Tekad Najib
Oleh Norfatimah Ahmad, Hussain Said, Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my
NAJIB bersama buku Program Transformasi Kerajaan - Pelan Hala Tuju ketika melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di ibu negara, semalam. |
Mentransformasi kerajaan dan tingkat kualiti kehidupan
Mesti sentiasa di hadapan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak, semalam melancarkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) dengan tekad untuk terus melakukan perubahan melalui pelaksanaan enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sehingga rakyat mengalami sendiri penambahbaikan dalam kehidupan mereka.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberikan keutamaan kepada rakyat, tanpa lari daripada prinsip kebertanggungjawaban dan sedia dinilai oleh mereka ke arah memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.
ORANG ramai yang hadir pada majlis pelancaran GTP. |
"Kerajaan tidak akan berhenti sehingga rakyat boleh melihat, menyentuh dan mengalami penambahbaikan kehidupan mereka. Insya- Allah, dengan komitmen semua pihak dan dengan izin Allah, kita akan berjaya.
"Selaras dasar 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, kerajaan sedar risiko yang bakal dihadapi jika gagal memenuhi janji kepada rakyat. Bagaimanapun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, ia reda dinilai oleh rakyat. Inilah komitmen ikhlas kita kepada rakyat," katanya
Majlis itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-dua bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, menteri Kabinet serta pegawai kerajaan.
Pelan Hala Tuju GTP itu didokumenkan dalam bentuk buku 261 halaman, 37 halaman dan 20 halaman, selain dalam bentuk cakera padat untuk tatapan dan penilaian rakyat.
Najib berkata, ketelusan kerajaan terbukti dengan kesediaan mendedahkan Laporan Tahunan Pelan Hala Tuju GTP yang boleh dilihat sendiri rakyat bagi menilai prestasi pentadbiran kerajaan.
Perdana Menteri berkata pelaksanaan GTP dan NKRA adalah metadologi baru diperkenalkan kerajaan seiring pertukaran persekitaran.
Bagaimanapun, ia tidak bermakna kerajaan hari ini adalah kerajaan baru, sebaliknya program itu dirangka bagi memastikan kerajaan mampu mencapai matlamat nasional, sama ada yang baru atau yang diperkenalkan sebelum ini, termasuk Wawasan 2020 dan misi membasmi kemiskinan.
Beliau berkata pada tahun awal kemerdekaan, rakyat menyaksikan langkah berani, kreatif dan inovatif kerajaan sehingga berjaya mencapai kemajuan sosio ekonomi yang membanggakan.
"Namun, bagi memastikan kejayaan berterusan, kita harus perlu berada di depan kelok perubahan dan pembangunan. Jika berjaya dengan pelan ini, bermakna Malaysia sudah melakukan perubahan besar dan sekali lagi kita berada di hadapan kelok perubahan," katanya.
Najib berkata, bagi memastikan semua pendekatan dalam transformasi kerajaan itu dapat direalisasikan sepenuhnya, kerjasama semua pihak, khususnya penjawat awam adalah prasyarat utama.
"Saya beri jaminan, daripada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Sidek Hassan) sehingga bawah, semuanya komited kepada program transformasi ini," katanya.
"Buktinya apabila saya atau menteri turun ke makmal (NKRA), pegawai kerajaan yang bertugas menunjukkan semangat luar biasa. Ada yang beri penerangan panjang lebar, tak henti-henti dan ada yang kata mereka bermesyuarat hingga jam 5 pagi. Ini sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.
No comments:
Post a Comment