Mudahkan pengeluaran visa
|
|
NEW DELHI 20 Jan. – Ketika Malaysia menghadapi masalah hampir 40,000 orang warganegara India ‘hilang’ di negara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi komitmen untuk memudahkan urusan pengeluaran visa bagi kemudahan ahli-ahli perniagaan dari India.
Perdana Menteri berharap langkah itu akan memberi peluang kepada ahli-ahli perniagaan dari India melakukan urusan perniagaan mereka dengan lebih berkesan dengan rakan-rakan mereka di Malaysia.
Sambil mengakui ramai warganegara India yang ingin tinggal lebih lama di Malaysia selepas tempoh visa berakhir tetapi urusan visa perlu dipermudahkan bagi kepentingan bersama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perniagaan Malaysia-India di sini hari ini.
Baru-baru ini, dalam satu wawancara dengan media India di Kuala Lumpur, Perdana Menteri memaklumkan, sejumlah 39,046 warganegara India ‘hilang’ di Malaysia selepas visa pelancongan mereka tamat tempoh.
Mereka tidak dapat dikesan daripada rekod Jabatan Imigresen seperti anggaran yang dibuat pada Jun tahun lepas.
Najib dalam ucapannya juga berharap lebih banyak penerbangan melibatkan bandar-bandar lain di India bagi meningkatkan kerjasama perniagaan antara kedua buah negara.
Perdana Menteri yang berucap di hadapan kira-kira 400 ahli perniagaan India dan Malaysia berkata, turut menyentuh latar belakang hubungan Malaysia dan India berdasarkan sejarah dan budaya masyarakat Melayu dan India sejak zaman kolonial British.
Justeru berdasarkan latar belakang tersebut, beliau percaya hubungan antara penduduk di kedua buah negara yang sudah terjalin begitu lama boleh ditingkatkan lagi supaya lebih bermakna.
Dalam hubungan ini, beliau juga mencadangkan supaya diwujudkan kerjasama dua hala melalui Forum CEO bagi mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan ahli-ahli perniagaan di kedua-dua negara.
‘‘Melalui forum ini, ahli-ahli perniagaan kanan dari kedua-dua negara dapat bertemu dan bertukar fikiran dalam pelbagai perkara bagi kepentingan bersama,” katanya.
Beliau juga berharap kedua-dua kerajaan dapat memuktamadkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.
Katanya, jika ini boleh dimuktamadkan, ia boleh ditandatangani di Malaysia dengan kehadiran Perdana Menteri, Dr. Manmohan Singh.
Mengenai hubungan dagang serta peluang perniagaan, Malaysia yang selama ini banyak mengimport hasil pertanian memerlukan kepakaran dalam bidang-bidang seperti biosains, industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pendidikan yang kesemuanya ini boleh didapati dari India.
Beliau memberitahu para peserta forum itu, Malaysia telah mengenal pasti industri bioteknologi menjadi pemangkin utama pembangunan Malaysia yang akan menyumbang sekurang-kurangkan 5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020.
‘‘Kami menjemput syarikat-syarikat bioteknologi India untuk sama-sama membangunkan industri ini dan mengambil peluang pelbagai insentif yang ditawarkan,” katanya.
Sektor lain yang turut ditekankan oleh Perdana Menteri ialah pasaran modal dan unit amanah. (Berita ini diambil dari utusan Malaysia Online, 21 Januari 2010).
No comments:
Post a Comment