Sultan Iskandar selamat disemadi
|
|
JOHOR BAHRU 23 Jan. - Jenazah Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail selamat disemadikan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, di sini pukul 4.10 petang.
Lebih 2,000 orang menghadiri majlis pemakaman itu sebagai tanda penghormatan terakhir mereka kepada Sultan Iskandar.
Jenazah baginda dibawa menggunakan pedati yang ditarik oleh Pasukan Istiadat dan Pegawai Badan Istiadat Istana dengan diiringi 77 das tembakan meriam.
Turut menaiki pedati mengiringi jenazah Almarhum ialah Tunku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar dan Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibrahim.
Pedati membawa keranda jenazah Almarhum yang ditutupi dengan bendera diraja berlambang bulan dan bintang berwarna biru diarak dari Istana Besar tiba di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah yang terletak kira-kira tiga kilometer, pukul 2.45 petang untuk istiadat pemakaman.
Jenazah Almarhum dimasukkan ke liang lahad oleh Raja Muda Johor dan beberapa cucunda baginda yang lain.
Bacaan doa dan talkin dipimpin oleh Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadot mulai pukul 3.25 petang.
Ketika itu, suasana pilu mula menyelubungi Makam Diraja Bukit Mahmoodiah apabila kelihatan ramai hadirin terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menitiskan air mata tatkala doa dan talkin dibacakan.
Pelbagai pihak turut menyampaikan kalungan bunga sebagai tanda ucapan takziah kepada seluruh Kerabat Diraja Johor yang diletakkan di satu sudut di pekarangan makam berkenaan.
Selesai bacaan doa, Sultanah Zanariah kemudian menabur bunga dan menyiram air mawar ke pusara Almarhum, diikuti Sultan Ibrahim Ismail yang kemudiannya disusuli Raja Zarith Sofiah Ibni Almarhum Sultan Idris Shah.
Sejurus itu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah menabur bunga dan menyiram air mawar ke pusara Almarhum yang disusuli Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Beberapa ahli kerabat yang lain turut menabur bunga dan menyiram air mawar di atas pusara baginda.
Antara yang turut menabur bunga dan menyiram air mawar ke pusara Almarhum Sultan Iskandar ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.
Ahli kerabat, pembesar negeri dan orang kenamaan mula meninggalkan Makam Diraja Bukit Mahmoodiah pukul 4.30 petang.
Sultan Iskandar yang memerintah negeri Johor dari 11 Mei 1981 mangkat pukul 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri.
Almarhum berusia 77 tahun.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 24 Januari 2010)
*****
PKR Selangor lebih utamakan bekerja untuk rakyat:Khalid
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sejak 22 bulan lalu kerajaan pimpinan beliau tidak bersikap reaktif terhadap kritikan, sebaliknya memberi tumpuan terhadap tugasnya.
"Saya rasa mungkin BN cuab untuk menyingkirkan kami, tapi bagi kami pula, kami ingin terus bekerja. Rakyat Selangor mengundi kami untuk bekerja... rakyat Selangor tidak mengundi kami untuk berperang atau bergaduh dengan Barisan Nasional.
"Sebab itulah kerajaan negeri menganjurkan seminar sehari ini (yang beliau rasmikan hari ini), khusus untuk wanita bagi menerangkan rancangan dan aspirasinya berkaitan mereka, bukan merancang strategi untuk menyerang balas BN," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor di sini apabila diminta mengulas kritikan penulis blog Raja Petra Kamarudin bahawa kerajaan pimpinan beliau agak perlahan dalam bertindak balas terhadap usaha BN melemahkan kedudukan kerajaan negeri itu.
(Berita ini diambil dari Sinar Harian -Bernama online, 24 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment