Hidupkan MeCD
Oleh Hussain Said
hussain@bharian.com.my
TAJUDDIN (kanan) diiringi Hasan melancarkan buku Ekonomi Melayukini Digugat dan Digigit selepas merasmikan Forum Usahawan Melayukini Di Persimpangan di PWTC. |
6 pertubuhan Melayu khuatir pembubaran agensi jejas Bumiputera
KUALA LUMPUR: Enam pertubuhan Melayu semalam meluluskan resolusi menuntut kerajaan mewujudkan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) bagi menjamin kepentingan dan masa depan usahawan Bumiputera.
Resolusi itu diluluskan pada Forum Usahawan Melayu Kini di Persimpangan: 'Digugat dan Digigit' anjuran bersama Gabungan NGO Usahawan Melayu, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM) serta Koperasi Ukhuwah dan Komuniti Bukuonline.
Desakan itu turut disokong Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) serta Gabungan Badan Ekonomi Malaysia (Gabem).
Pengerusi forum berkenaan, Hassan Hamzah, berkata pembubaran MeCD hampir sembilan bulan lalu selepas tiga dekad memayungi usahawan Bumiputera sudah menjejaskan kepentingan dan masa depan mereka.
"Walaupun dijanjikan penambahbaikan dalam menjaga kepentingan usahawan Melayu apabila lapan kementerian diberi peranan, kita dapati lebih banyak masalah dan kerenah timbul berbanding bantuan dan khidmat di bawah satu bumbung sebelum ini," katanya selepas majlis perasmian forum itu oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman.
Hadir sama Timbalan Presiden DPMM, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah.
Hassan yang juga Presiden PKBM, memberi contoh Tekun kini diletakkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyebabkan ramai usahawan Melayu yang bukan dalam bidang pertanian, dinafikan hak untuk mendapatkan pinjaman.
"Begitu juga Institut Keusahawanan Negara (Insken) yang dipindahkan ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti). Tiada satu program pun yang boleh dibanggakan dalam membantu usahawan Melayu berbanding sebelum ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan resolusi forum itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli panel forum itu, Datuk Salleh Majid pula mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan kementerian baru untuk menangani keperluan dan masalah usahawan Bumiputera.
"Saya juga cadangkan supaya satu pasukan khas ditubuhkan bagi menangani isu dan keperluan usahawan Bumiputera yang disertai NGO, usahawan, pakar dan kakitangan kerajaan yang berpengalaman," katanya.
Seorang lagi ahli merangkap Pengurus Besar (Pembangunan Kluster) Gabem, Nor Rashid Ismail menggesa kerajaan mewujudkan satu jabatan khas di bawah Miti bagi mengurus dan memayungi usahawan Bumiputera.
(Berita ini diambil dari Berita Harian, 20 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment