Friday, June 5, 2009

PAS:

Dewan Ulama lulus usul kepimpinan ulama

SHAH ALAM: Dewan Ulama Pas hari ini meluluskan usul mendesak Pas Pusat untuk mengekalkan konsep kepimpinan ulama dalam menerajui parti itu.

Usul yang dibentang oleh perwakilan Dewan Ulama Pas Terengganu, Nik Masri Nik Malik, mencadangkan jawatan Presiden, Timbalan dan seorang daripada Naib Presiden mesti dilantik daripada kalangan ulama.

Cadangan beliau telah dipersetujui sebulat suara oleh perwakilan.

Mengulas perkara itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib, berkata usul itu akan di bawa ke peringkat pusat.

"Di sana ada penapis usul lagi, kita tak tahu mereka terima atau tidak usul berkenaan," katanya.

Harun menang jawatan berkenaan tanpa bertanding selepas penyandangnya, Datuk Mohamed Daud Iraqi, menarik diri daripada bertanding.

Ditanya sama ada beliau meletakkan harapan untuk usul itu diterima dan dibahas, Harun berkata beliau mempunyai agenda yang lebih penting iaitu mencari jalan untuk mengukuhkan Pas serta menarik sokongan rakyat kepada parti itu.

"Lagipun, semua peringkat sudah ada ulama, dalam (Pas) cawangan, negeri, (Dewan) Pemuda, (Dewan) Muslimat, lebih-lebih lagi, di Dewan Ulama," katanya.

Mengenai tindakan pihak tertentu yang cuba memburuk-burukkan ulama yang dibangkitkan dalam ucapan dasar Mohamed Daud, beliau berkata itu hanya pandangan peribadi individu tertentu yang lebih sebagai pemerhati dan tidak boleh dijadikan dasar parti.

"Itu bukan perbuatan orang yang bertanggungjawab, itu (tindakan) pemerhati. Itu pandangan masing-masing, pandangan orang perseorangan," katanya.

Sementara itu, perwakilan Dewan Ulama Pas Perlis membuat usul supaya ditubuhkan sekurang-kurangnya empat maahad tahfiz sains di negeri yang dikuasai pembangkang berikutan pertambahan minat di kalangan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke pusat pengajian itu yang menggabungkan pendidikan akademik dan agama.

Dewan Ulama Pas Kelantan pula mencadangkan cuti bergaji penuh diberi bagi isteri yang bekerja dengan kerajaan negeri pembangkang dan Kerajaan Persekutuan walaupun selepas bersalin anak kelima.

Muktamar Dewan Ulama Pas Pusat kali ini menyaksikan jawatan Ketua, Timbalan Ketua dan Naib Ketuanya, tidak dipertandingkan.

Timbalan Ketua Dewan itu disandang Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob, dan Naib Ketua oleh Datuk Dr Mahfodz Mohamed. - (Berita ini dari Bernama, 5 Jun 2009)

No comments: