Friday, November 5, 2010

KHUTBAH JUMAAT


PENGHAYATAN INTEGRITI DALAM MPEKERJAAN

Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah:

PENGHAYATAN INTEGRITI DALAM PEKERJAAN

Sesungguhnya matlamat utama Allah SWT menciptakan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya, dalam pelbagai bentuk ibadah dan amal soleh termasuk tanggungjawab dan amanah untuk memakmurkan bumi ini mengikut acuan dan panduan yang telah digariskan oleh syarak. Sesungguhnya Allah SWT tidak memperoleh apa-apa faedah atau keuntungan daripada apa yang dilakukan oleh manusia melainkan semua kebaikan daripada amalan tersebut akan kembali untuk diri mereka sendiri. Perkara ini jelas dinyatakan dalam al-Quran surah adz-Zaariyat ayat 56-58:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah, Dialah sahaja Yang Memberi rezeki, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.

Agama Islam menuntut umatnya supaya bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki yang bersih lagi halal demi kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Islam melarang keras umatnya yang tidak bertanggungjawab, malas bekerja, menipu atau menyeleweng di dalam pekerjaannya. Namun persoalan besar timbul, adakah kerja yang kita lakukan selama ini bertepatan dengan syariat Islam iaitu sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna, menyelesaikan tugasan dengan sebaik mungkin dan dalam masa yang sama menjauhkan diri daripada sebarang bentuk penipuan, pemalsuan, manipulasi, penyelewengan dan seumpamanya.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah,

Dalam bahasa yang mudah, integriti membawa maksud kejujuran, ketelusan dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Prinsip ini akan membawa kepada setiap pekerja untuk melaksanakan sesuatu tugasan dengan betul dan sempurna pada setiap masa walau di mana mereka berada. Penghayatan integriti juga adalah sejajar dengan tuntutan Islam yang mengajar umatnya supaya menghayati akhlak yang mulia sebagaimana diperjuangkan oleh junjungan besar Nabi Muhamad SAW dalam sebuah hadith:

Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

(Riwayat al-Bukhari)

Sebagai seorang pekerja, jika kita benar-benar menghayati prinsip integriti, kita akan sentiasa beramanah, jujur, telus dengan penuh rasa tanggungjawab di samping menyerlahkan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti rajin, tekun, berdisplin dan mengutamakan kualiti dan kesempurnaan dalam setiap tugasan. Sebaliknya, kita adalah seorang pekerja yang tidak berintegriti bahkan tidak beramanah dan memungkiri janji sekiranya kita tidak jujur, tidak amanah dan tidak telus dalam pekerjaan. Lebih parah lagi jika kita terlibat pula dalam sebarang bentuk penyelewengan, penipuan, manipulasi, rasuah, salahguna kuasa dan seumpamanya.

Ingatlah wahai umat Islam sekalian sekiranya kita terlibat dalam penyelewengan dan penipuan dalam pekerjaan kita, maka rezeki yang kita perolehi adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian yang dipakai juga haram kerana datang dari sumber yang haram. Sesungguhnya perbuatan ini akan mengundang kemurkaan Allah SWT . Sabda Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam:

Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah tempat yang selayaknya”.

(Riwayat at- Termizi)

Kehidupan mereka yang tidak berintegriti tidak akan memperolehi keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT dan ada kalanya Allah SWT akan terus menimpakan balasan ketika di dunia lagi seperti tidak memperolehi ketenangan, sering ditimpa kesusahan dan doa dan permintaannya tidak akan dimakbulkan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah radiallahu ‘an:

Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak akan menerima kecuali yang baik. Baginda kemudian menceritakan kisah seorang lelaki yang musafir, berambut kusut masai, berdebu, berdoa tidak henti-henti kepada Allah: Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Sedangkan makanannya haram, minumannya juga haram, pakaian yang membaluti badanya juga haram serta perutnya dikenyangkan dengan sumber yang haram, maka bagaiman dosa boleh diterima.

Riwayat Imam Muslim)

Kita telah diperingatkan dengan beberapa kisah daripada sejarah tamadun manusia yang hebat, unggul dan cemerlang seperti tamadaun ‘Add, Thamud, Tamadun Greek, Yunani, Parsi dan sebagainya. Kesemua tamadun ini telah dimusnahkan oleh Allah SWT disebabkan kerakusan pemimpin dan pengikut yang tidak berintegiti. Sifat Mazmumah telah beraja di hati terutama sifat tamak haloba, dengki, khianat, tindas menindas, kezaliman dan seumpamanya sehingga mendatangkan kemudaratan dan kesengsaran kepada rakyat dan yang lebih merbahaya sehingga boleh mendedahkan negara kepada pelbagai risiko keselamatan. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 38:

Dan Aad (kaum nabi Hud) dan Thamud (kaum Nabi Salih); dan telahpun ternyata kepada kamu sebahagian dari bekas tempat kediaman mereka; dan syaitan memperelokkan pada pandangan mereka: amal-amal mereka (yang jahat itu), lalu ia menghalangi mereka dari jalan Allah; padahal mereka orang yang bijak pandai dan berakal (yang dapat membezakan yang benar dan yang salah).

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sempena dengan sambutan bulan integriti pada pada bulan November setiap tahun marilah sama-sama kita mengingatkan sesama kita bahawa tujuan dan matlamat bagi setiap pekerjaan adalah untuk mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah SWT. Dengan berintegriti kehidupan kita akan sejahtera di dunia dan di akhirat. Bagi memastikan pekerjaan kita sentiasa memenuhi dan menepati tuntutan syara’ maka perkara-perkara berikut hendaklah diberi perhatian;

Pertama: Niat yang ikhlas untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT di samping mengharapkan pekerjaan itu diterima sebagai ibadah dan amal soleh

Kedua: Berazam dengan semangat bekerja bersungguh-sungguh sehingga mampu menghasilkan kerja yang berkualiti dan memberi manfaat kepada pelanggan.

Ketiga: Bijak dalam merancang dan melaksanakan sesuatu tindakan terutama mengelak berlakunya pembaziran wang rakyat dan harta benda awam.

Keempat: Menjauhkan diri daripada amalan sifat mazmumah (keji) seperti menipu, menyeleweng dan sebagainya dalam pekerjaan.

Kelima: Hendaklah sentiasa mengamalkan sifat sabar dan bertawakal serta berdoa kepada Allah SWT dalam menghadapi ujian dan godaan dalam pekerjaan.

Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh JAKIM untuk masjid Putra dan Masjid Sultan Mizan – Masjid Besi, Putrajaya, pada hari ini, 5 November 2010)

No comments: