PM lancar Malaysia Inovatif 2010
|
|
PUTRAJAYA 27 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini melancarkan inisiatif Malaysia Inovatif 2010 ke arah mewujudkan masyarakat kreatif dan berinovatif bagi memperkasakan negara.
Perdana Menteri berkata, ia merupakan satu kaedah bagi memberi suntikan inovasi dan kreativiti ke dalam masyarakat melalui pembangunan ekosistem yang berupaya melakukan perubahan ke arah itu.
Sambil menekankan agar proses inovasi “diarusperdanakan”, Perdana Menteri ingin melihat inovasi dan kreativiti di negara ini merentasi semua lapisan masyarakat dan mencakupi segala aspek kehidupan.
“Dalam menghala ke arah model ekonomi baru dan maklumat yang berpaksikan kepada pengetahuan dan inovasi, kita perlu sentiasa ingat bahawa hanya negara yang memiliki perisian intelek dan berteknologi canggih serta terkini dapat berada di barisan hadapan.
“Inovasi bukan lagi milik sesiapa, bukan milik mana-mana negara atau bangsa. Ia boleh dimiliki oleh semua dan jika ia dijadikan amalan budaya hidup, ia boleh memperkasakan sesebuah bangsa.
“Pandangan bahawa inovasi milik ahli-ahli sains, teknologis dan cerdik pandai berkelulusan tinggi adalah tanggapan yang tidak tepat,” katanya pada majlis pelancaran Malaysia Inovatif 2010 yang bertemakan “Meraikan Kreativiti” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Hadir sama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili.
Perdana Menteri yang mahu menjadikan inovasi dan kreativiti sebagai agenda utama negara, menggariskan beberapa hasrat dan cadangan antaranya, setiap kementerian dan agensi kerajaan perlu menubuhkan satu unit inovasi khas.
Unit tersebut akan bertanggungjawab terhadap pelbagai kegiatan dan program inovasi.
“Saya ingin melihat pembaharuan yang bukan sahaja tertumpu kepada sistem pengkomputeran malah meliputi semua sistem penyampaian awam dan semua titik sentuh pelanggan supaya lebih cekap, inovatif, pantas dan berkesan,” tegasnya.
Untuk itu kata beliau, kerajaan mencadangkan agar individu atau kumpulan serta agensi kerajaan yang berjaya membawa inovasi diberi ganjaran lumayan setimpal dengan hasil yang diperoleh.
Bagi sektor swasta yang menjadi enjin pertumbuhan pula, Najib berkata, kerajaan berhasrat merangsang pertumbuhan firma-firma swasta yang mempunyai komponen Hak Harta Intelek dijana anak tempatan.
Pada masa sama katanya, sistem perolehan kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada keluaran tempatan dalam pembelian produk dan perkhidmatan.
Tambah Perdana Menteri, usaha-usaha juga perlu dijalankan bagi membangunkan lebih banyak modal intelektual seiring dengan keperluan tenaga mahir.
Katanya, pada masa ini nisbah penyelidik, saintis dan jurutera bagi setiap 10,000 pekerja ialah 18 orang dan kadar ini sebenarnya berada pada tahap rendah.
Perdana Menteri juga mahu inovasi dan kreativiti masyarakat dimulakan dari peringkat awal dengan budaya kreatif bermula dengan sistem pendidikan dan kekeluargaan.
“Penuntut harus diberikan kebebasan untuk berfikir secara kritikal dan disokong oleh persekitaran yang interaktif tetapi terkawal berpaksikan budi pekerti, tatasusila dan nilai-nilai murni,” katanya.
Najib juga mengulangi cadangannya agar Pusat Inovasi Negara ditubuhkan bagi berperanan menjana teknologi untuk pembangunan usahawan teknokrat.
“Saya berharap pusat itu akan memainkan peranan sebagai pusat inovasi yang mampu mewujudkan ekosistem yang menitikberatkan bukan sekadar penyelidikan dan pembangunan (R&D) tetapi aspek pengkomersialan hasil penyelidikan,” katanya.
Dalam hal ini, kata beliau, kerajaan menggalakkan para cerdik pandai tempatan yang berada di luar negara agar pulang ke tanah air bagi melakukan lonjakan berfikir secara inovatif.
“Banyak negara yang dulunya kita tidak sangka sekarang sudah memiliki pusat penyelidikan atau universiti penyelidikan.
“Mereka tidak mementingkan siapa menjadi presiden universiti, ahli akademik dan para pelajarnya.
“Apa yang penting adalah hanya yang terbaik daripada kalangan terbaik dipilih,” katanya.
Menurut beliau, inilah contoh pemikiran yang diperlukan bagi abad ke-21 iaitu masyarakat negara ini perlukan keberanian untuk melakukan perubahan.
“Kita mesti berani berubah untuk berfikir secara kreatif dan inovatif. Inilah sebenarnya intipati kepada pelancaran malam ini,” katanya.
(Berita ini diambil dari Utusan Mlayasia online, 28 Januari 2010)
No comments:
Post a Comment