Friday, June 5, 2009

KHUTBAH JUMAAT WILAYAH PERSEKUTUAN

YANG DIPERTUAN AGONG PENEGAK HAK ASASI RAKYAT JELATA

SEMPENA HARI KEPUTERAAN SERI PADUKA BAGINDA

YANG DIPERTUAN AGONG

(05 JUN 2009 / 11 JAMADIL AKHIR 1430)

Marilah sama-sama kita memperkukuhkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t. dengan meningkatkan pelaksanaan dan penghayatan Islam dalam diri kita, keluarga, masyarakat dan negara. Sesungguhnya Islam sahajalah yang dapat menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan ulang tahun keputeraan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada tahun 2009 ini, maka khutbah Jumaat pada hari ini akan memperkatakan tajuk: “YANG DIPERTUAN AGONG PENEGAK HAK ASASI RAKYAT JELATA”.

Rakyat jelata di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, dan sebagainya yang berpegang teguh kepada agama dianuti. Berdasarkan perbezaan latarbelakang pelbagai rakyat jelata ini, maka tidak dapat dinafikan ada kalanya berlaku pertikaian politik, agama, perbalahan kaum, dan sebagainya yang membimbangkan kita semua.

Bagaimanapun kita amat bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan kebijaksanaan dan keadilan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Raja-raja, maka dari masa ke masa beberapa isu dapat diselesaikan dengan aman.

Berdasarkan pemerhatian mimbar, rakyat jelata amat menyedari bahawa Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Raja-raja bukanlah pelindung untuk orang Melayu semata-mata tetapi juga penegak hak asasi rakyat seluruhnya. Dengan kata lain Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja adalah institusi yang mempertahankan hak mereka. Ini adalah selari dengan Peruntukan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan. Penegakkan hak asasi rakyat jelata ini sebenarnya berkait rapat dengan pemerintahan yang adil.

Ajaran Islam menetapkan bahawa keadilan adalah unsur penting dalam pengukuhan integriti pemerintahan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah an-Nisa’ ayat 58:

Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah s.w.t. sentiasa mendengar; lagi sentiasa melihat.”


Hakikatnya, Islam telah meletakkan kedudukan pemimpin di tempat yang amat tinggi, sesuai dengan amanah dan tanggungjawab yang dipikul. Kedudukan pemimpin yang adil telah dijanjikan oleh Allah s.w.t. dengan balasan baik, mendapat naungan Allah s.w.t. dihari Mahsyar nanti. Ketika mengulas lanjut tentang nikmat pemerintah yang adil ini Imam Bukhari telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud bahawa salah satu golongan yang mendapat perlindungan naungan Allah s.w.t. ketika mana tidak ada perlindungan melainkan perlindungan-Nya iaitu imam yang adil.

Berdasarkan Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Negara yang sentiasa menjadi simbol penegak hak asasi rakyat jelata di mana membolehkan kita semua sentiasa berada dalam kesejahteraan dan aman damai, maka kita selaku rakyat di bawah naungan baginda sewajarnya sentiasa mentaati baginda. Hadith Rasulullah s.a.w. menjelaskan:

Mafhumnya: Mendengar dan mentaati (patuh) adalah kewajipan setiap muslim terhadap pemerintahnya, sama ada perkara yang disukai atau perkara yang tidak disukainya, selagi mana tidak diperintahkan perkara-perkara maksiat, bilamana diperintahkan melakukan maksiat maka janganlah mendengar dan mematuhinya.”

(Riwayat Bukhari)


Berdasarkan hadith tersebut, jelaslah bahawa Islam mewajibkan agar mematuhi dan mentaati pemimpin bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan. Hal ini jelas sekali di mana negara-negara yang pemimpin mereka tidak ditaati sering berhadapan dengan berbagai-bagai masalah seperti rampasan kuasa, rusuhan, perang saudara, bermusuhan sesama sendiri, berbunuhan dan sebagainya.


Selari dengan hari bersejarah dalam kehidupan Yang Dipertuan Agong ini, marilah kita memartabatkan institusi raja sebagai ketua agama, payung negara dan pelindung hak rakyat jelata. Ini bagi memastikan kedamaian dan kemajuan negara terus terpelihara. Kita pupukan semangat kecintaan dan kepatuhan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja kita, agar ketuanan raja-raja rakyat negara ini tidak diganggu gugat.

Mengakhiri khutbah ini, beberapa perkara yang dapat dirumuskan untuk kita sama-sama renungi iaitu:

1. Kedaulatan Yang Dipertuan Agong tidak boleh dipertikaikan demi memelihara kesucian agama, kerukunan bangsa dan kemakmuran negara.

2. Kedudukan pemerintah yang adil amatlah tinggi di dunia dan di akhirat.

3. Seluruh rakyat hendaklah meletakkan ketaatan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada setiap masa demi menjamin kestabilan hidup dunia dan kebahagiaan di akhirat.

4. Bibit-bibit penderhakaan terhadap Yang Dipertuan Agong atau pun Sultan perlu dihapuskan dan ditentang habis-habisan.

5. Kerajaan yang adil dirahmati Allah, rakyat yang taat mendapat berkat, negara yang aman kekal selamat.

Maksudnya: Wahai orang yang beriman ! Taatlah kamu kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah, dan kepada Ulil Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya, jika benar kamu beriman kepada Allah s.w.t. dan hari akhirat yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

(an-Nisa’:59)
(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM)

No comments: