Inisiatif persefahaman agama – TPM
|
|
KUALA LUMPUR 16 Jan. – Sudah tiba masanya kerajaan memikirkan secara lebih serius mengenai inisiatif-inisiatif yang boleh mewujudkan persefahaman antara agama di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun ia tidak sampai ke peringkat penubuhan satu majlis atau badan, usaha ke arah membentuk persefahaman antara agama melalui satu landasan perlu disegerakan.
‘‘Perkara ini akan dibincangkan di peringkat mesyuarat Kabinet dan dalam masa sama kita akan meminta panduan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai bentuk inisiatif yang sesuai bagi kita wujudkan persefahaman antara agama.
‘‘Apa yang boleh difikirkan, inisiatif ini hendaklah diwujudkan dalam bentuk yang kekal dan bukannya bersifat ad-hoc seperti sekarang,’’ katanya selepas Majlis Mesra Rakyat di Bandar Baru Sentul di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan mewujudkan satu petugas khas yang bertanggungjawab mengendalikan isu-isu mengenai kefahaman antara agama.
Dalam perkembangan berkaitan Muhyiddin berkata, antara tumpuan terhadap format inisiatif yang dirangka ialah mengenai keahliannya.
‘‘Bagi saya ia perlu diwakili oleh pemimpin setiap agama dan mereka bertanggungjawab untuk memberi pandangan supaya persefahaman antara agama dapat kita wujudkan.
‘‘Saya faham tugas utama mereka ialah menjaga agama masing-masing, tetapi dalam masa sama keamanan, keharmonian, muhibah antara kaum serta kesejahteraan negara juga perlu diambil kira,’’ katanya lagi.
Mengenai dialog antara agama, Muhyiddin berkata, program itu tidak ada masalah untuk dianjurkan kerana ia mampu memberi kefahaman yang jelas mengenai sesuatu agama.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 17 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment