Tuesday, January 26, 2010





Royalti: Pendirian tegas Nik Aziz disokong


M Faqih

KOTA BHARU, 25 Jan: Pelbagai pihak di sini mahu kerajaan negeri mempertahankan tuntutan royalti minyak dan bukan wang ihsan seperti dicanang pemimpin Umno.

Malah mereka menganggap ketegasan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menolak cadangan melantik wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Wang Ihsan di bawah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai tepat.

Pengerusi bersama Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar), Dr Abdul Halim Yusoff berkata, kerajaan negeri perlu mempertahankan hak ke atas royalti sebagaimana termaktub dalam Akta Petroleum 1974.

Katanya, kerajaan pusat sebenarnya tidak ada hak ke atas royalti tersebut kerana perjanjian dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas dan bukan kerajaan pusat.

“Sekarang kita pun hairan dari mana pula kuasa kerajaan pusat untuk menentukan royalti menjadi wang ihsan.

“Ini langsung telah melanggarkan lunas-lunas federalisme yang dilaungkan kerajaan sejak merdeka,” katanya di sini.

Semalam, Menteri Besar Kelantan menolak pelantikan wakil kerajaan negeri dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan yang akan diletak di bawah JPP.

Sebelum itu Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin memberitahu kerajaan pusat akan menubuh jawatankuasa terbabit bagi menentukan kaedah penyaluran wang ihsan hasil petroleum yang dicari gali di perairan Kelantan.

Dr Abdul Halim bimbang wang ihsan hanya akan menjadi alat politik kepada pemerintah dan bukan bagi memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Tidak mustahil ia akan menjadi alat kepada kempen Umno bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang seperti pernah berlaku di Terengganu,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menyokong pendirian Menteri Besar menolak menghantar sebarang wakil dalam Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan.

Dewan Pemuda PAS Kelantan turut menyokong penuh pendirian tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz bagi mempertahankan hak Kelantan ke atas royalti minyak.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, tidak berbangkit sama sekalik kewujudan Jawatankuasa Pembangunan Wang Ihsan kerana ia bertentangan dengan perjanjian yang ditandatangani berpuluh tahun lalu.

“Sepatutnya kerajaan negeri yang mencadangkan pelantikan wakil kerajaan pusat dalam jawatankuasa royalti minyak kerana ia menjadi hak mutlak kerajaan negeri.

“Dan JPP pula suatu entiti yang tidak sepatutnya wujud kerana jabatan itu hanya ada di negeri-negeri yang BN kalah. Peranan JPP bercanggah dengan konsep federalisme.

“Oleh itu Dewan Pemuda mencadangkan JPP dibubarkan sekiranya benar Perdana Menteri mahu mengamalkan konsep 1Malaysia,” ujarnya.

(Berita ini diambil dari Haakah Daili Onlin, 26 Januari 2010)

No comments: