Thursday, January 21, 2010



Dua beradik ditahan insiden bakar gereja


KUALA LUMPUR - Tiga sekeluarga antara lapan lelaki yang ditahan dipercayai mempunyai kaitan langsung berhubung kebakaran Gereja Metro Tabernacle Ag di Desa Melawati Setapak dekat sini, baru-baru ini.

Penahanan juga melibatkan dua beradik dan bapa saudara itu dilakukan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang pada petang kelmarin hingga jam 7.30 pagi semalam hasil maklumat orang awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, dengan tertangkapnya semua suspek yang berusia lingkungan 21 hingga 26 tahun itu, polis percaya kes kebakaran gereja di Desa Melawati itu dapat diselesaikan.

“Suspek pertama ditahan kira-kira jam 3.30 petang kelmarin di Hospital Kuala Lumpur ketika suspek dikatakan sedang menerima rawatan berikutan kecederaan di bahagian dada dan tangannya akibat melecur.

“Susulan penangkapan penghantar surat berusia 25 tahun itu, polis berjaya menahan adiknya yang berusia 23 tahun bersama enam lagi lelaki di beberapa kawasan berasingan di Ampang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Menurutnya, turut ditahan bapa saudara adik-beradik berkenaan yang berusia 26 tahun dan suspek yang berusia 23 tahun itu turut mengalami kesan melecur di bahagian tangan kirinya dipercayai akibat kejadian tersebut.

“Semua suspek kini di reman selama tujuh hari mulai hari ini (semalam) dan kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.

“Kita sedang lengkapkan kertas siasatan yang memerlukan keterangan yang terperinci untuk mengheret mereka yang terlibat ke mahkamah kerana ini merupakan jenayah yang serius,” katanya.

Bakri berkata, orang ramai perlu memberi ruang dan peluang untuk polis menjalankan siasatan sebelum laporan kertas siasatan di hantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Kita Menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes kebakaran gereja Metro Tabernacle Ag melalui kerjasama polis Bukit Aman dengan polis Kuala Lumpur. “Sehubungan itu, orang ramai jangan buat sebarang spekulasi dan jangan cuba kaitkan kumpulan yang ditahan dengan pembakaran gereja-gereja lain,” katanya.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online, 21 Januari 2010).

No comments: