Friday, November 12, 2010

KHUTBAH JUMAAT


KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah:

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH.

Kini kita berada pada 5 Zulhijjah. Bulan yang mulia lagi berkat ini merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertama dalam bulan ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Fajr ayat 1-3:

Demi waktu fajar Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah Dan bilangan yang genap serta yang ganjil.

Ibnu Kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah, manakala yang ganjil tersebut ialah hari Arafah. Sabda Rasulullah SAW:

Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hambaNya, daripada neraka lebih dari hari arafah.

(Riwayat Muslim)

Dan sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ke 3 dari surah al-Buruj:

bermaksud :

Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialahhari kiamat.

(Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya daripada Imam Ahmad RA meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda: “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah).Dan Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah.

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam di anjurkan pelbagai amalan antaranya:

Pertama: Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan, Kedua: Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah. Sabda Rasulullah SAW, ermaksud : Puasa pada hari arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.

(Riwayat Muslim)

Ketiga: Memperbanyakkan takbir dan berzikir. Imam al-Bukhari RA meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah RA selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz “Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu.

Keempat: Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Kelima: Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.

Keenam: Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu subuh hari raya dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zulhijjah.

Ketujuh: Disyari’atkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah amalan nabi Allah Ibrahim ‘AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Amalan paling agung pada bulan yang mulia ini ialah menunaikan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Perjalanan rohani ini merupakan satu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Ali 'Imran, ayat 97:

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Orang-orang yang menunaikan fardu haji adalah merupakan tetamu Allah SWT . Mereka sanggup berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah. Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji yang mabrur. Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

Syeikh Mustafa az-Zarqa’ dalam buku Fatwa Hukum Haji dan Kelebihannya ketika ditanya makna haji yang mabrur, menyatakan di antara ciri-ciri haji yang diterima ialah:

Hendaklah bagi mereka yang menunaikan haji tidak melampau-lampau di dalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah.

Banyak juga persoalan yang di timbulkan bahawa mereka yang memperolehi haji mabrur itu dikatakan akan mengalami peristiwa yang pelik antaranya tersesat di dalam perjalanan, hilang harta-benda, mendapat mimpi dan sebagainya. Sebenarnya ini adalah pandangan dan tanda-tanda yang tidak betul kerana ibadat haji seseorang itu diterima ataupun ditolak oleh Allah SWT dapat dilihat setelah beliau kembali dari menunaikan ibadat haji. Menurut al-Khawwas dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin bahawa:

Setelah mereka kembali dari mengerjakan ibadat haji, mereka berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW, mereka tidak akan mencebur diri di dalam dosa dan tidak memandang dirinya lebih tinggi daripada seorang hamba-hamba Allah SWT, tidak pula merebut-rebut untuk mendapat sesuatu daripada perkara dunia. Manakala tanda ibadat hajinya tidak di terima ialah bahawa mereka kembali semula kepada keadaanya sebelum mengerjakan haji.

Mengambil kesempatan khutbah pada minggu ini, mimbar ingin memaklumkan bahawa sebahagian dari rakyat di negara kita terutama di negeri Kedah dan Perlis sedang menghadapi bencana banjir yang mengakibatkan banyak kerosakan harta benda termasuk masjid dan surau. Sehubungan dengan itu sebagai tanda pengorbanan dan perihatin kita, marilah sama-sama kita menghulurkan sumbangan dan bantuan bagi meringankan beban yang dihadapi mereka ini. Sumbangan dan bantuan para muslimin sekalian bolehlah dihulurkan melalui pertubuhan atau NGO yang mengendalikannya atau melalui tabung-tabung masjid yang telah di sediakan pada hari ini.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru marilah sama-sama kita mengambil peluang keemasan pada bulan yang mulia ini dengan melakukan ibadat kepada Allah SWT. Ia satu keadaan di mana kita berpeluang untuk menebus dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Maka bulan yang mulia ini perlu dipelihara sebaik mungkin untuk mendekati diri kepada Allah SWT. Mimbar juga menyeru kepada semua bakal-bakal haji agar menjaga segala peraturan dan panduan demi mendapat keredaan Allah SWT. Apa yang penting mereka ini bukan sekadar membawa perubahan pada diri, tetapi juga mampu membawa perubahan kepada keluarga dan masyarakat.

Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini, mimbar menyeru marilah kita sama-sama melakukan puasa sunat hari Arafah iaitu pada hari Selasa 16hb November bersamaan 9 Zulhijjah yang mempunyai fadilat yang amat besar serta melaksanakan ibadat korban pada Iduladha dan hari-hari tasyriq. Marilah sama sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 37:

Maksudnya: “(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah; dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari

(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh JAKIM untuk masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan, Putrajaya, pada hari ini – Jumaat, 12 November 2010 /5 Zulhijjah 1431H).

No comments: