Najib jamin bumiputera dibantu
|
|
NEW DELHI 21 Jan. - Pelbagai agensi yang sebelum ini diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) masih mampu memainkan peranan untuk membantu usahawan bumiputera walaupun agensi-agensi berkenaan tidak lagi berada di bawah satu bumbung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, contoh adalah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang masih diwujudkan dan diletakkan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang diterajui oleh salah seorang Naib Presiden UMNO.
"Saya percaya tanpa kewujudan kementerian (MECD) ini pun agenda melahirkan usahawan bumiputera masih boleh diteruskan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas desakan Persatuan Kontraktor Buku Malaysia supaya kerajaan mewujudkan semula MECD atau badan khas bagi membela nasib mereka yang kian tertekan.
Presidennya, Hasan Hamzah dilaporkan berkata, usahawan bumiputera khususnya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) kini dalam keadaan getir selepas kementerian itu dibubarkan sembilan bulan lalu.
Perdana Menteri berkata, di samping agensi-agensi yang berkaitan terus diwujudkan di pelbagai kementerian kerajaan juga menubuhkan instrumen baru yang dikenali sebagai Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang ditugaskan untuk membangunkan usahawan dan syarikat bumiputera yang berpotensi.
"Kita tidak lupa agenda ini (membangunkan usahawan bumiputera) cuma ia disesuaikan dengan keadaan," katanya sambil mengharapkan struktur yang baru berfungsi lapan bulan itu berjalan seperti biasa.
Mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 34 orang yang didakwa terlibat menerima suapan lebih RM280,000 dalam kes penyeludupan pasir, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada SPRM.
"Ini tugas SPRM, kalau dia ada laporan ada sesuatu yang boleh disabitkan kesalahan undang-undang rasuah atau salah guna kuasa, terpulang kepada siasatan SPRM untuk menentukan sama ada ada kes atau tidak," katanya. - Utusan
(Berita ini diambil dari Utusan Maslaysia online, 22 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment