Wednesday, January 27, 2010

BERITA

Tiada pegawai kanan terlibat, namun ia dirancang rapi






Zulkifli Sulong

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) memberitahu, kehilangan dua enjit jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 2007 telah dirancang dengan rapi tetapi tidak membabitkan pegawai atasan.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, tidak berlaku sebarang penyelewengan di peringkat tertinggi TUDM.

Ekoran itu, beliau mengesahkan, perletakan pegawai kanan TUDM berpangkat Brigedier Jeneral sebelum ini sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris tidak ada kaitan dengan kes ini.

"Kami sedar ada semacam persepsi bahawa pegawai kanan tentera terlibat tetapi sebenarnya tidak," katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau bagimanapun mengesahkan, ia berlaku secara terancang dan rapi.

Hadir sama dalam sidang media itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah dan Panglima TUDM, Jeneral Datuk Rodzali Daud.

Ini adalah pertemuan kedua PAC dengan kementerian dan TUDM.

Azmi juga berkata, harga enjin jet ini bukannya RM50 juta sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini tetapi sekitar RM400,000 sahaja setiap satu.

Tidak puas hati

Sementara itu, salah seorang anggota PAC, Datuk Kamarudin Jaffar dari PAS ketika dihubungi berkata, beliau sendiri tidak berpuashati dengan keputusan penyiasatan ini kerana tidak banyak yang diperolehi dan masih banyak yang menjadi tandatanya.

"Bagaimanapun, pihak tentera telah berjanji untuk mempertingkatkan sistem penyimpanan alatan tentera mereka yang bagi saya amat strategik ini dan perlukan pegawai dan kakitangan yang tinggi disiplinnya," kata Kamarudin.

PAC mempunyai 11 anggota iaitu enam BN dan lima Pakatan Rakyat.

Pengerusinya adalah Azmi manakala timbalannya adalah Tan Seng Giaw anggota Parlimen Kepong dari DAP.

Menurut Kamarudin juga, pihak tentera memberitahu mereka, lebih dari seorang yang terlibat dari kalangan tentera namun Peguam Negara hanya mendakwa seorang sahaja iaitu seorang sarjan.

Sebelum ini, Sarjan TUDM N. Tharmendran dan pengarah syarikat, Rajandran Prasad telah didakwa ekoran kehilangan dua enjin jet ini.

Menurut Azmi Khalid, PAC dimaklumkan, senarai dua jet ini hilang dalam stor inventori TUDM Sungai Besi selepas dihantar dari Pulau Pinang ke situ.

Ia berlaku pada tahun 2007 tetapi hanya disedari kehiloangan itu setahun kemudian iaitu pada tahun 2008.

Malaysia membeli 14 jet F-5E pada tahun 1974 dan dilucutkan pentauliahannya pada tahun 1999. Namun enam darinya digunakan semula pada tahun 2003 sebagai pesawat latihan dan peninjau.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 27 Januari 2010)

No comments: