Friday, January 22, 2010



“Polis perlu selesai segera siasatan”


PUTRAJAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta supaya segera menyiapkan kertas siasatan berhubung kes Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati yang dibakar baru-baru ini, bagi membolehkan mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut meminta Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk meneruskan siasatan terhadap beberapa kejadian termasuk yang melibatkan rumah-rumah ibadat lain seperti surau dan masjid.

“PDRM akan terus berusaha mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Kelmarin, lapan orang termasuk dua beradik dan bapa saudara mereka ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes pembakaran Gereja Metro Tabernacle dua minggu lepas.

Dalam kejadian 8 Januari lepas, gereja berkenaan dilempar bom api, dipercayai ada kaitan kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh majalah gereja katolik Herald-The Weekly Catholic.

Hishammuddin berharap tindakan cekap dan pantas polis menahan lapan suspek itu dapat membuka mata pelbagai pihak terhadap kesungpolis menyelesaikan kes itu.

Katanya, kejayaan itu juga menggambarkan keupayaan polis dalam mengawal keadaan keselamatan negara sekali gus memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Justeru, saya ingin menasihati semua pihak terutamanya pemimpin politik agar sentiasa berhati-hati, berhemah dan bertanggungjawab ketika membuat ulasan dan mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini,” katanya.

Hishammuddin berkata, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan paling tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman dan keselamatan rakyat dan negara.
(Berita ini diambil dari Sinar Harian - Bernama online, 22 Januari 2010)

No comments: