Tuesday, July 12, 2011

MENGENANG MASA SILAM




SULTAN TIDAK MAHU AMPUN

IKUT HUKUM ISLAM

Bermula dari pertemuanku dengan Sultan Idris Shah di rumah Sheikh Abdullah Fahim, di Kepala Batas, Seberang Perai pada tahun 1954, apabila Baginda menduduki takhta Kerajaan Negeri Perak, maka aku sebagai rakyat marhein sentiasa berdampingan dengan Baginda.

Elok aku mencatat pengalamanku di sini, iaitu kira-kira dua tahun sebelum Sultan Yusuf Izzuddin Shah mangkat, aku sering mengadap Baginda dan Raja Perempuan Ta’yah di Istana Iskandariyah, Bukit Chandan. Kadang-kadang aku datang ke Istana Iskandariyah bersama Raja Razman dan Raja Hanif Shah. Mereka adalah pensasihat kebudayaan dan hal ehwal rakyat kepada Sultan Yusuf.

Sultan Yusuf seorang Raja memerintah yang kuat berpegang pada semangat kebangsaan Melayu. Dalam percakapan denganku, Baginda lebih cenderung kepada parti-parti politik yang telah diharamkan oleh Kerajaan Inggeris, iaitu kesatuan Melayu Muda (KMM), Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Mengenai UMNO, Sultan Yusuf telah menerangkan kepadaku sama dengan yang telah diterangkan oleh Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz bekas Setiausaha Agung UMNO Malaya.

BRITISH RASA TERGUGAT

Menurut Sultan Yusuf, apabila parti Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya(PKMM) telah ditubuhkan, Kerajaan British rasa tergugat dan sentiasa mencurigai parti-parti itu. Pada satu malam Ahad, akhir bulan Disember 1945, Penasihat-penasihat British (British adviser) Negeri-negeri Pahang, Perak, Kedah, Selangor, Negeri sembilan dan Johor telah mengadakan majlis jamuan makan malam dan tari menari, di sebuah hotel, di Cameron Highlands, iaitu sempena menyambut perayaan Hari Christmas.

Di antara orang-orang kenamaan Melayu yang telah diundang ke majlis itu, ialah Raja Muda Yusuf, Onn bin Jaafar, Panglima Bukit Gantang, Haji Ab dul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Raja Kamaruzzaman bin Raja Mansor (Raja Kecil Tengah), Zainal Abidin bin Haji Abas, Raja Haji Shahar bin Raja Harun dan Raja Azam bin Raja Kamaruzzaman.

Dalam majlis itu, para Penasihat British tersebut telah mengingatkan Onn Jaafar, Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab dan mereka yang hadir, bahawa ’bahaya dari gunung’ akan tiba, iaitu Parti Hizbul Muslimin pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir, Gunung Semanggul, Perak, bahaya kepada orang-orang Melayu yang mendapat pendidikan England atau London Orientation dan masa depan mereka akan menjadi kabur.

Cerita Sultan Yusuf lagi, bahawa penasihat-penasihat British itu telah menjelaskan, iaitu Hizbul Muslimin adalah membawa ideologi Islam seperti yang dianut oleh parti Ikhwanul Muslimin Mesir. Kalau parti itu berjaya memerdekakan Tanah Melayu, masalah besar akan timbul, di antaranya mereka yang berpendidikan England atau London Orientation akan tidak ada tempat atau peluang memerintah Tanah Melayu kerana mereka tidak mempunyai ilmu pengetahuan Islam.

PARTI KEBANGSAAN MELAYU

Penasihat-penasihat British itu telah menasihatkan pemimpin-pemimpin Melayu itu supaya menubuhkan sebuah parti politik nasionalis Melayu untuk membunuh Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

Menurut Sultan Yusuf, para menasihat British itu menentang konsep perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), iaitu Satu negara:Negara Melayu, satu bangsa:Bangsa Melayu, satu bahasa: Bahasa Melayu dan agama Islam menjadi agama Negara Melayu.

Dalam perjumpaan itu, Onn Jaafar telah memaklumkan kepada penasihat-penasihat British itu, iaitu orang Melayu sukar untuk disatukan dalam sebuah parti politik, kerana mereka mempunyai sikap kenegerian yang kuat. Penasihat-penasihat British itu telah memberi jaminan, bahasa pihak Pejabat Setiausaha Tanah Jajahan British ada isu yang boleh menyatukan orang-orang Melayu.

”...ape isunye..., mike tau?’ Sultan Yusuf bertanya kepadaku.

”Ampun, Tuanku, patik ..., Tuanku...,”aku menyembah kata.

”...Malayan Unionle..., deme udah susun...,”titah Sultan

Yusuf.

Sultan Yusuf memberitahu lagi, setelah British mengadakan Malayan Union, maka Onn Jaafar dan Haji Abdul Wahab serta rakan-rakan mereka telah menubuhkan parti kebangsaan Melayu, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu – PEKEMBAR atau UMNO.

DAYANG – DAYANG ISTANA

Raja Perempuan Taayah suka membuat kuih muih tradisional Melayu dan almarhumah juga suka santap kuih muih tersebut. Kuih muih itu di antaranya, ketayap, anak dara dua sebilik, lepat pisang, buah Melaka, badak berendam dan lepat ubi. Tetapi kebanyakan kuih muih itu dibuat oleh tukang-tukang masak (perempuan) atau dayang-dayang Istana.

Aku sering dijemput oleh Raja Perempuan Taayah untuk makan kuih muih di istananya. Baginda memerintahkan pemandu kereta istana, Chu Saad mengambilku dengan kereta istana (Morris Minor) dan membawaku ke Istana Iskandariyah.

Pada satu hari, Raja Perempuan Ta’ayah telah bertanya kepadaku mengenai hukum orang menyiksa anak yatim. Aku telah menerangkan kepadanya mengenai Allah menegah melakukan tidak baik kepada anak yatim. Almarhumah telah memberitahu kepada aku, bahawa dia telah menyiksa seorang anak yatim di istana, di Batu Gajah, iaitu dengan menggosok kepala anak yatim itu dengan seterika yang menggunakan arang kayu. Tidak lama kemudian kepala Allahyarhamah telah menjadi botak.

Sultan Yusuf menceritakan kepadaku akan hal-hal mengenai kehidupan rakyat jelata, karenah para politikus Melayu yang berselisih faham sesama mereka. Ada di antara mereka menyertai perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, tetapi mereka itu menjadi orang-orang harapan penjajah Inggeris.

KISAH PUTUS CINTA

Almarhum Sultan Yusuf juga telah menceritakan kisah ’putus cinta’nya dengana bekas kekasih dan isterinya Nurizan. telah bercerai dengan Nurizan kerana perempuan itu telah jatuh cinta kepada seniman P.Ramlee. Perkahwinan Norizan dengan P.Ramlee berakhir dengan perceraian juga.

Sepanjang tahun-tahun aku berdampingan dengan Sultan Perak, Al marhum Sultan Idris Shah,aku telah melibatkan diriku dengan Baginda sebagai:

1 Juru foto.

Pada waktu-waktu mengikut Baginda melawat ke kawasan luar bandar, aku telah diminta menggunakan kameranya untuk mengambil berbagai-bagai objek.

1 Pemburu binatang liar.

Mengikut Baginda memburu haiwan-haiwan liar seperti rusa

dan kijang dengan dikawal oleh anggota-anggota Pasukan Keselamatan dalam rimba raya Banding, Hulu Perak.

2 Tukang motorbot.

Pada waktu-wakut Baginda bertukang motorbotnya, bila aku tiba, baginda berbincang denganku mengenai botnya, seperti huluan dan buritan, perut, lantai bot dan sebagainya.

3 Pelukis.

Baginda sering melukis gambar-gambar pemandangan dan abstract. Pada waktu-waktu aku berada di sisi Baginda sedang melukis, Baginda telah bertitah tentang keindahan lukisan-lukisannya yang abstract itu. Kadang-kadang kami ketawa melihat gambar gadis berbogel lukisan karya Baginda.

4 Bomoh.

Pada masa Baginda baru pulang dari Keroh (Pengkalan Hulu), iaitu setelah bertemu dengan perempuan cantik – isteri seorang lelaki petani Siam di Teluk Ayam, Betong, Selatan Siam-Baginda telah menunjukkan kepadaku gambar perempuan itu yang diambil dengan kameranya. Baginda telah meminta aku menjampi gambar prempuan itu supaja dia jatuh hati kepada Baginda.Mahu tidak mahu aku telah menjampi gambar perempuan itu dengan al Fatihah dan ayat-ayat Quran. Kemudian perempuan itu telah menganut agama Islam dan berkahwin dengan Baginda, memakai Satira.

5 Penggubah lagu.

Pada waktu Baginda sedang menggubah lagu untuk pancaragamnya, “Rashah Combo’, Baginda telah bertanya kepadaku tentang kata-kata puitis untuk lagunya. Sepanjang bulan-bulan ‘cinta dan rindu’ Baginda kepada Satira, Baginda telah minta aku menulis sajak atau lirik lagu-lagunya yang berunsur cinta dan rindu. Di antaranya ’Gunung Kenerong’ Lagu itu telah dimainkan oleh ‘Rishah Combo’ dan Radio Malaysia stesen Ipoh.

6 Orang bijak Raja.

Pada masa Tan Sri Ghazali Jawi menjadi Menteri Besar Perak kali yang kedua (1974 – 1977) dan Datuk Seri Wan Mohamed bin Haji Wan Ten (1977 –1982) telah berlaku krisis antara Baginda dengan Menteri Besar dan pihak UMNO, maka aku telah diminta oleh Baginda menjadi ’orang bijak raja’ penasihat hal ehwal politik peribadi Baginda.

Pada satu malam dalam bulan Puasa, telah berlaku satu kejadian menggemparkan penduduk-penduduk di sekitar Bukit Chandan, kerana seorang remaja anak jirannya yang masih menuntut di sekolah menengah, terkena peluru dari senapang adik kepada Sultan Idris, Raja Ahmad Saifuddin atau Tengku Tam.

MAHKAMAH MENENTUKAN HUKUMANNYA

Perkara itu telah menjadi perkara atau kes polis. Sultan Idris Shah, adalah seorang raja pemerintah yang tegas dan berpegang kepada falsafah dan adat Melayu, iaitu, ’biar mati anak jangan mati adat’. Baginda tidak mahu campur dalam perkara itu, seperti menggunakankan kuasa Baginda membatalkan perkara tersebut. Adinda Baginda sendiri telah melakukan kesalahan, maka dia mesti dibicarakan dan terpulang mahkamah menentukan hukumannya. Berikut ini adalah tulisanku untuk sebuah surat khabar Melayu:

”Aku tak campur, cederakan orang, ...bunuh orang, aku tak boleh ampun, kerja Allah Taala...,” titah Sultan Idris Shah kepada adindanya, Raja Ahmad Saifuddin atau Tengku Tam.

”Raja lain boleh ampun, tapi aku tak, ...hee, tak sior nganggun dosa oghang weh, dosa aku sendighi pun tak tertanggung.” titah Sultan lagi.

Sultan telah bertitah kepada adindanya pada hari yang kedua setelah polis menjalankan penyiasatan ke atas Raja Tam kerana sabit dengan satu kejadian dia telah menembak seorang penuntut yang menjadi jirannya.

Kejadian itu telah berlaku dalam bulan puasa dalam tahun 1970-an, iaitu pada satu malam yang hampir dengan malam tujuh likur, penuntut itu bersama rakan-rakannya sedang bermain mercun dan panjut di halaman rumah mereka di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Pada Malam itu Raja Tam sedang mengalami kerunsingan..... Dia telah mempunyai isteri pertama dari keturunan raja juga dan mempunyai beberapa orang anak.

MEMBERI PENGAMPUNAN DIRAJA

Setelah polis menjalankan penyiasatan, Raja Tam telah pergi ke Istana Iskandariyah untuk mengadap kekandanya, Sultan Idris Shah dan dia telah memohon kekandanya memberi pengampunan diraja sekiranya pada hari perbicaraan dalam Mahkamah Tengah dia didapati bersalah.

Memang telah menjadi kelaziman kepada Sultan-Sultan di Tanah Melayu memberi pengampunan kepada saudara mara dan keluarga mereka kalau mahkamah mendapati mereka bersalah melakukan sesuatu perbuatan jenayah.

Sultan Johor, Sultan Ismail pernah mengampunkan anaknya. Hakim yang membicarakan kes itu ialaha Hakim Raja Azlan Shah (kini Yang Dipertuan Agong) dan pendakwaan dijalankan oleh Pendakwa Raya Tan Sri Salleh Abas (sekarang Tun).

Sultan Idris tetap tidak mahu mengampun adiknya jika didapati bersalah.

DEWAN UNDANGAN NEGERI

Pada masa itu Raja Arif Shah menjadi majistret Mahkamah Rendah Kuala Kangsar.

Kerana perbicaraan atas Raja Tam akan diadakan di Mahkamah Tengah, maka Mahkamah Rendah Kuala Kangsar akan bertukar (sementara) menjadi Mahkamah Tengah dan Presidennya seorang Cina dari Pulau Pinang.

Kira-kira seminggu sebelum perbicaraan dijalankan, Kadi Mahkamah Syariyah Kuala Kangsar, Allahyarham Haji Zakaria bin Mat Dohor menjemput saya datang ke pejabatnya kerana menurutnya ada perkara mustahak nak dibincangkan.

(Allahyarham Haji Zakaria, setelah bersara dari jawatan kadi, dia telah bertanding sebagai calon PAS dalam kawasan Dewan Undangan Negeri- Belanja - , Parit, Perak).

Saya telah tiba di pejabatnya dan saya mendapati Allahyarham Raja (Dato’) Hanif Shah bapa saudara Sultan Idris, Raja Arif Shah majistret (bapa mertua Sultan Idris) dan Allahyarham Ustaz Najmuddin bin Haji Ahmad (Guru Pelawat agama sekolah-sekolah Kebangsaan daerah Kuala Kangsar).

KAMI CARI JALAN

Sebaik-baik sahaja saya memberi salam dan mengambil tempat duduk di sisi Raja (Dato’) Hanif Shah, Haji Zakaria berkata, ” Ha, dia ni boleh beri fikiran.”

Saya telah merenung wajahnya dan wajah-wajah di kiri kanan saya. Mereka merenung kepada saya.

”...apa, apa hal ni?” Saya bertanya.

”Begini...,”Raja Arif Shah bersuara.

“...Tuanku titah kami cari jalan, macam mana nak buat,...ialah Tengku Tam yang nak bicara seminggu lagi,” katanya lagi.

“Dia tu akan dituduh tembak orang, …mike bukan tak tau, kan mike yang tulis beritanya…?” celah

Raja (Dato’) Hanif Shah.

” Macam mana, bicaralah..., kalau didapati bersalah Sultan boleh ampun,” saya berkata dengan merendahkan suara.

”Itu benor, tapi Tuanku tak mau ampun...,Baginda titah, kalau Baginda ampun, dosa adindanya kepada Allah dan orang itu tak lepas juga,” kata Raja Arif Shah.

”Ia, itu betul, Engku,”saya membetulkan cakap majistret tua itu.

Saya melihat Raja (Dato’) Hanif Shah menggaru-garukan kepalanya dan Haji Zakaria menggelisah.

“Ini Sultan titah, Mokhtar...,”kata Raja (Dato’) Hanif Shah.

”Begini, kita sembahkan kepada Baginda, biar perbicaraan tu dijalankan ikut Mahkamah Islam, ...kalau diyat, bayar sajalah...”kata saya.

”Ia, ia, ...jalan tu sangat baik, “kata Haji Zakaria.

Raja Arif Shah Mengangguk. Raja (Dato’) Hanif Shah mengangguk dan merenung saya.

“Tapi bolehkah mahkamah sekarang ni dijadikan Mahkamah Islam buat sementara” saya bertanya kepada Raja Arif Shah.

“...itu, saya agak boleh, kita boleh berunding dengan Tuan Presiden, ...kalau Sultan mau, tentu boleh kerana Baginda Ketua Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negeri ini,” kata Raja Arif Shah.

Pendapat saya itu telah diterima sebagai pendapat yang hak untuk menentukan kehendak Sultan Idris Shah.

BICARA MENGIKUT ISLAM

Esoknya kami telah mengadap Sultan Idris Shah.Setelah Baginda mendengar pendapat kami itu, Baginda setuju kes adindanya itu dibicarakan

mengikut Islam dalam Mahkamah yang tidak bercorak Islam.

Apabila perbicaraan berjalankan, Haji Zakaria telah menjadi penasihat hukum Islam – qisas dan diyat -, kepada Presiden Mahkamah Tengah, manakala aku berada dalam kamar hakim untun membantu Haji Zakaria.

Perbicaraan itu berakhir dengan mahkamah mendapati Tengku Tan tidak sengaja atau tertembak pemuda itu, maka dia telah dijatuhkan hukuman mengikut hukum Islam yang berdasarkan hukum dalam Quran, iaitu Tengku Tam dikenakan membayar diyat. Pertimbangan yang telah dilakukan oleh Presiden dengan nasihat Kadi Haji Zakariah, Tengku Tam didiyatkan dengan tiga ekor atau sembilan ekor lembu atau wang tunai sebanyak nilai sembilan ekor lembu itu.

Sultan Idris telah menolong adindanya, iaitu dengan wang Baginda sendiri telah membayar diyat yang telah dikenakan ke atas adindanya.

(Disunting dari manuskrip buku, Memoir Mokhtar Petah – Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

No comments: