluarnya.
Azmi sedang menunggu seseorang di situ. Dua ulas bibirnya kumat kamat seperti orang sedang membaca mentera. Suara dia membaca ayat-ayat Quran melimpah keluar dari celah dua bibirnya.
Tiba-tiba entah muncul lima orang lelaki di hadapannya. Pakaian mereka seperti pakaian ulama, ahli sufi dan mujahid Taliban. Jubah dan serban putih dan kaki masing-masing dalam kasut kembes warna hitam. Mereka berdiri di hadapan Azmi dan mengucap salam kepadanya. Azmi membalas ucapan salam mereka.
”Silakan,”kata seorang lelaki dari yang lima.
”Baik,”sahut Azmi.
Mereka mengiringi Azmi berjalan masuk ke bawah gunung batu itu yang keadaannya seperti ruang perut gua yang luas. Mereka berjalan laju, mungkin sepantas istana Maharani Balqis, di Saba, yang diterbangkan kepada Nabi Sulaiman,’...aku sanggup membawanya (istana) kepada kamu dalam sekelip mata...’, seperti yang difirmankan Tuhan dalam wahyu-Nya.
Azmi telah berada dalam sebuah negeri yang Indah. Negeri itu terletak di pinggir laut luas terbentang. Penduduk-penduduk menyembah batu-baju pejal yang mereka tempa sendiri seperti batu-batu berhala yang dipahat oleh bapa Nabi Ibrahim, ’Patung apakah, yang selalu kamu setabah? Kami dapati bapa-bapa kami menyembahnya. Sesungguhnya kamu dan bapa-bapa kamu dalam sesat yang terang.”
”Entah-berentah, nama negeri ini,”seorang lelaki dari yang lima memberitahu Azmi.
”Apa maknanya, macam saya pernah mendengar nama itu?”Tanya Azmi
“Maaf, Tuan, kami tak tau...,”seorang lelaki dari yang lima menjawab.
Atas jalan tidak berturap, sebuah pedati berkuda dua sedang menunggu. Lelaki berlima menjemput Azmi menaiki pedati itu. Azami teringat akan pedati yang pernah ditumpangnya, di Minangkabau pada empat tahun lalu. Lima lelaki itu mengikuti Azmi menaiki pedati tersebut.
”Kita hendak ke mana ...?” Gembala kuda bertanya.
”Keliling-keliling kota,”jawab seorang lelaki dari yang lima.
”Baik...,”sahut gembala.
”Kuda-kuda ini saudara ternak di mana?” seorang lelaki dari yang lima bertanya kepada gembala.
”Saya ternak di ladang bawah gunung sana, pedati ini milik kawan saya,
Suran Kenbayat...,”jawab gembala.
”Ooo, jadi saudara ini gembala kudalah,”lelaki lain dari yang lima berkata.
”Ia, gembala kuda...,”sahut gembala.
Pedati berlari kencang. Lima lelaki berbisik zikir nama Allah. Azmi melihat ke sekitar kiri kanan jalan yang mereka lalui. Rumah-rumah berbagai bentuk. Ada yang baru dan ada yang telah lama dan di makan usia. Semua rumah itu dibina dengan keping-keping tanah liat merah dan kelabu seperti bata.
Azmi melihat orang-orang lelaki dan perempuan yang berjalan hilir mudik atas jalan itu dan yang berdiri di tepi jalan, di bawah pepohon, di halaman semua rumah di sepanjang jalan itu berkeadaan kurus kering.
Mereka memiliki puntung-puntung betis kering membesi seperti tiang bendera. Tulang-tulang dada bagaikan lantai buluh dangau dalam huma. Kepala dan dahi masing-masing kering laksana batu nisan di padang pasir.
”Semua orang di sini susah..., menderita..., ibarat hidup menggigit tulang, dagingnya orang lain yang makan...,” lelaki dari yang lima memberitahu Azmi.
”...kena apa begitu?”Azmi bertanya.
”Apa boleh buat, raja, menteri , semua orang berkuasa, tak ada hati perut...,”jawab lelaki dari yang lima.
”Begitu, ...tak adillah tu,”kata Azmi.
”...ia, tak adil, semua yang ada dalam bumi, dalam air, dalam udara jadi milik raja, menteri, orang berkuasa...,” terang lelaki dari yang lima.
”...di sana tu, Istanake, cantik nampaknya?,”Azmi bertanya dan dua biji matanya terhumban ke sana.
”Itu Istana raja negeri ini, Maharaja Wangsa dewa,” gembala kuda menjawab.
”Oh, cantik sungguh,”kata Azmi.
”...ia, Istana raja, ...cantiklah, tapi rakyat, tengoklah..., kurus kering macam bangau tengah sawah,...biji mata lebih besar dari kepala...,”sahut gembala kuda.
Pedati berlari kencang lagi. Lelaki yang lima ghalib berzikir. Pada ketika mereka tiba di suatu kawasan lapang, gembala kuda memberhentikan kuda-kudanya dan pedati terhenti kaku. Ramai lelaki dan perempuan yang kurus kering berhimpun di situ. Mereka itu seperti dalam satu temasya.
“Kita turun di sini, kita tengok apa orang-orang itu buat,”kata gembala kuda.
Azmi bersama lima lelaki dan gembala kuda berdiri di bawah pokok rendang, tepi tanah lapang itu. Laskar-laskar Enah-berentah sedang berkawal dengan lembing-lembing berikat pita merah pada pangkal matanya. Semua mata lembing itu di halakan kepada lebih tiga puluh orang lelaki berjubah dan tangan mereka dipasung dengan rantai waja. Mereka itu sedang dipaksa berjalan ke tali gantung. Mereka itu akan digantung sampai mati.
” Mengapa mereka itu dipasung begitu?Azmi bertanya kepada gembala kuda.
“...mereka itu orang-orang tarekat, kena fitnah, jadi mangsa menteri perang, Duryudaha,”jawab gembala kuda.
Azmi merenung wajah gembala kuda yang sedang berpaling kepadanya.
”...dia dengan menteri pajak alam, Gangga widura dan panglima perang, Dusta raja,”kata gemabala kuda itu lagi.
”Mengapa,” Azami bertanya.
”... menteri perang itu nak jadi timbalan menteri perdana, tapi menteri perdana, Darma wangsa dengan persetujuan Maharaja Wangsa dewa tak mahu dia, lalu menteri perdana melantik Gangga sakti jadi timbalan menteri perdana,”jelas gembala kuda.
”Apa fasal pula pengamal-pengamal tarekat tu di fitnah?”Azmi bertanya.
” ...mereka nak jatuhkan timbalan menteri perdana itu, ...mereka tuduh pula orang-orang tarekat itu curi bedil, meriam, peluru dalam gudang raja,”jawab gembala kuda.
”...takkanlah orang-orang tarekat tu curi...,”kata Azmi.
”Ia, kita pun yakin begitulah, tapi...,”sahut lelaki dari yang lima.
”...sebenarnya yang curi senjata orang-orang Duryudaha, Gangga widura dan Dusta raja, mereka telah jual ke negeri musuh...,”jelas gembala kuda.
”Begitu..., jadi orang-orang tarekat tu, ...nayalah...,”kata Azami.
”Nayalah, kerana tiga sekawan itu, kuat, banyak duit, ...mereka tuduh saja, ...kenalah, ...orang tarekat mana ada duit, ...lagi pula siapa nak percaya cakap orang-orang kuat ibadat...,”sahut gembala pedati..
”Mereka tuduh orang-orang tarekat derhaka hendak menjatuhkan Maharaja Wangsa dewa, ...hendak berperang dengan Maharaja...,” kata lelaki dari yang lima.
”Duryudaha dan Gangga widura tak henti-henti nak jatuhkan timbalan menteri perdana Gangga sakti...,”kata gembala kuda.
”...ngapa pula?”Tanya Azmi.
”Banyak kerananya, ... mereka tak mau dia terus jadi menteri perdana, sebab dia tu lurus sangatnya, ”sambut gembala kuda.
”...zalim,”kata Azmi.
”Mana nak buatnya, di negeri Entah-berentah ini, yang zalim itu adil, yang jahat itu baik,...yang hitam putih, ...kata orang macam beraja di mata bersultan di hati...,”kata lelaki dari yang lima.
”Mari kita pergi, saya tak sanggup tengok orang-orang itu kena gantung,”kata Azmi.
Mereka meninggalkan kawasan lapang yang akan dipenuhi gema takbir orang-orang yang kena zalim itu. Mereka akan digantung sampai mati.
(Disedut dari manuskrip novel, Madu Dan Hidayat, oleh: Mokhtar Petah)

No comments: