Thursday, June 12, 2008

BUDAK KAMPUNG REDAH ANGKASA

Oleh: Mokhtar Petah

Datuk Mohd. Isa


“Saya anak orang susah, kecil cari kayu api, Alhamdullah, setelah saya dewasa dan tua, Allah tolong saya, saya pun hairan …,” kata Datuk Haji Mohd. Isa bin Salleh,75 tahun, Pengerusi Kelab Penerbangan Diraja Selangor.

“ …saya tau, kerana pada masa budak-budak saya mengaji Quran, belajar agama Islam, bila dah besar saya jadi rapat dengan Tuhan, sebab itulah Tuhan tolong saya …,” katanya sambil mengenangkan masa kanak-kanaknya.

“Bapa saya makan gaji, tukang pelan, gaji kecil, kami tinggal di kampung di Kajang, boleh kata tiap hari saya datang ke estate getah Perang Besar di sini, jumpa bapa saudara saya kerja klon (kahwin) anak getah,” Datuk Hj.Mohd. Isa bercerita sambil merenung sekitar kawasan Putrajaya.


Saya bertemu dengan beliau di Kelab Tasik Putrajaya, pada petang Selasa lalu.

Kawasan yang menjadi Bandar baru dan pusat pentadbiran Kerajaan Malaysia, Putrajaya, dulunya adalah beberapa kawasan ladang getah. Di antara ladang-ladang itu ialah ladang bernama Perang Besar estate.

Beliau bercerita lagi, bahawa pada masa kanak-kanak, hamper tiap hari lepas sekolah beliau telah menggatih basikal dari Kajang ke Semenyih untuk mengambil daun rumbia dan buluh untuk pengawan atap.

Daun-daun rombia dan buluh pengawan atap itu dijual kepada tukang semat atap di Kajang. Hasilnya kira-kira 30 sen. Wang itu untuk buat belanja sekolahnya.


“Dua tiga hari sekali, tolong emak, saya ambil kayu api dalam kebun getah, angkut air, maklum pada masa tu belum ada air paip,” beliau bercerita lagi.


Beliau telah menuntut di sekolah Melayu di kampungnya dan kemudian melanjutkan pelajaran ke High School Kajang hingga tamat dan mendapat sijil Senior Cambridge (SC).

Setelah tamat sekolah, beliau telah bekerja sebagai merinyu kesihatan, di pejabat Perbandaran Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian beliau telah berkhidmat sebagai pegawai polis, iaitu setelah tamat latihan di Pusat Latihan Polis, Kuala Kubu. Beliau telah berkhidmat di beberapa buah balai polis, di antaranya, Bachok, Kelantan.

Sebelum berhenti dari berkhidmat dalam pasukan polis, beliau telah menyandang pangkat sebagai DSP dan OCPD, di Kuantan (1974- 75).

Pada tahun 1974 – 82, beliau telah berkhidmat dalam sebuah bank di Kuala Lumpur. Dengan biasiswa Rancangan Colombo, beliau telah mengikuti kursus singkat dalam bidang perdagangan, di London.

Setelah berhenti dari bank, beliau telah menceburkan diri dalam lapangan perniagaan dengan menumpukan bidang hartanah. Dalam perniagaan tersebut, beliau telah diuji oleh Tuhan, iaitu hampir jatuh muflis, tetapi kerana kuat imannya kepada Allah dan yakin diri, maka beliau telah mendapat hidayat dan taufiq dari Allah. Beliau mengalami keadaan seperti firman Allah dalam Quran:


Dan siapa yang taqwa kepada Allah, Dia (Allah) mengadakan untuk orang itu jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya dari (sumber) yang tidak pernah difikirkannya.

(At Talaq:2,3).


Kini Datuk Mohd.Isa termasuk dalam golongan orang koporat dan hartawan di negara ini.

Beliau boleh memandu kapal terbang ringan meredah angkasa. Memandu kenderaan 4x4 drive. Bersama ahli-ahli kelab 4x4 Adventure Club mengembara ke seluruh dunia. Beliau telah memegang jawatan presiden kelab tersebut dari tahun 2003 hingga 2007.

Kini beliau adalah Pemangku Presiden Royal Selangor Flying Club dan Naib Pengerusi Kelab Tasik Putrajaya.

Isteri beliau, Datin Mariah binti Abdul Wahab. Mereka mempunyai tiga orang anak, Rozita, 49, Ridzuan, 44, dan Rozana,36.


(Kisah suka duka Datuk Haji Mohd. Isa ini diabadikan dalam buku biografi, Budak Kampung Redah Angkasa . Akan terbit.

Editor, Petah Shahrir Aidid).

No comments: