Friday, January 22, 2010


Pasir kita ke Kota Singa

Oleh Mohd Zin Ali dan Suhana Roslan
bhnews@bharian.com.my


SEMBILAN suspek dipercayai menjalankan kegiatan mencuri dan menyeludup pasir dibawa ke Mahkamah Putrajaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman, semalam.

Guna perairan Indonesia, Thailand elak pihak berkuasa

KUALA LUMPUR: Sindiket seludup pasir dari negara ini dipercayai menjadikan perairan Indonesia dan Thailand sebagai transit sebelum ke Singapura melalui jalan laut di Selat Melaka.

Taktik itu dikesan berdasarkan beberapa kes tangkapan membabitkan kapal tunda yang dibuat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum ini.

Menurut sumber, kapal itu yang dikesan di perairan Perak, mendakwa hendak membawa pasir berkenaan ke negeri di utara Semenanjung, tetapi melencong ke perairan Thailand atau Indonesia bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket itu mempunyai kaitan dengan 38 orang yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Selasa lalu kerana disyaki menerima sogokan serta rasuah seks berhubung kes mencuri dan menyeludup pasir di Johor, Pahang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Antara yang ditahan ialah setiausaha kerja seorang Exco Selangor, setiausaha sulit seorang ahli politik dan 28 kakitangan kerajaan yang sebahagiannya pegawai dan ketua jabatan.



Menurut sumber itu, sindiket terbabit dipercayai bergiat aktif sejak lebih lima tahun lalu selepas kerajaan mengharamkan eksport pasir ke Singapura.

Sumber itu berkata, sindiket terbabit dipercayai membuat empat penghantaran dalam masa sebulan dengan setiap kapal tunda dikatakan boleh mengangkut lebih 30,000 tan pasir.

Berdasarkan statistik APMM, kes tangkapan membabitkan penyeludupan pasir meningkat setiap tahun sejak lima tahun lalu.

Pada 2006, APMM membuat satu tangkapan, diikuti empat kes pada 2007 sebelum meningkat secara mendadak sebanyak 21 kes pada 2009, termasuk empat kes di Sabah dan Sarawak, manakala bulan ini satu kes dikesan.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa APMM Wilayah Selatan, Datuk Che Hassan Jusoh, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya mengesan 100 kapal dan ponton memasuki perairan Indonesia apabila cuba diperiksa pihaknya, tahun lalu.

"Kapal itu melarikan diri dengan memasuki perairan Indonesia sebelum ke lokasi lain," katanya yang tidak menolak kemungkinan modus operandi itu digunakan sindiket penyeludupan pasir ke negara jiran.

Beliau berkata, tahun lalu saja pihaknya memeriksa 222 kapal dan ponton yang membawa pasir di kawasan perairan Wilayah Selatan yang bermula dari Sabak Bernam, Selangor sehingga ke Endau, Johor.

Daripada jumlah itu, enam kapal dan ponton ditahan kerana tidak mempunyai permit membawa dan memindahkan atau mengeksport bahan berkenaan.

Che Hassan berkata, sepanjang tahun lalu juga pihaknya banyak melakukan tangkapan penyeludupan pasir antaranya di kawasan perairan Mersing, Pengerang (Kota Tinggi), Tanjung Langsat (Johor Bahru), Tanjung Piai (Pontian) dan Batu Pahat.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 22 Januari 2010)





No comments: