Tuesday, June 17, 2008

PARTI KOMUNIS MALAYA

Dr. Mahathir Mohamad hantar Rashid Maidin ke Makah

Oleh: Mokhtar Petah

Pada masa pendudukan Jepun, saya masih kanak-kanak; berusia kira-kira 9 dan 10 tahun. Saya bersama bapa, ibu, dan adik saya, Razali Petah , tinggal dalam huma atau ladang, milik bapa dan ibu saya, dalam kawasan bernama Paya Pak Banun, iaitu berhampiran dengan Tasik Cenderuh dan Sungai Perak, daerah Kuala Kangsar.

Huma atau ladang bapa dan ibu saya itu dipenuhi oleh tanaman, seperti padi huma (padi darat), ubi kayu, ubi keledek, pisang dan anika jenis sayuran. Kerana tanaman-tanaman itu, maka kami kenyang dalam keadaan orang ramai lapar kerana tiada beras.

Selain dari kami tinggal sebagai pelarian di sana, terdapat lebih lima belas keluarga tinggal di sekitar kawasan itu. Mereka itu dari kampung kami juga dan memiliki tanah huma sendiri.

Pada masa itu ramai individu dari ‘orang-orang besar’ istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar yang datang ke huma sekitar huma kami dengan membawa pakaian mahal – songket, pakaian sutera, barang kemas dan sebagainya untuk ditukarkan dengan ubi kayu, pisang dan sebagainya

Kampung kami, iaitu Kampung Ngor (telah berlaku kejadian Al Ma’unah tidak lama dulu, terletak dekat jalan raya). Huma bapa dan ibu saya terletak di pendalaman, kira-kira lima kilometer dari kampung kami.

Kami dipaksa oleh komrad Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai oleh Ah Wang Seng dan seorang Melayu, Baharuddin topi mengkuang, berasal dari Mendahiling, Sumatera Utara, dua orang wanita Cina, seorang bernama Che Som dan seorang lagi Che Bee serta kira-kira 200 orang gerila telah memaksa kami menyertai mereka.

Kerana terpaksa, bapa saya telah memegang tugas sebagai ketua kumpulan pembantu Parti Komunis Malaya bagi kawasan Paya Pak Banon dan kampung Ngor.

Lebih 200 orang gerila komunis berkawal siang malam disekitar kawasan huma kami. Pada malam Sabtu dan Selasa Wang Seng dengan Baharuddin topi mengkuang datang memberi ucapan penghuni-penghuni di sana.

Kerana saya masih kanak-kanak, saya hanya ingat kata-kata dalam ucapan Ah Wang Seng, di antaranya:

“Kami Parti Komunis tentang penjajah orang putih.”

“Kami parti komunis mahu kasi ini Malaya merdeka.”

“Sudah merdeka, orang Melayu, Cina, India perintah sama-sama, macam adik bang.”

“Negeri kita negeri komunis, tapi Islam ada pakai.”

Saya adalah kanak-kanak suka membaca. Saya suka membaca surat khabar komunis, Bintang Timur, Bintang Merah dan beberapa buah surat khabar lapan halaman bertulisan rumi. Semua surat khabar itu diterbitkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Ah Wang Seng berkata kepada saya, “ …Mokhtar mesti jadi wartawan, penulis ..., wartawan dan penulis jadi guru pada semua orang, raja tidak ada mahkota.”

Ah Wang Seng telah membimbing saya membaca surat khabar. Dia telah menerangkan kepada saya pekerjaan wartawan. Dia berasal dari Negeri Cina dan editor dalam organisasi surat khabar Parti Komunis China (PKC).

Kisah ini terkandung dalam buku ‘Patah Sayap Bertongkat Paruh (memoir penulis), akan terbit.

Bertolak dari zaman pendudukan Jepun, setelah saya menuntut di sekolah menengah agama Islam dan sebagai seorang pemuda, saya menjadi rajin membaca buku komunis ( Dari Neraka Ke Neraka, oleh: Tan Melaka dan Das Kapital, oleh: Karl Marx dan banyak lagi). Saya juga gemar membaca buku karya penulis Islam, seperti Syed Qutb, Mustafa Al Ghalayin, Hassan Al Bana, Agus Salim dan lain.

Saya juga cenderung menulis rencana, cerpen dan sajak. Mulai tahun 1951 tulisan saya telah tersiar dalam surat khabar dan majalah di Singapura.

Parti Komunis Malaya (PKM) adalah cabang Parti Komunis Cina (PKC). Para pemimpin Parti Komunis Cina (PKC) dan Parti Komunis Malaya (PKM) sama dengan tujuan orang-orang Cina yang mengikut Komindan (Komintang), iaitu bertujuan menjadikan Tanah Melayu hingga Borneo sebuah Negara Cina dan diperintah oleh orang Cina.

Pendeknya orang-orang Cina di Tanah Melayu dan golongan komunis, sosialis dan kapitalis memang mempunyai matlamat untuk menjadikan Tanah Melayu dan Singapura, sebuah New China State (Country) - Negara Baru Cina.

Melalui sokongan berbagai pihak dan dengan usaha golongan Cina yang memperjuangkan sosio-demokrasi, maka Pulau Singapura, walaupun masih dalam wilayah kepulauan Melayu, tetapi telah menjadi negara cina baru.

Pada masa Parti Komunis Malaya (PKM) berjuang dengan gerila bersenjata, ramai pula orang-orang Cina dari golongan kapitalis – pelombong bijih, hartawan dan pedagang menjadi talam dua muka – sokong Inggeris dan sokong Parti Komunis Malaya (PKM).

Bila kita bertanya kepada diri kita sendiri, antara pejuangan UMNO yang mendapat galakkan dari Inggeris dengan Parti Komunis Malaya (PKM) yang dimusuhi oleh Inggeris; siapakah yang mendapat faedah dan keuntungan dalam bidang politik dan ekonomi?

Pada masa Pesuruhjaya Tinggi Inggeris, Sir Edward Gent (1946 – 1948), Inggeris telah mengemukakan gagasan Malayan Union (lebih kurang seperti negara kita sekarang) kepada bangsa Melayu dan orang Melayu menentangnya dengan mengadakan kongres yang diadakan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada awal Mei 1946.

Dalam kongres itu, Dato Onn Jaafar bersama orang Melayu telah menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR). Kerana pertubuhan itu dikuasai oleh mereka berpendidikan Inggeris dan Barat, maka mereka melazimkan dengan nama UMNO, iaitu United Malays National Organization.

Pada tahun Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Inggeris yang kedua (1948 – 1951) memerintah, UMNO berkembang sebagai sebuah parti politik yang disukai oleh Inggeris untuk menuntut kemerdekaan.

Pada tahun-tahun itu malang bagi bangsa Melayu, beratus-ratus pejuang kemerdekaan Tanah Melayu dalam parti politik Hisbul Muslimin, pimpinan Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan cabang pemuda, API serta cabang wanita SWAS, telah ditangkap dan ditahan dalam khemah-khemah tahanan, di Ipoh, Batu Gajah, Tanjung Bruas, Melaka dan beberapa khemah tahanan politik lagi.

Ramai pejuang Melayu – anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya -, telah membawa diri – lari -, ke dalam rimba dan menyertai Rajimen ke -10 Askar Melayu, dalam rimba Negeri Pahang. Mereka telah bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Di antara mereka itu, Rashid Maidin, Abdulah C.D., Shamsiah Fakeh, Abu Samah Kasim, Musa Ahmad dan Awang Ali.

Pada tahun 1952 – 1953, Sir Gerald Temple, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris yang ketiga memerintah Tanah Melayu. Semua penduduk yang terdiri dari orang Cina, India dan sedikit Melayu yang tinggal di kampung-kampung tepi rimba, setinggan tanah kerajan - hutan simpan-, iaitu penanam tembakau yang dikhuatiri oleh Inggeris akan membantu pengganas komunis telah dipindahkan ke dalam kampung - kampung baru yang dipagar dengan kawat berduri.

Mereka telah diberi lot kawasan tanah untuk rumah yang luasnya kira-kira 45x 80 kaki atas nama mereka.

Hampir semua kawasan kampung baru adalah Tanah Simpanan Melayu. Contohnya dalam kawasan Hulu Perak, semua kampung baru, Kuala Roi, Kelian Intan, Air Kala dan Kota Tempan, di Perak, adalah tanah simpanan Melayu, Sampai kini tanah dalam kampung-kampung itu telah menjadi milik orang bukan Melayu.

Mereka yang tinggal dalam semua kampung baru seluruh Tanah Melayu diberi kemudahan asas termasuk bekalan api eletrik dan air. Begitu juga sekolah, balai polis, dewan orang ramai dan sekolah.

Orang-orang Melayu yang tinggal di kampung-kampung tradisi yang tidak dipindahkan dan menyokong Inggeris tidak mendapat kemudahan demikian. Selepas bertahun-tahun Negara mencapai kemerdekaan, mereka masih menggunakan air sungai atau perigi, pelita minyak tanah dan anak-anak terpaksa belajar di sekolah yang jauh berbatu-batu dari kampung mereka.

Saya mengakui, bahawa perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) telah menyumbangkan banyak faedah kepada pendatang yang dari orang-orang Cina di Tanah Melayu.

Penjajah Inggeris telah mengalami kerugian wang yang terlalu banyak dan ramai tenteranya terkorban atau cedera kerana menentang pengganas komunis. Kerana menghadapi tekanan yang kuat dari parti Komunis Malaya (PKM) dan parti-parti komunis dunia, maka penjajah British terpaksa memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Pesuruhjaya Tinggi Inggeris yang ke-empat, Sir Donald Mac Gillivary (1954 – 1957), memerintah Tanah Melayu. Inggeris telah memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu, iaitu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu melalui Perikatan UMNO, MCA dan MIC, pada tahun 1957.

Apabila kita menulis, bercakap, berdiskusi dan menyelidik mengenai perjuangan orang Melayu, maka kita akan mendapati beratus-ratus pemuda Melayu yang telah bekerja sebagai Polis Khas – special constable (SC) -, menjaga segenap tempat dari serangan pengganas komunis. Di antaranya, ladang getah dan lombong bijih. Mereka itu dibawah pimpinan pegawai-pegawai bangsa Yahudi yang bergelar Tuan Palestin.

Ramai anggota polis khas yang telah terkorban. Mereka yang telah berhenti dari perkhidmatan, tidak mendapat apa-apa habuan atau hadiah kerana pengorbanan mereka.

Sebaik-baik sahaja perdamaian antara Kerajaan Siam, Kerajaan Malaysia dengan parti Komunis Malaya (PKM) dan Parti Komunis Thailand (PKT) selesai diadakan di Thailand, maka Kerajaan Malaysia dengan ihsan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Megat Junid telah membiayai tiga bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM), bersama isteri masing-masing menunai fardu haji di Mekah.

Mereka itu, ialah Rashid Maidin, Abdullah C D dan Abu Samah Kassim. Mereka telah berangkat ke Tanah Suci Makah melalui lapangan terbang antarabangsa Bangkok, Thailand.

(Lihat buku-buku mengenai Rashid Maidin dan Abdullah C D, masih ada dalam pasaran.

Editor- Petah Shahrir Aidid).

2 comments:

infogue said...

artikel anda bagus dan menarik bagi pembaca di seluruh nusantara,promosikan artikel anda di www.infogue.com dan jadikan artikel anda yang terbaik dan terpopuler menurut pembaca.salam blogger!!!

http://berita-politik-dunia.infogue.com/
http://berita-politik-dunia.infogue.com/parti_komunis_malaya

Anonymous said...

ARtikelnya bgus,dlu datok sy jgk home guard dan kawan datuk sy pun komunis,,tp datuk dah meninggal manakala kwn datuk pun hilang x tau kena mn,seingat masa kecil dulu datuk dan kwn datuk sering bersembang tentang kenangan bersama komunis mcm komunis berada di tepi kg aje,
saya org x jauh dari baling